Antara cukai kad kredit, GST

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Komentar di blog-blog mengenai Bajet 2010 yang dibentangkan 23 Oktober lalu cukup menarik. Nampaknya antara isu yang hangat diperkatakan ialah mengenai cukai perkhidmatan kad kredit sebanyak RM50 setahun untuk kad kredit utama, kad caj dan kad yang diberikan percuma serta RM25 setahun untuk kad kredit tambahan.

Ada yang mengira hasil yang bakal dikumpul oleh kerajaan melalui cukai ini tetapi tidak pula yang kelihatan menyatakan bahawa cukai perkhidmatan ini hanyalah sekadar RM4.17 sebulan untuk setiap RM50 setahun dan hanya RM2.08 sebulan untuk setiap RM25 yang dibayar setahun.

Mungkin selepas ini, ramai yang mula memikirkan untuk mengurangkan pegangan kad kredit. Kemungkinan juga perkara ini tidak berlaku sama sekali jika berdasarkan bahawa rakyat Malaysia suka berbelanja meskipun krisis ekonomi melanda dunia.

Tren berhutang di kalangan rakyat Malaysia perlu dipantau kerajaan meskipun bukan berada di tahap kritikal. Jika diperhatikan, bank-bank menjalankan aktiviti pemasaran yang agresif untuk menawarkan kad kredit kepada orang ramai.

Akhirnya, golongan muda yang tidak sepatutnya memiliki kad kredit selalu "terjerat" dengan penggunaan kad kredit. Belum pun lagi memiliki sebarang aset sudah pun "memiliki" hutang. Tidak mustahil, selepas ini ada bank sanggup membantu "membayar" kos cukai perkhidmatan ini semata-mata untuk mengekalkan pelanggan lama dan menarik pelanggan baru.

Terdapat individu-individu yang mempunyai bilangan kad kredit yang terlalu banyak. Alasan yang diberikan oleh mereka ialah mudah untuk memperolehinya dan juga mudah untuk menggunakannya.

Perlukah kita mempunyai kad kredit yang terlalu banyak? Padahal, kad kredit menggalakkan penggunanya berhutang. Di sinilah betapa pentingnya peranan pengurusan kewangan peribadi yang berhemah. Tidak salah mempunyai kad kredit tetapi biarlah bersederhana dalam berbelanja mengikut kemampuan diri.

Bukan setakat hutang kad kredit, hutang yang lain juga perlu dipantau. Mengikut statistik Bank Negara Malaysia pada bulan Ogos 2009, pinjaman peribadi rakyat Malaysia dalam sistem perbankan berjumlah RM5.215 bilion berbanding RM4.106 bilion pada bulan yang sama, 2008.

Ini merupakan pertambahan lebih RM1 bilion. Kerajaan perlu berhati-hati dan mengambil pengajaran daripada krisis subprima di Amerika Syarikat (AS) yang berpunca daripada instrumen hutang yang tidak berbayar (NPL). Salah satu sebab utama krisis ini melanda di negara tersebut ialah bank mengabui mata peminjam dengan menawarkan pinjaman hartanah dengan pelbagai kaedah promosi kepada bakal pelanggan yang tidak berkemampuan, kononnya pinjaman itu murah dan tidak membebankan.

Berbeza dengan cukai perkhidmatan kad kredit, tidak ramai yang memberi komen tentang "tiada pengumuman" berkaitan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) walhal ia memberi kesan langsung kepada perbelanjaan rakyat.

Keputusan kerajaan untuk tidak membuat sebarang pengumuman mengenai GST kecuali menyatakan bahawa kerajaan sedang dalam proses akhir kajian impak sosial GST kepada rakyat, sepatutnya memberi kelegaan kepada semua pihak. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan jika ingin melaksanakan sebarang dasar yang mempunyai implikasi besar kepada rakyat.

Penyokong-penyokong GST nampaknya "membisu" selepas kerajaan tidak membuat sebarang pengumuman. Ini tidak mengejutkan langsung kerana seminggu sebelum Bajet 2010 dibentangkan, terdapat ramai pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST, terutamanya ketika ekonomi dunia masih tidak menentu.

Dua isu besar perlu diselesaikan terlebih dahulu. Pertama, adakah kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya? Kedua, adakah rakyat sendiri bersedia untuk menyerap bentuk cukai baru ini dalam kehidupan seharian?

Lihatlah apa yang berlaku di Australia semasa mula melaksanakan GST. Pada suku pertama 2001, pertumbuhan ekonomi dan perbelanjaan menurun, bahkan, mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif buat pertama kalinya selepas lebih daripada 10 tahun.

Kerajaan seharusnya mengambil kira fakta ini selain mengkaji kesannya kepada rakyat. Paling penting, sebarang keputusan mestilah mengutamakan kesejahteraan rakyat melebihi perkara-perkara lain.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url