Top Ad 728x90

Guru dominasi pengajaran punca pelajar kurang kreatif

Oleh ROSNIZA MOHD TAHA

Amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) memfokus guru antara punca pelajar dihasilkan sistem pendidikan negara ini kurang memiliki kemahiran berfikir dan kreativiti.

Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, berkata guru mendominasi proses pembelajaran dalam kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata pendekatan itu secara tidak langsung menghasilkan kesan tidak diingini, iaitu pelajar beranggapan guru mahu mereka mendengar saja terlebih dulu dan hanya boleh bertanya soalan apabila disuruh.

Beliau berkata, pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama itu perlu diubah dan bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu.

Keghairahan mendapat pengiktirafan sekolah terbaik, katanya, juga membuatkan guru berlumba menghabiskan sukatan pelajaran supaya ulang kaji dan latih tubi dapat dilaksanakan bagi memastikan pelajar mencapai sasaran keputusan cemerlang.

Sambil menjelaskan isu kelemahan kemahiran berfikir di kalangan pelajar termasuk yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering diketengahkan tokoh pendidik dan wakil industri, beliau berkata:

“Malah keputusan Ujian Aptitud pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran bagi murid Tahun Enam ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan hanya 5.7 peratus mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, manakala 34.34 peratus mempunyai kemahiran berfikir, mengesahkan lagi perkara ini.

“Pendekatan guru memonopoli pembelajaran dalam kelas dengan mereka saja yang banyak bercakap, malah mengedarkan salinan nota disediakan seolah-olah menyempitkan gaya pemikiran pelajar.

“Lebih parah apabila soalan pelajar tidak diendahkan, sekali gus tidak menggalakkan pemupukan kemahiran berfikir di kalangan pelajar.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk Learned Paralysis: The Unintended Consequences of the Classroom Process pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Peringkat Pengajian Tinggi 2009 (ICTLHE09) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Wan Zahid berkata, dalam memastikan pelajar meraih pencapaian cemerlang akademik, seharusnya pembangunan keseluruhan potensi mereka terutama kemahiran berfikir tidak dikorbankan.

Bagi memastikan perkara itu, katanya, peneraju kepemimpinan sesebuah institusi pendidikan termasuk guru besar dan naib canselor perlu memainkan peranan utama dengan mereka sendiri arif mengenai kaedah P&P berkesan.

Beliau turut memberi contoh kejayaan projek perintis dilaksana Kementerian Pelajaran pada pertengahan 1990-an dalam usaha menghasilkan perubahan dramatik pencapaian sebuah sekolah biasa hingga tersenarai antara sekolah terbaik peringkat kebangsaan.

Katanya, Sekolah Menengah Jalan Bayam, Kelantan pada masa itu hanyalah sekolah biasa, malah dilabel sebagai pusat longgokan pelajar dan guru bermasalah.

“Namun, dengan inisiatif dan kreativiti guru besarnya yang diberi autonomi penuh mentadbir dengan pendekatan tersendiri, sekolah itu berjaya menjadi antara terbaik selepas lima tahun program itu dijalankan.

“Antara pendekatan unik guru besar terbabit yang berjaya melonjak pencapaian sekolah adalah melaksanakan pembelajaran tanpa jadual kelas tetap.

“Selain itu, menggalakkan pelajar mendominasi proses pembelajaran dalam kelas, membabitkan mereka dalam proses penilaian guru serta menjadikan aktiviti kemasyarakatan dan sukan sebagai sebahagian program utama kokurikulum,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90