Top Ad 728x90

,

Sektor maritim kuasai LIMA 2009


Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 09) dijangka menjadi tarikan terbaru kerana mencipta kelainan dan mempunyai keistimewaan tersendiri apabila buat pertama kali melibatkan lebih banyak penyertaan sektor maritim berbanding udara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata, terdapat peningkatan jumlah kapal menyertai LIMA 09 sepanjang ia berlangsung dari 1 hingga 5 Disember ini.

“Pameran atau pertunjukan udara tetap seperti biasa, cuma jumlah pesawat komersial sedikit kurang berbanding dahulu kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan disebabkan terlalu banyak mengambil bahagian dalam pameran udara di negara-negara lain.

“Sebanyak 94 buah kapal dan bot pelbagai jenis akan menyertai LIMA kali ini berbanding hanya 71 buah pada LIMA 2007,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai LIMA 2009 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung.

Bagaimanapun, kata Ahmad Zahid, pengunjung-pengunjung masih boleh menyaksikan pameran atau pertunjukan udara yang tetap menjadi tarikan melibatkan pesawat-pesawat canggih pasukan tentera beberapa negara yang mengambil bahagian.

“LIMA 09 cuma kurang penyertaan pesawat komersial tetapi pesawat tentera masih boleh dilihat, begitu juga dengan pertunjukan udara, kali ini tidak ada pasukan aerobatik seperti Red Arrow melakukan aksi udara.

“Bagaimanapun pertunjukan udara tetap berlangsung, kali ini kita boleh menyaksikan aksi menarik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tentera udara dari Singapura. Orang ramai berpeluang untuk melihat pesawat canggih yang dibawa seperti F 16.

Sementara itu, kata Ahmad Zahid, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan bagi mempromosikan LIMA 09 menerusi pelbagai pendekatan.

Menurut beliau, antaranya, sempena LIMA 09, Kementerian Pengangkutan bersetuju memberi tempoh sehingga tiga bulan kepada pengusaha-pengusaha kereta sewa yang tidak mempunyai permit tetapi telah dikenal pasti supaya beroperasi bagi kemudahan pengunjung ke Langkawi.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 324 syarikat daripada 25 buah negara menyertai LIMA 09.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90