Lahirkan ramai usahawan siswazah

Oleh ANUAR AHMAD
Timbalan Pengarah (Akademik Kolej),
Pusat Pembangunan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bulan lalu ketika penulis berada di kota London, media massa negara tersebut melaporkan Universiti College London (UCL) telah dinobatkan sebagai universiti yang paling tinggi kadar kebolehpasaran pelajar di United Kingdom.

Kadar mula bekerja pelajar UCL selepas enam bulan pertama menamatkan pengajian ialah 94 peratus diikuti dengan Universiti Oxford (92 peratus) dan Universiti Cambridge (91 peratus).

Menariknya, di media British juga pada hari yang sama melaporkan kerisauan dan komen oleh CEO British Telecom dan Pengerusi Tesco berkaitan sistem pendidikan tinggi England yang gagal melahirkan lebih ramai usahawan muda di kalangan pelajar universiti.

Antara yang disentuh dua tokoh ini ialah perlunya konsep keusahawanan diberikan penekanan dalam sistem pendidikan tinggi agar pelajar pusat pengajian tinggi bersedia untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan selari dengan keperluan pasaran dan perancangan negara.

Ironi juga bila sebuah negara maju yang memiliki antara universiti terbaik di dunia masih tidak berpuas hati dengan tahap kualiti pendidikan tinggi mereka. Semangat daya saing yang tinggi jelas tergambar melalui komen dua tokoh perniagaan tersebut.

Dilaporkan untuk tahun 2009, United Kingdom berada di kedudukan kelapan dan terakhir dari segi kualiti hidup di kalangan negara di Eropah. Oleh kerana pendidikan tinggi adalah asas kepada peningkatan kualiti hidup, tidak sukar untuk difahami mengapa isu ini diketengahkan oleh media negara tersebut.

Kualiti hidup di Perancis dan Sepanyol berada di tempat pertama dan kedua terbaik di kalangan negara di Eropah.

Kita perlu melihat situasi ini sebagai isyarat untuk segera bertungkus-lumus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara. Malaysia sebagai antara negara yang paling berjaya di kalangan negara membangun sedang berhadapan dengan persaingan yang sengit khususnya daripada Singapura, Vietnam dan negara-negara di Asia Barat. Tidak terkecuali China dan negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang semakin berjaya membuka pasaran mereka.

Pembukaan pasaran bermaksud persaingan akan menjadi lebih hebat. Kehendak dan keperluan majikan terhadap sektor pekerjaan menjadi semakin sengit. Jika mengeluarkan barangan, tuntutan kualiti pengeluaran serta penguasaan teknologi menjadi semakin tinggi. Pasaran baru ini akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada para graduan negara ini.

Malangnya tahap pengangguran mahasiswa di negara ini masih tinggi. Setakat ini tiada laporan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan kadar pengangguran mahasiswa. Laporan media sekadar menganggarkan sekitar lebih lima puluh ribu mahasiswa masih menganggur selepas tamat pengajian mereka. Makna pengangguran menjurus kepada kumpulan mahasiswa yang tiada pekerjaan yang tetap.

Mungkin ini bukan masalah pihak universiti kerana telah melengkapkan tanggungjawabnya apabila seseorang mahasiswa menamatkan pengajian mereka. Tinggal lagi apabila mahasiswa keluaran IPT gagal mempunyai pekerjaan tetap, pihak universiti perlu juga melihat secara serius program pengajian yang ditawarkan.

Seolah-olah ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian seperti gagal dimanfaatkan oleh mahasiswa untuk memasuki alam pekerjaan. Sama ada ilmu pengajian itu sendiri yang tiada nilai untuk kerjaya atau mahasiswa itu sendiri yang dihasilkan tidak cukup kompetitif, kita masih boleh sahaja mendebatnya.

Apa yang pasti dan perlu segera dilaksanakan oleh pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi ialah bertindak membuka ruang yang lebih kepada mahasiswa. Satu ketika dulu, Kementerian Pengajian Tinggi begitu bersungguh menguar-uarkan program kemahiran insaniah, kompetensi generik atau nama lain yang lebih sinonim ialah soft skills.

Malangnya usaha ini nampaknya semakin tenggelam di IPTA tempatan. Tujuan soft skills ini diterapkan kepada pelajar agar nilai kebolehpasaran atau kebolehdapatan pekerjaan menjadi lebih tinggi di kalangan mahasiswa IPT. Soalnya selepas program ini dilaksanakan pun kadar kebolehpasaran masih dibelenggu dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat.

Oleh itu, pihak KPT perlu menilai semula dan mula menggerakkan secara serius dan besar-besaran kemahiran dan pendidikan keusahawanan di pusat pengajian tinggi.

Kalau kita bertanya kepada pelajar IPTA apa yang mereka faham tentang konsep dan idea keusahawanan, rata-rata akan memberikan jawapan yang agak ketinggalan. Mereka memahami keusahawanan sebagai aktiviti menjalankan perniagaan. Maka tidak hairanlah apabila persatuan pelajar menjalankan perniagaan secara kecilan untuk memenuhi maksud dan tujuan keusahawanan tersebut.

Mereka biasanya menjalankan perniagaan seperti menjadi ejen perkhidmatan tambah nilai prabayar telefon bimbit, penjualan cenderahati, menjalankan program motivasi di sekolah, berniaga semasa hari keluarga kolej kediaman atau semasa pesta konvokesyen universiti.

Jika yang lebih berminat untuk berniaga, ada yang menjadi orang tengah untuk membuat t-shirt program untuk rakan-rakan kampus. Itulah sifat atau bentuk keusahawanan yang ada di IPTA sekarang. Semua pelajar nampaknya memahami itulah aktiviti keusahawanan. Pada mereka ilmu keusahawanan adalah perniagaan jual beli barang atau perkhidmatan. Tidak lebih daripada itu.

Sebenarnya pelajar (juga pegawai Hal Ehwal Pelajar dan pensyarah) perlu memahami konsep keusahawanan yang lebih besar daripada itu. Jika kita meneliti lebih mendalam konsep ilmu keusahawanan di IPT, sepatutnya bermula dengan gabungan dua komponen utama iaitu kandungan pengajian dan kemahiran keusahawanan.

Sebagai contoh seorang pelajar yang belajar di dalam jurusan sejarah di universiti seharusnya mempunyai kandungan (pengajian sejarah) dan juga kemahiran keusahawanan untuk mencipta pasaran berkaitan bidang pengajiannya.

Penulis masih ingat kata-kata Mary Anne, (21 tahun) seorang siswi tahun dua pengajian Seni di Universiti College London semasa kami berbual. Antara komen beliau; "saya rasa sudah tidak masuk akal lagi untuk pihak universiti hanya menawarkan kursus pengajian tetapi tidak pula memberikan kemahiran kepada kami bagaimana untuk 'menjual' kepakaran kami selepas tamat pengajian." Saya setuju dengan pandangan beliau terutamanya dalam suasana pasaran kerja sekarang yang agak perlahan.

Universiti seharusnya perlu menggabungkan kandungan pengajian dengan kemahiran keusahawanan pada semua pelajar secara bersepadu. Bayangkan, alangkah baik jika seorang pelajar yang belajar berkaitan seni seperti teater, tarian atau muzik akhirnya akan menjadi usahawan seni. Mereka berupaya membuka galeri seni dan juga kelas seni secara tetap.

Begitu juga dengan seorang pelajar di dalam bidang geografi atau geologi, akhirnya boleh menjadi usahawan pelancongan, menjalankan perkhidmatan berkaitan alam sekitar dan sebagainya. Sepatutnya semua kursus bukan kritikal (seperti perubatan) yang ditawarkan di IPTA perlu mempunyai komponen kemahiran keusahawanan sekurang-kurang satu pertiga daripada keseluruhan silibus kursus pengajian tersebut.

Amalan sekarang ialah pihak pengurusan IPTA menerapkan kemahiran keusahawanan secara ad hoc atau atas pilihan pelajar. Pelajar akan mendaftar untuk menjadi ahli kepada kelab-kelab usahawan di bawah HEP sama ada yang dibiayai oleh pihak universiti atau kementerian dan pihak korporat.

Maka ada beberapa program seperti Techno- Entrepreneur, Program Prosper dan Usahawan Muda yang dijalankan di beberapa buah IPTA. Program ini sifatnya tidak menyeluruh, biasanya dimonopoli oleh kumpulan pelajar yang mengkhusus dalam pengajian ekonomi dan pengurusan perniagaan. Bagaimana pula dengan nasib pelajar di aliran sains sosial, pengajian Islam dan sains tulen. Mereka inilah yang sebenarnya lebih memerlukan kemahiran usahawan berbanding dengan kumpulan pelajar yang pertama.

Kemahiran asas keusahawanan yang ingin dibangunkan kepada mahasiswa perlu memenuhi konsep 3C iaitu Competitiveness, Creativity dan Communication. Semasa berada di Universiti Oxford, penulis perhatikan pelajar akan memperoleh kemahiran ini bukan melalui program ko-kurikulum tetapi dalam kursus pengajian mereka.

Melalui konsep tutorial perorangan secara mingguan (ini adalah keistimewaan Universiti Oxford dan Universiti Cambridge kerana masih mengekalkan amalan tutorial seorang pensyarah dengan seorang pelajar) pelajar dididik tentang budaya Competitiveness, Creativity dan Communication ini. Di sana idea tentang keusahawanan bukan berkaitan hanya ilmu jual beli barangan sahaja tetapi yang jauh lebih penting ialah membina budaya 3C sejak tahun pertama hinggalah tamat pengajian bersepadu di dalam kursus.

Sudah sampai masanya kurikulum kursus bukan kritikal IPTA disepadukan dengan ilmu keusahawanan. Pengajaran dan pembelajaran di dalam dewan kuliah juga perlu memasukkan komponen perkembangan serta isu semasa berkaitan pasaran yang berkaitan bidang pengajian. Ilmu yang diperoleh di dalam dewan kuliah tidak lagi boleh bersifat statik dan diulang-ulang pada setiap sesi pengajian.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url