Hidup 'manis' sekarang, terseksa kemudian
Diabetes atau kencing manis merupakan satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian dan ramai pesakit diabetes hanya menyedari mereka menghidap penyakit itu apabila timbul komplikasi.
Sebenarnya diabetis ialah satu penyakit yang boleh dielakkan, melainkan ia berpunca daripada genetik, tetapi gaya hidup di zaman moden ini menyebabkan penyakit itu semakin senang dihidapi.
Kandungan tinggi gula dalam darah
Menurut pakar endokrinologi serta juga pakar nutrisi/pemakanan, Dr. S. Menon, diabetes terjadi bukan dalam sekelip mata tetapi hanya muncul dalam jangka masa yang agak panjang setelah pesakit mempunyai kandungan gula di dalam darah yang tinggi secara berterusan.
Ini akibat pengambilan makanan yang mengandungi gula tanpa kawalan, diet yang tidak seimbang serta juga amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang senaman dan aktiviti fizikal.
"Diabetes ibarat pembunuh yang bersembunyi, dan akan muncul apabila suasana sudah menjadi tidak terkawal. Bagaimanapun diabetis bukan hanya bergantung kepada faktor nutrisi sahaja tetapi juga genetik.
Kisah Azhar
Dr. Menon memaparkan kisah Azhar (bukan nama sebenar) yang berasal dari sebuah kawasan pedalaman di sebuah negeri di Pantai Timur dan tidak mengetahui bahawa kedua-dua ibu bapanya memang menghidapi diabetes bapanya.
Sejak pada umur awal belasan tahun, Azhar sudah mula mengalami tanda-tanda diabetes seperti tahap kehausan yang amat sangat, cepat letih, kerap buang air kecil pada waktu malam dan juga keletihan.
"Saya tidak mendapatkan rawatan kerana menganggap itu hanya perkara biasa sehinggalah saya datang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan pelajaran di universiti," kata Azhar.
Menurut Azhar, apabila dia mengalami bisul bernanah di belakang kepalanya, barulah mengetahui yang beliau menghidapi kencing manis.
Ibu bapa serta abang-abangnya meninggal dunia kerana myocardial infarct (tisu jantung tidak mendapat cukup bekalan oksigen) iaitu satu daripada komplikasi diabetes.
Kandungan karbohidrat yang tinggi
Bagi seorang lagi pesakit diabetes, gaya hidup dan diet yang tidak sihat menyebabkan beliau menghidapi kencing manis.
"Dari kecil, saya memang mengambil diet yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi. Sarapan pagi ialah nasi, makan tengah hari pun nasi, makan malam sudah tentulah juga nasi dan kalau keluar minum lewat malam pun nasi.
"Kalau nak kata senaman, memang jauh sekali dan memang tidak pernah saya lakukan," katanya.
Bagi Manan pula, ketika beliau berada di universiti, beliau mula ketagih minum air berkabonat.
"Setiap malam, saya ambil minuman ini hinggalah saya mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang kerana diabetes," tambahnya.
Diabetis juvenil
Menurut Dr. Menon, sekiranya kencing manis diwarisi melalui faktor genetik iaitu daripada ibu bapa, biasanya ibu, seseorang itu akan mempunyai diabetes dari kecil dan ini dikenali sebagai diabetes juvenil atau diabetes Type I.
Bagi mereka yang menghidapi kencing manis ketika umur sudah meningkat, diabetes ini dikenali sebagai Diabetes Type II atau maturity onset dan ini terjadi dari sebab faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.
Menurut Dr. Menon, walaupun komplikasi diabetes yang selalu diceritakan memang menakutkan, masih ramai yang seolah-olah tidak peka terhadap masalah ini hinggalah kepada satu tahap yang agak terlambat.
Komplikasi diabetes memang bahaya dan tidak hairanlah apabila diabetes digelar sebagai 'ibu kepada segala penyakit'.
Antara organ yang akan terlibat ialah mata (katarat, glaukoma dan retinopati), buah pinggang (penyakit dan kegagalan), saraf (neuropati), jantung dan salur darah (penyakit kardiovaskular), gusi (penyakit periodontal) dan kaki (saluran darah terganggu menyebabkan gangrene serta amputasi).
Amalan hidup sihat
Bagi Dr. Menon, amalan hidup sihat serta diet yang seimbang memang selalu dipertuturkan oleh fraterniti perubatan bagi mencegah penyakit diabetes.
Biasanya ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengambil kisah tentang penyakit sehinggalah mereka mula mengalami komplikasi, kata beliau.
Ini ialah nasihat Dr Menon kepada orang ramai:
"Diabetes mengambil masa yang agak lama sebelum terjadi. Kadang-kadang langsung tidak ada tanda dan gejala sebelum kita sedar yang kita ada kencing manis.
"Jadikan kebiasaan untuk menjalani pemeriksaan setiap tiga atau enam bulan setidak-tidaknya. Bagi mereka yang sudah ada diabetes, adalah penting bagi mereka mematuhi pengurusan penyakit kencing manis mengikut apa yang dinasihatkan doktor".
Ambillah makanan seimbang dan selalu amalkan senaman, elakkan merokok dan mengambil minuman beralkohol.
- BERNAMA