Jejambat udara tertinggi di dunia
Oleh SYAH RUL ASWARI ABDULLAH
Ramai warga Malaysia sudah menawan puncak Kinabalu, ada yang sudah sampai ke Taipei 101 dan Menara Eiffel, namun berapa ramai yang sudah menjejakkan kaki ke jejambat udara dua tingkat tertinggi dunia, Skybridge di Menara Berkembar Petronas?
Mungkin kerana terpinga-pinga ditanyakan soalan sama, penulis menerima ajakan untuk mengunjungi tarikan utama di menara berkembar tertinggi dunia itu.
Skybridge yang dipasang di tingkat 41 dan 42 pada ketinggian 170 meter (m), sebenarnya menjadi destinasi popular buat pelancong asing di ibu kota.
Seawal jam 6 pagi, penulis bersama tiga rakan sudah berada di hadapan kaunter untuk mendapatkan pas lawatan yang diberikan secara percuma.
Walaupun kaunter hanya dibuka pada 8.30 pagi, pengunjung termasuk pemandu pelancong sudah datang seawal jam 5.30 pagi, lebih awal daripada kami.
Menjelang jam 8 pagi, barisan sudah melebihi 200 orang. Terdetik dalam hati, mujurlah kami sudah awal-awal ke mari. Sekurang-kurangnya, tidak sia-sialah bangun seawal 5 pagi. Ada yang mengisi masa dengan berborak kosong, menikmati sarapan, membaca novel dan tak kurang melelapkan mata sementara menunggu pintu lawatan dibuka.
Tepat jam 8.30 pagi, kumpulan pertama termasuk penulis dipanggil masuk ke ruang menunggu. Ruangan ini menempatkan bahan pameran interaktif berkaitan dengan Skybridge termasuk membandingkan tinggi pengunjung dengan menara utama dunia. Sebagai contoh, Empire State Tower (381 m) dan Sears (442 m) masing-masing 281 dan 326 kali ganda daripada ketinggian penulis.
Kami kemudian diberikan cermin mata tiga dimensi bagi menyaksikan video pencapaian syarikat multinasional Petronas sehingga pembinaan Menara Berkembar Petronas. Pada ketinggian 452 m, ia menjadi bangunan tertinggi dunia sebelum diambil alih oleh Taipei 101 pada Oktober 2003, dengan kelebihan hanya 56 m.
Pengalaman menarik bermula apabila dibawa menaiki lif pantas yang membawa kami dari tingkat bawah ke tingkat 41 dalam tempoh 41 saat. Ketika dalam lif, stafnya turut memberikan beberapa trivia kepada pelancong. Sebagai contoh, berat Skybridge iaitu 750 tan iaitu kira-kira berat dua pesawat Boeing 737.
Skybridge seperti yang dilihat dari luar kelihatan seperti terowong kaca dengan siling agak tinggi. Ada balkoni kecil di tengah jejambat untuk mereka yang mahu merakamkan panorama Kuala Lumpur terutama bangunan utama di ibu kota. Pada hari cerah, dapat disaksikan kawasan hijau di Taman Tasik Titiwangsa sehingga Setapak dan Cheras.
Tepat jam 9.10 pagi, kami sudah diarahkan untuk memasuki lif ke lobi untuk memberi laluan kepada kumpulan seterusnya. Setibanya di bawah, papan tanda elektronik menunjukkan bahawa pekerja sedang mengeluarkan tiket untuk slot lawatan 4.45 petang. Satu lagi papan tanda pula menunjukkan tiket habis untuk mereka yang baru sampai.
Merasakan terlalu awal untuk pulang selepas beratur hampir tiga jam, kami mengambil kesempatan untuk meninjau barangan dijual di kedai cenderamata termasuk barangan eksklusif F1. Melihatkan khalayak pengunjung, terdetik rasa puas. Sekurang-kurangnya berbaloi melawat ikon negara di negara sendiri, walaupun terpaksa bangun tidur seawal jam 5 pagi.
INFO SKYBRIDGE
>Setiap pelawat dibenarkan mengambil lima tiket, manakala pemandu pelancong berlesen diberikan 40. Anda perlu beratur kerana tempahan awal atau menerusi telefon tidak dilayan. Pengunjung boleh memilih waktu lawatan namun perlu berbaris lebih awal.
>Hanya jejambat tingkat 41 dibuka kepada lawatan, manakala tingkat 42 hanya dikhususkan untuk kegunaan pekerja kedua-dua menara, selain menjadi laluan keluar sekiranya berlaku kecemasan.
>Waktu operasi adalah antara jam 9 pagi hingga 7 malam dan dibuka setiap hari kecuali Isnin. Untuk maklumat lanjut, layari www.petronastwintowers.com.my atau e-mel kepada skybridge@petronas.com.my
- HARIAN METRO