Izzati gembira disalut kesedihan cemerlang UPSR
Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.
Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.
Anak kepada pasangan pemandu lori dan pekerja kilang itu tidak dibenarkan oleh pihak sekolah untuk mengambil slip itu kerana gagal menjelaskan yuran berjumlah RM57.
"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan," katanya sebak ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcisian Convent di sini hari ini.
Nur Izzati, anak kedua kepada pasangan Azahar Ariffin, 41, dan Fatimah Ahmad, 42, adalah antara 34 murid SK Tarcisian Convent yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.
Menurut ibunya, pendapatan keluarga yang tidak menentu menyebabkan Nur Izzati terpaksa 'berhutang' dengan pihak sekolah.
Menurut Fatimah, kesihatannya yang tidak mengizinkan dan sumber kewangan keluarga yang terhad menyebabkan dia tidak mampu menyediakan yuran peperiksaan Nur Izzati.
Malah, impiannya untuk melihat anaknya itu belajar di sekolah berasrama penuh juga mungkin tidak dapat ditunaikan kerana kedaifan keluarga mereka.
"Saya berharap sangat dia akan dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama. Dia sendiri pun menyatakan keinginan itu tetapi kami tidak mampu untuk memenuhi kehendaknya," katanya.
Sementara itu, Nur Izzati yang bercita-cita menjadi doktor berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat paling tinggi bagi mengubah nasib keluarganya.
"Saya mahu mengubah nasib keluarga dan buktikan kepada semua bahawa saya juga boleh berjaya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, kes pelajar lewat atau tidak menjelaskan yuran sekolah se hingga menyebabkan mereka tidak dapat mengambil slip keputusan pe periksaan bukan perkara baru.
Katanya, masalah tersebut biasanya berlaku kerana ibu bapa atau pelajar sendiri enggan berjumpa atau bekerjasama dengan pengurusan sekolah.
Kegagalan ibu bapa atau pelajar berbuat demikian katanya, menyebabkan pengurusan sekolah tidak mempunyai rekod yang dapat mem bantu pelajar dalam kategori kurang berkemampuan.
"Pihak sekolah pula perlu menjaga bukan seorang sahaja pelajarnya. Biasalah, bila hujung tahun ini, sekolah perlu mengemas kini rekod, jadi mesti ada yang menghadapi masalah ini jika mereka tidak berjumpa pihak pengurusan sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
- UTUSAN
Rupanya jarak hubungan guru dan murid kini sejauh keluasan kawasan sekolah sahaja, tatkala sang murid melepasi pagar sekolah maka ada guru yang akan berfikir "aku peduli apa?". Sebilangan kecil pentadbir sekolah bertaraf PTD dan guru-guru di sekolah walau lepasan maktab dan universiti namun masih kurang rasa empati dan ihsan. Nampaknya mereka ini perlu disekolahkan lagi! Sebab itulah saya ada menulis pengalaman peribadi yang mungkin agak kritikal - "Guru Tidak Bersekolah"