Penyenaraian semula Maxis
Penyenaraian semula Maxis Bhd. (Maxis) melalui tawaran awal permulaan (IPO) terbesar di rantau ini, telah berjaya mengembalikan penyertaan pengurus dana dan pelabur asing yang baru dalam pasaran tempatan.
Ketua Eksekutif CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, IPO Maxis adalah hebat dan paling menggembirakan apabila ia berjaya mendapatkan 30 peratus pelabur asing berkualiti tinggi, selari dengan objektif penyenaraian tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan peruntukan dalam IPO itu menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan pelabur potensi tempatan meskipun semua pelabur tempatan dan asing telah diberikan layanan adil untuk memiliki saham syarikat berkenaan.
''Para pelabur yang mempunyai keupayaan sudah tentu mahu sebilangan saham yang dikehendaki tetapi tidak boleh.
''Melalui proses tersebut, ada individu yang mendapat peruntukan kecil dan ia normal. Jadi saya tidak nampak mengapa ada pihak yang berkeupayaan perlu menolak peruntukan yang diberi.
''Setakat ini dalam pengetahuan saya hanya satu pihak sahaja yang menolak tawaran Maxis,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian Maxis di Bursa Malaysia di sini hari ini.
Penyenaraian syarikat telekomunikasi itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah. Turut hadir Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sandip Das.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan OSK Investment Bank Bhd. (OSK IB) yang menolak peruntukan sebanyak 1.5 juta saham IPO Maxis kerana menganggap tawaran itu terlalu 'kecil' dan 'tidak bermakna.'
Laporan sebelum ini mendakwa, OSK IB menolak tawaran itu selepas permohonannya kepada penerima tempahan bersama (bookrunners) untuk mendapatkan peruntukan saham lebih besar ditolak kerana tidak ada saham tambahan.
''Struktur IPO Maxis telah ditetapkan sebanyak 70 peratus bagi pelabur bumiputera dan institusi tempatan serta 30 peratus lagi untuk pelabur asing adalah untuk memastikan syarikat memiliki pemegang-pemegang saham yang seimbang.
''Proses langganan Maxis telah membabitkan penilaian yang ketat dalam aspek kualiti dan kesetiaan, ia penting untuk syarikat dan negara khususnya untuk mendapatkan sokongan jangka panjang,'' tambahnya.
Penyenaraian Maxis menyaksikan kemunculan kukuh dengan mencatatkan kenaikan premium sebanyak 0.46 sen, naik 9.2 peratus berbanding harga rujukan (institusi) RM5.
Ia sekali gus menjadikan IPO terbesar dalam sejarah di Asia Tenggara dan IPO telekomunikasi terbesar di Asia Pasifik sejak 2000.
Dengan modal pasaran sebanyak RM37.5 bilion, meletakkan Maxis sebagai syarikat kelima terbesar di Bursa Malaysia.
CIMB Investment Bank adalah Penasihat Utama dan Bank Pelaburan bagi penyenaraian tersebut. Ia juga merupakan Koordinator Global Bersama dan Pengurus Penaja Jamin Bersama.
Pelabur institusi terlebih langganan sebanyak 3.7 kali, menunjukkan permintaan bagi saham Maxis begitu kukuh.
Nazir menjelaskan Maxis telah memenuhi keperluan yang ditetapkan, yang mana pegangan Bumiputera semasa adalah 34 peratus, dengan 21 peratus adalah daripada pelabur sedia ada dan bakinya melalui proses IPO.
Institusi Malaysia dan pelabur bumiputera mewakili 18.9 peratus dalam pegangan saham Maxis. Daripada jumlah itu, 11.9 peratus dipegang oleh pelabur bumiputera dan agensi-agensi kerajaan termasuk Permodalan Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan tujuh peratus lagi dimiliki oleh institusi tempatan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Institusi global pula melanggan 8.3 peratus, pelabur runcit termasuk bumiputera 2.8 peratus.
Bakinya sebanyak 70 peratus lagi dipegang oleh Maxis yang dimiliki oleh Saudi Telecom Company, Usaha Tegas dan sekutunya serta beberapa yayasan bumiputera.
- UTUSAN