Bank Muamalat sasar RM400 juta deposit

Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) menyasarkan untuk menarik pinjaman dan deposit, kesemuanya berjumlah RM400 juta dalam tempoh enam bulan sehingga Mac tahun depan melalui 'Kempen Bonanza Ulang Tahun ke-10 Mualamat'.

Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaannya, Azaddin Ngah Tasir berkata, kempen itu memfokuskan kepada produk konsumer dalam usaha bank Islam itu mencapai sasaran tahun kewangan berakhir 2009.

''Kempen kali ini kita sasarkan untuk meningkatkan deposit Akaun Simpanan al-Mudharabah dan juga Akaun Semasa al-Mudharabah.

''Selain itu, ia juga membabitkan segmen jualan pembiayaan perumahan, kenderaan dan pembiayaan peribadi," katanya kepada Utusan Malaysia di Pusat Membeli Belah Alamanda di sini hari ini.

Menurut Azaddin, melalui kempen yang berlangsung sejak 15 Oktober lalu hingga 31 Mac tahun depan, para pelanggan berpeluang membawa pulang 4,000 hadiah bernilai hampir RM1 juta.

Katanya, hadiah utama bagi kempen itu ialah sebuah kereta Audi A4 1.8TFsi Multitronic.

''Bertemakan 'Sesiapun Boleh Menang', kempen ini merupakan salah satu bentuk penghargaan kami untuk para pelanggan yang banyak memberikan galakan dan sokongan kepada Bank Muamalat'' katanya.

Azaddin berkata, penyertaan adalah terbuka kepada semua pendeposit Akaun Simpanan al- Mudharabah dan Akaun Semasa al-Mudharabah serta Akaun Simpanan BeeStar-i-al-Mudharabah bagi remaja dan kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah.

Katanya, bagi pembiayaan perumahan pula, pakej yang ditawarkan adalah untuk hartanah pasaran kedua sahaja termasuk pembiayaan semula, sub jualan dan pembelian rumah siap dengan sijil layak menduduki daripada pemaju.

Tambah beliau, Bank Muamalat juga menawarkan pakej pembiayaan kenderaan yang menarik dengan kadar serendah 2.85 peratus untuk model kenderaan terpilih.

''Dengan pelancaran kempen ini, BMMB berharap hubungan baik antara bank dan pelanggan-pelanggan kami akan terus berkekalan di samping meningkatkan prestasi produk konsumer kami di pasaran," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url