Cerpen - Falsampah
LALAT. Langau. Lipas. Lipan. Semuanya menyeronot di dalam timbunan sampah yang kian menggunung di medan persampahan itu. Pemandangannya sahaja mampu membunuh jelira sesiapa yang melintasinya atau setidak-tidaknya lewat angin petang yang mengirim aromanya di mana sahaja ia mencecah. Tiada siapa yang mahu larut dalam kebusukan sampah itu, kecuali beberapa manusia yang sudah lama menggunakan sampah sebagai medium untuk kesinambungan dompetnya. Dengan tenang mereka berbaring di atas tilam sampah yang lembut, kata mereka seperti tilam di rumah pak menteri.
“Apa sudahnya kita ini Sarip?”
“Sudahnya kita beginilah,” jawab Sarip acuh tak acuh. Dia tahu pertanyaan itu bukanlah pertama kali disodorkan kepadanya. Entah dia sendiri tidak ingat, mungkin jutaan kali.
“Hanya orang seperti kita sahaja yang mengenal makna sampah. Setiap satu sampah punya bau kejahatannya yang tersendiri. Setiap sampah punya warna pelangi di sisi para marhaen. Setiap sampah tersimpan sejarah dan makna budaya yang tinggi nilainya. Dan tentunya setiap sampah adalah tetap sampah di sepanjang perjalanan menuju kejayaan.” Lensa pandangan Dol tidak berkelip, kali ini dia cuba menghitung bintang yang bertaburan di langit.
“Cukuplah, Dol. Apa lagi guna sampah kalau sudah terbuang? Kau bilanglah sejuta makna dan selaut falsafah, sampah tetap sampah. Seperti juga kita, orang anggap kita seperti sampah sahaja.” Sarip terkuap-kuap. Matanya sudah hampir terkatup ketika mengucapkan perkataan terakhirnya.
“Tapi kita bukan sampah masyarakat…” Nada Dol tegas sekali.
Orang seperti Dol ramai sekali apabila ekonomi mengalami demam H1N1 yang tidak kebah. Tapi Dol bukan orang sembarangan. Dahulu, dia seorang ternama dan kaya-raya. Punya segala yang manusia lain mahukan di atas dunia ini. Sarip senyum sendiri memikirkan dirinya juga dibuang kerja ketika zaman ekonomi melecet. Melecet, bukan meleset.
Jeda memanggung waktu. Dol tidak menghiraukan kata-kata temannya. Baginya kata-kata itu bagaikan sampah dan habuk yang tidak membawa sebarang maksud dan pengertian. Orang-orang seperti Sarip hanya melihat sampah dari sudut luaran. Bagi Dol, sampah itu ada rohnya yang tersendiri untuk dinikmati.
“Kau tahu Sarip.”
“Hmmm … apa dia lagi?”
“Dari sampah yang bertaburan ini, kita boleh mengenal taraf ekonomi rakyat Malaysia,” ujar Dol tersenyum, yakin dengan apa yang diperkatakannya. Di atas timbunan sampah itu, Dol berdiri bagaikan patung tugu pahlawan. Wajahnya penuh patriotik. Tiba-tiba dia tegak menyanyikan lagu Negaraku. Sarip terpaksa berdiri sama demi menghormati lagu Negaraku. Walaupun hanya seorang pemungut sampah, tapi hatinya berkobar semangat cintakan negara. Tidak sesekali dia akan menjual maruah negaranya hanya kerana seorang pemungut sampah.
“Cuba kau tengok sampah di sekeliling kita, cuba kau amati kotak-kotak, plastik dan kertas-kertas. Daripada itu sahaja aku sudah mampu menelah kemampuan ekonomi rakyat Malaysia masih lagi baik. Tengok, tengok.” Dol menoleh ke arah kiri.
“Itu, itu. kotak-kotak burger luar negara, kotak-kotak ayam goreng orang putih, kotak-kotak pizza. Menurut skala indeks di bursa saham persampahan, ia menunjukkan ekonomi rakyat Malaysia semakin mantap, mampu membeli barangan luar negara. Mampu untuk berbelanja dengan mewah, ketepikan nasi lemak atau nasi dagang yang enak dan mampu memberikan zat yang cukup serta beralih kepada makanan luar yang mengarut. Dan tentunya mereka ini terdiri orang-orang yang kurang patriotik terhadap negaranya.” Kotak-kotak sampah itu dikais-kaisnya. Sesekali matanya liar memandang keliling.
Sarip terkuap-kuap. Dia hanya memerhatikan sahaja rakannya yang semakin melalut. Semakin malam, semakin melalut, bisik hatinya.
“Berapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang bersikap sederhana dalam membeli barangan dan sekaligus bersikap patriotik. Tak ramai, tak ramai. Hanya inilah golongan yang benar-benar patriotik dan cinta negaranya.”
“Bagaimana pula kau lebih tahu daripada aku?” Tiba-tiba Dol jadi semangat apabila ditiupkan semangat patriotik. Walaupun hembusannya lembut tapi berkesan. Dol tak perlu naik dan kibar bendera merata-rata kalau masih lagi makan di kedai sang imperialis atau memandu kereta buatan orang Yahudi.
“Kau tengok.” Dol menghulurkan bungkusan nasi lemak kepada Sarip. Kelihatan saki baki sambal nasi lemak berbekas di kertas. “Orang yang patriotik tetap akan makan nasi lemak, itu … itu … kertas bungkus nasi lemak, bekas polisterin lauk rendang. Haaa … begitu kaedahnya Sarip. Bukan patriotik di mulut sahaja tetapi juga di lidah, tekak, perut pun mesti juga.”
Baring
“Apa-apa sahajalah Dol,” jawab Sarip, dari baring dia duduk. Memerhatikan sekeliling. Memerhatikan kebenaran kata-kata temannya walaupun dia tidak pernah ambil peduli semua itu. Yang penting adalah perutnya perlu diisi agar tidak berkeroncong sewenang-senangnya berbunyi tak tentu masa dan keadaan.
Dan bintang masih tersangkut di dada langit. Bulan masih bersinar megah, kerana ia tahu bahawa ada manusia yang masih punya fikir walaupun skru kewarasan otak manusia semakin longgar. Tapi tak semua yang longgar. Fikiran kebanyakannya di bawah tapak kaki. Kalau tidak masakan golongan sepertinya masih wujud lagi di sini.
“Dalam mengaji kita mengkaji Sarip,” ujar Dol perlahan. Dia mengusap kepalanya, fikirannya berputar mencari jawapan yang tak pasti. Perlahan dia duduk di sebelah Sarip. Sehelai kertas putih bertulis tangan dibacanya.
“Manusia sudah tidak sayang ilmu. Kertas-kertas ini walaupun hanya bertindak sebagai medium untuk menyampaikan ilmu tapi ini sahajalah taraf dan kedudukan yang mampu dicapai - di timbunan sampah layaknya,” gumam Dol.
“Bermakna apabila rapuhnya kecintaan terhadap ilmu, maka rapuh jugalah ikatan di antara masyrakat. Antara bangsa, antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri, antara guru dan murid. Semuanya berantakan.” Sambungnya lagi. Dol terdiam untuk seketika. Rumah tangganya juga kacau bilau dek kerana dibuang kerja. Duit tiada, anak sakit. Kerja payah dapat, bini melompat! Akhirnya dia berkawan dengan sampah-sampah yang lebih mengerti perasaannya.
Sarip sudah berdengkur. Tak larat mendengar ocehan temannya yang kuat benar berfalsafah. Baginya mudah, kerja cari duit untuk esok. Perut mesti diisi, tekak jangan kering, mulut mesti berasap. Mudah, mudah sahaja hidup ini. Yang jadi susah apabila ada manusia yang menyusahkan hidup orang lain dengan nafsunya yang tamak dan rakus. Itulah yang menyusahkan semua orang atas muka bumi ini.
Dol memandang ke arah Sarip, kemudian melontarkan lensa pandangannya ke rahang malam yang semakin rakus menelan cahaya. Kegelapan sudah berkerajaan. Lalat, langau, lipas dan lipan masih bersepah di atas tilam sampah yang akan diladeni sebentar lagi.
Dalam lena itu, Sarip merasakan bahawa dirinya sudah melangkaui alam yang sepatutnya.. Di sana dia berjumpa dengan seorang budak kecil (memang klise - kalau mimpi mesti jumpa orang tua berjanggut dan berjubah putih tapi ini lain) yang comel dan manja sekali riak wajahnya. Dia menghulurkan tangannya, Sarip menyambut.
“Tangan abang kasar.” Budak kecil itu tersenyum.
“Mana tak kasarnya, kerja kutip sampah. Tangan selalu kotor dan selalu kena basuh. Pegang benda-benda kotor dik.” Sarip senang sekali dengan budak itu. Dalam fikirannya teringat anak Dol yang seusia dengan budak yang tercokoh di hadapannya.
“Tak mengapa abang, walaupun kerja kotor tapi duitnya bersih. Jangan kerja bersih tapi duitnya kotor. Kerja kotor begini, kalau basuh dia boleh bersih. Kerja bersih yang kotor kalau basuh orang lain yang kena. Tapi, paling penting hati mesti bersih.”
Sarip senyum. Terpikat dengan keletah dan perkataan yang diujarkan.
“Kenapa adik cakap begitu? Adik tak tahukah berapa ramai yang menghina pekerjaan abang? Saudara mara semua lari, kawan-kawan apatah lagi. Kata mereka lagi, kerja busuk dan hina sama macam sampah yang ada di tempat abang.”
Budak kecil itu ketawa lalu menghela tangan Sarip. Mereka terbang. Terbang ke dalam kegelapan malam. Terbang di atas awan biru. Angin sejuk menampar pipinya. Sarip terasa bahagia. Tiba-tiba tangannya dilepaskan. Serta merta anganan Sarip meluncur ke bumi. Segala mewah kasih dan bahagia impian akan terhempas sedikit masa lagi. Tiba-tiba …
Masa terhenti. Semua menjadi kaku, menjadi beku.
“Apa ada dengan kekayaan dan kebahagiaan kalau terhasil dari tangan-tangan yang berdanur? Ibarat kaca terhempas ke tanah, itulah umpamanya. Jatuh berkecai dan akhirnya. Biarlah kerja kotor tapi halal dan bersih.
Sarip tidak bergerak, tubuhnya seakan hancur. Menjadi berkeping-keping. Halus dan akhirnya menjadi lumat. Tubuhnya bagaikan terapung dan terawang-awang seperti zarah-zarah halus yang melewati terowong cahaya. Sarip masih hidup, dia merasakan itu, namun dia tiada daya upaya untuk bergerak atau berkata walau sepatah.
Budak kecil itu menarik semula zarah-zarah halus (jasad) Sarip dan melemparkan ke udara. Sekali lagi tubuh yang bersifat halus menjadi zat dan jasad yang kasar. Jatuh berdebup di atas tanah. Kali ini kesakitan menjalar ke seluruh tubuhnya. Ada darah mengalir siku dan lututnya.
“Apa semua ini?” Sarip menyeringai kesakitan.
“Itulah perasaan yang bernama kesakitan, kebencian, kemarahan, kekecewaan, kehampaan dan, dan itulah yang telah kau berikan sewaktu menduduki kerusi empuk di pejabat berhawa dingin.”
Menitis
Sarip memandang ke arah Dol. Hanya dengkur dan embun pagi sahaja menitis. Suara lalat, langau, lipas dan lipan bagaikan tertangkap oleh telinganya. Semuanya berzikir, mengucap syukur kerana dalam laut sampah itu ada rezeki mereka.
Mereka lebih faham segenap inci, ruang, sudut dan bau sampah yang bertimbun itu. Sarip berdiri memerhatikan mereka. Sesekali matanya tertancap pada barisan semut gula yang bekerja keras mencari rezeki. Dol terjaga, pandangan mereka saling bertikam dan akhirnya Dol menukar lensa pandangannya ke hadapan.
“Dalam sampah ini ada rezeki kita, Sarip.”
Sarip mengangguk.
“Ada apa lagi dalam sampah ini, Dol?"
Dol menoleh ke arahnya, hairan. Mungkin selama ini Sarip menganggap dirinya sewel kerana bercakap soal sampah, tapi dia tidak pernah ambil pusing. Tapi memang Dol tahu dalam sampah ada macam-macam. Dan dalam macam-macam itu juga ada sampah.
Walaupun zahirnya seperti sehelai kain putih yang mulia dan mulus di pandangan ramai, namun Dol tahu bahawa di hati mereka, bertaburan sampah-sampah dan segala macam habuk. Gelap-gelita hati mereka. Memandang dengan pandangan manusia. Berkata dengan perkataan manusia. Bermegah dengan kemegahan manusia.
Ah persetankan itu semua, Dol membentak dalam hati.
“Kalau kau nak tahu, Sarip. Apa kemuliaan dalam timbunan sampah yang melaut ini? Ini yang manusia tidak pernah mahu ambil tahu dan tidak tahu pun apa yang ada pada kita dan sampah-sampah yang berselerakan ini.” Dol memulakan lagi syarahannya seperti biasa.
“Dalam persampahan ini, kau dan aku dan kita dengan sampah. Siapa yang lebih memerlukan siapa? Adakah kita memerlukan sampah untuk terus hidup. Atau bagaimana? Sampahkah yang memerlukan kita untuk terus berada di sini. Kalau tanpa manusia, sampah-sampah ini bergolekan di merata tempat tanpa ada pembelaan? Bagaimana?”
Sarip termenung dengan persoalannya. Ceritanya cuma sampah. Semuanya sampah. Dalam sampah ada sampah - itu bagi mata manusia yang melihat tetapi tidak merenung. Tapi bagi yang merenung dan menilik, dalam sampah ada kesucian yang tak terungkap. Sucinya sampah-sampah itulah yang telah menyebabkan ribuan manusia, haiwan, kuman-kuman terus hidup di atas muka bumi ini. Dan sampah yang paling mulia juga adalah sampah yang telah diproses lalu berkhidmat untuk manusia.
“Jadi sampah itulah yang lebih mulia dari manusia. Sarip kau tengok kotak-kotak makanan, minuman, pakaian - itukan diperbuat dari sampah-sampah yang kita kutip. Dan pesanan yang paling menusuk hati aku adalah ketika pertama kali aku menjual sampah dan kotak. Kata tauke itu begini, ‘bagus orang Melayu sudah tidak malu menjual sampah.’ Muka aku merah, namun aku menjawab, ‘duit itu kan tidak busuk.’ Ya, sejak itu, aku tidak pernah malu menjadi seorang Melayu yang menjual sampah dan kotak.” Dol menghela nafas. Mengenang kembali pertemuan pertamanya dengan sang tauke.
Sarip terus mendiamkan diri. Kata-kata Dol itu banyak kebenarannya. Sejak ekonomi merudum. Sejak kegawatan akhlak merudum. Sejak perpecahan antara perhubungan kekeluargaan, masyarakat dan bangsa, hanya sampah menjadi lambang penyatuan kepada itu semua.
Statusnya sampah tapi maksudnya sampah-sampah di sini bersatu tidak mengira dari rumah siapakah sampah itu berasal. Saling berasak dalam lori sampah yang mengangkut lalu menjadikan tempat ini sebagai tempat untuk menyatukan maksud dan maknawi. Jangan jadikan perpaduan itu seperti sampah, tapi jadikanlah sampah itu umpama lambang perpaduan.
Sarip terhenyak dengan persoalan-persoalan yang menghunjam benaknya. “Sampah, ya sampah.”
“Ya, sampah,” sahut Dol.
“Hidup sampah!" jerit mereka berdua. Dan kita juga adalah sampah-sampah dan sampah-sampah juga adalah kita, fikir Sarip.
- MINGGUAN MALAYSIA