Perkenalkan jalur lebar guna wayar elektrik
Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
Semenjak pengumuman Bajet 2010 yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, rakyat semakin terdedah dengan persaingan sengit para penyedia kemudahan perkhidmatan Internet broadband. Kadang kala saya sekeluarga tergelak besar melihatkan pendekatan iklan mereka yang mencuit hati.
Saya baru sahaja meneliti laporan yang dikeluarkan oleh beberapa badan penyelidikan tersohor dunia berkenaan kesan daripada kemudahan Internet broadband terhadap sesebuah negara. Perincian kajian jelas membuktikan perkhidmatan Internet broadband ataupun jalur lebar ini nyata ada impak positif yang signifikan terhadap perkembangan ekonomi dan sosial sesebuah negara.
Dalam suatu perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan 15 peratus di kawasan luar bandar.
Kesan daripada itu, masyarakat 'urban' dilihat semakin mudah memperolehi maklumat semasa dan berita terkini. Akses kini tidak terhad hanya melalui komputer sahaja, tetapi juga melalui telefon bimbit dan PDA.
Potensi ekonomi perkhidmatan jalur lebar Internet memberi kesan keuntungan besar kepada syarikat dan individu ekoran daripada peningkatan produktiviti.
Bayangkan kemampuan manusia berlipat ganda gara-gara akses jalur lebar Internet. Jualan dan pendapatan meningkat, kos perniagaan dan sara hidup berkurang sementara masa untuk satu-satu transaksi pula disingkatkan. Rangkaian informasi serta ruang networking menjadi semakin luas secara 'menegak' mahupun 'melebar'.
Suatu kajian berkaitan telah dijalankan ke atas tiga negara yakni Bangladesh dengan jumlah penduduk seramai 150 juta orang (KDNK AS$513); Thailand yang mempunyai 62 juta orang penduduk (KDNK AS$4,099) dan Serbia dengan jumlah penduduk seramai 7.4 juta (KDNK AS$7,054).
Daripada bancian 100 responden yang dilakukan ke setiap negara tersebut, 10 orang di Bangladesh, 26 orang di Thailand manakala 42 orang di Serbia adalah pengguna Internet. Dan perkembangan pesat Serbia (selepas era peperangan Bosnia-Serbia 1990-an) daripada segi KDNK ini sebenarnya adalah ekoran fokus pelaburan ke atas Internet jalur lebar.
Dalam dunia maya perbankan pula, internet sudah membuktikan ia selamat dan murah. Infrastruktur perbankan Internet juga membantu kerajaan dalam menyediakan statistik penganalisisan dengan segera ke atas polisi-polisi mikro dan makro ekonomi.
Hasil ke atas pelaburan jalur lebar Internet juga, ia secara langsung membantu menambahkan peluang pekerjaan dan merancakkan lagi pertumbuhan inisiatif-inisiatif perniagaan baru berbentuk inovasi dan membuka peluang kerjaya untuk menyelesaikan masalah pengangguran negara.
Internet kini diiktiraf menjadi tulang belakang kepada ekonomi dunia. Ia bertindak sebagai katalis untuk meluaskan lagi rangkaian perniagaan, membantu secara langsung pertumbuhan perniagaan berkonsepkan 'penjenamaan'.
Dalam erti kata lain, merebut peluang ekonomi dalam perkhidmatan jalur lebar bukan sekadar memastikan akses kepada maklumat tidak terbatas kepada masyarakat, tetapi juga faktor penyumbang kepada kelestarian ekonomi negara.
Antara Mutu dan Masa Hadapan
Berdasarkan fakta-fakta di atas, kerajaan perlu mencari inisiatif untuk merancakkan lagi perkembangan penggunaan khidmat Internet jalur lebar negara. Salah satu pendekatan cepat untuk mencapai objektif ini dalam masa singkat adalah dengan memperkenalkan kemudahan broadband over powerline - di mana kemudahan Internet disediakan melalui wayar elektrik.
Dengan adanya kemudahan ini, perkhidmatan internet tersedia di setiap rumah seluruh Malaysia yang mempunyai bekalan elektrik yang dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Sekiranya ini direalisasikan, maka aset berbilion ringgit yang dilaburkan TNB selama ini akhirnya digunakan dengan kapasiti maksimum dan memberikan pulangan balik kepada pelabur-pelabur TNB yang sebahagian besarnya adalah pemegang-pemegang Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera (ASN & ASB), pencarum-pencarum KWSP dan ratus ribuan pemegang deposit Tabung Haji.
Persoalan yang belum terjawab adalah siapakah yang akan menjadi operator perkhidmatan broadband over powerline ini. Adakah ia akan melibatkan Celcom, Maxis, DiGi atau akan wujudnya pemain baru dalam pasaran?
Atau senario ini tidak akan berlaku kerana kerajaan telah berbelanja ratusan juta ringgit untuk membina rangkaian Internet yang asalnya dipegang MIMOS dan kini dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad (TM)?
Siapa pun yang bakal menjadi terajunya, kita berharap tidak akan wujud monopoli 'melampau' yang mengakibatkan mutu perkhidmatannya nanti sekadar 'boleh tahan'. Mestilah juga ada pemantauan kualiti secara serius.
Sekarang kita lihat, dengan adanya beberapa pemain semasa dalam industri broadband, wujud suatu persaingan sihat daripada aspek harga. Namun demikian, isu mutu pula dilihat masih menjadi perdebatan dan bicara sinis di kalangan para pengguna!
Kerajaan perlu sedar bahawa kehendak kepada mutu perkhidmatan Internet yang berkualiti kini sudah menjadi keperluan bagi setiap rakyat dan sesungguhnya ia mampu menjadi katalis trend positif pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.