Top Ad 728x90

Pengantin wang palsu


ALOR STAR: Kelicikan sepasang suami isteri yang baru berkahwin enam bulan lalu menjalankan kegiatan mencetak wang palsu sehingga berjaya mengelak dikesan beberapa bank tempatan dengan memasukkan wang itu ke dalam akaun sejak Julai lalu, akhirnya terbongkar.

Pasangan berusia 20 tahun yang juga penganggur dari Taman Wira Mergong di sini, menjadikan sebuah motel yang disewa sebulan lalu sebagai markas mencetak wang palsu terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, Selasa lalu, sepasukan anggota polis menyerbu rumah berkenaan dan menahan pasangan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Asri Yusof, berkata berdasarkan maklumat, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas di peringkat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah.

Beliau berkata, suspek lelaki membawa sepasukan anggota polis ke sebuah bilik motel yang disewa sejak sebulan lalu berhampiran Hentian Bas Shahab Perdana di sini dan menjumpai wang kertas palsu yang dicetak termasuk peralatan membuatnya.

“Kami menemui 232 keping salinan wang kertas RM50 bernilai RM11,600 serta beberapa peralatan membuat wang kertas palsu.

“Taktik suspek ialah mencetak wang tulen sebelum dibelah dua dan sebelah yang tulen pula ditampal pada wang kertas palsu.

“Suspek kemudian memasukkan wang salinan itu ke dalam cash deposit machine (CDM) dan mengeluarkan semula wang itu melalui mesin pengeluaran wang (ATM) di bank sama,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mula memasukkan wang palsu itu ke dalam CDM dalam jumlah kecil mulai Julai lalu.

“Bagaimanapun, pada pertengahan September lalu, kemasukan wang ke dalam CDM dibuat terlalu aktif sehingga mencecah RM26,000, tetapi baki wang dalam akaun cuma ada RM100.

“Suspek serta isterinya mengetahui teknik membuat wang palsu daripada seorang lelaki dan polis sedang berusaha mengesan suspek terbabit.

“Difahamkan, keluarga kedua-dua suspek tidak mengetahui aktiviti mereka,” katanya.

Mohd Asri berkata, kebanyakan laporan polis berhubung wang palsu dibuat pegawai bank berkenaan dan syarikat Safeguard Securicor iaitu pihak yang mengendalikan pengambilan dan penyimpanan wang di ATM dan CDM dengan bank itu.

Dalam serbuan itu, polis merampas 22 keping salinan wang kertas RM50 di muka belakang, 38 keping salinan di muka belakang, dua keping salinan RM50 muka depan dan belakang.

Sebanyak lima keping salinan RM50 lama di muka depan, lima keping pelekat Bendera Malaysia berkilat, 13 keping kertas A4 salinan RM50 muka depan, 19 keping kertas A4 salinan RM50 di muka depan dan belakang turut dirampas.

Selain itu, 14 keping kertas A4 salinan RM50 di muka belakang, satu seterika jenama Panasonic, tiga keping papan Fomeca, dua keping jubin, dua plastik mengandungi kertas pelekat yang sudah dipotong, satu buku kecil yang tercatat nombor telefon dan satu lampu pengimbas wang kertas.

“Satu beg berjalur mengandungi alat tulis dan gunting, satu dakwat pencetak, satu pemain cakera video digital (DVD) dan 15 keping DVD dan video cakera padat (VCD) lucah,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki mata wang palsu sebagai tulen.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda manakala Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki VCD dan DVD lucah.

“Suspek boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90