Jalankan soal selidik untuk cari jawapan rakyat

Cadangan sekolah satu aliran boleh dilaksanakan jika rakyat berbilang kaum negara ini bersedia menerimanya. Laluan lampu hijau telah diberikan oleh Perdana Menteri jika cadangan itu mahu diteruskan.

Dengan semangat 1Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menghalang dasar sekolah pelbagai aliran sekarang diubah kepada satu aliran, jika itu yang rakyat mahukan.

Melihat kepada maklum balas orang ramai dan pemimpin, impian menubuhkan sekolah satu aliran boleh menjadi kenyataan.

Soalnya sekarang kita perlu mendapat lebih banyak sokongan dan bukan bangkangan. Sebagai mana ditegaskan oleh Najib, dalam melaksanakan dasar itu, kehendak rakyat perlu diambil kira kerana kerajaan tidak mahu ia menyebabkan perbalahan dan kesan buruk kepada masyarakat.

Kerajaan pasti mengambil iktibar daripada kegagalan mewujudkan lebih banyak sekolah wawasan. Pertumbuhan sekolah ini baik tetapi mendapat bantahan pihak-pihak tertentu yang mewakili kaum.

Sebab itu jika benar rakyat mahukan sekolah satu aliran, kita kena pastikan semua pihak yang mewakili kaum bersetuju dengan cadangan itu. Apa guna dasar itu diperkenalkan, tetapi akhirnya ia boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara kaum.

Maknanya, walaupun cadangan sekolah satu aliran yang dicetuskan oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim baru-baru ini bagi merealisasikan matlamat 1Malaysia itu bagus, ia tetap perlu diperhalusi.

Banyak sudut buruk dan baik perlu diperhatikan. Walaupun beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan parti pembangkang menyokong idea itu dan meminta kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum dapat dicapai, pandangan parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai perlu juga didengar dan diambil kira.

Dasar tolak ansur kerajaan Barisan Nasional cukup unik. Kerajaan mahu menjaga perasaan dan sensitiviti kaum bukan Melayu.

Kalau MCA dan MIC menyatakan bahawa sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang sedia ada tidak menghalang usaha ke arah mewujudkan perpaduan nasional, maka pandangan pemimpin kaum itu juga harus dihormati.

Kita amat memahami suara-suara tentangan itu kerana mereka khuatir identiti kaum tertentu akan terpadam jika sekolah satu aliran dilaksanakan.

Pun begitu, sampai bila kita harus membiarkan perbezaan aliran sekolah ini memecah-belahkan rakyat dari peringkat rendah lagi.

Tidakkah kita terfikir, sudah tiba masa untuk kita menongkah arus dan membuat perubahan demi kebaikan semua rakyat?

Bagaimana kalau Kementerian Pelajaran membuka langkah awal dengan membuat soal selidik mengenai cadangan sekolah satu aliran terhadap ibu bapa, guru dan murid di semua sekolah bantuan penuh kerajaan.

Daripada sini mungkin kerajaan mendapat 'jawapan' sejauh mana sokongan rakyat terhadap idea ini.

Langkah ini perlu dilakukan, bukan semata-mata mendengar bantahan daripada kumpulan minoriti seperti pejuang bahasa, budaya dan parti politik yang hanya memikirkan identiti serta kepentingan masing-masing.

Andainya rakyat percaya sistem sekolah satu aliran mampu merapatkan hubungan pelajar tidak kira Melayu, Cina dan India di bawah satu bumbung, maka sokonglah idea murni ini tanpa prejudis.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url