SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA 1430 HIJRAH


Hari ini kita sebagai umat Islam di mana jua berada bersama-sama dengan saudara muslimin kita yang sedang menunaikan ibadat Haji, di Kota Suci Mekah, menyambut Aidil-Adha atau Hari Raya Korban, dengan menunaikan syiarnya seperti bertakbir, bersembahyang dan menyembelih korban sebagai bukti melahirkan keimanan kepada Allah, di samping memperingati sunnah Nabi Ibrahim Alaihissalam dan keluarganya, yang telah melakukan pengorbanan demi menjunjung terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala. Pengorbanan menjadi ujian kepada umat manusia, sejarah manakah mereka itu beriman dan mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu Wataala yang menjadikan, yang memberi rezeki dan segala kurniaan yang tidak terkira banyaknya.

Firman Allah Subhanahu Wataala surah Ibrahim, ayat 34:-

Maksudnya:
Dan dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepadanya, dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya dan sangat mengingkari (tidak menghargai nikmat Allah).

Salah satu ibadat yang sangat dianjurkan kita melaksanakannya di Hari Raya Adha ini ialah berkorban sebab itu Aidil-Adha lebih tepat kita sebut Hari Raya Korban. Iaitu menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta, seekor kambing untuk seorang, seekor lembu atau kerbau atau unta untuk tujuh orang. Penyembelihan Korban dilakukan setelah selesai solat Aidil-Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, 13 Zulhijjah.

Korban disyariatkan dalam Islam pada tahun kedua hijrah. Ianya mempunyai tujuan tertentu bagi mengingati pengorbanan teragong Nabi Ibrahim Alaihissalam terhadap satu-satu puteranya Nabi Ismail Alaihissalam, baginda bermimpi, bahawa Allah Subhanahu Wataala memerintahkannya untuk menyembelih puteranya Ismail, yang pada waktu itu sudah berusia 13 tahun dan telah dapat membantu dalam pekerjaan dan perjuangan.

Sebagai manusia biasa, alangkah beratnya bagi Nabi Ibrahim Alaihissalam untuk mengorbankan jiwa belahan hatinya sendiri, lebih-lebih lagi, setelah berusia lebih daripada 60 tahun, barulah baginda mendapat seorang anak laki-laki, hasil perkahwinan dengan Siti Hajar.

Nabi Ibrahim menyampaikan kepada puteranya, Ismail mengenai mimpinya itu, seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran:-

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ash-Shaaffat, ayat 102:-

Tafsirnya:
Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu.

Sebagai seorang putera yang menumpukan ketaatan kepada Allah Taala, maka Nabi Ismail memberikan jawapan yang tidak bergoncang.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ash-Shaaffat, ayat 102:-

Tafsirnya:
Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepada Mu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang-orang yang sabar.

Dalam suasana yang mengharukan yang diliputi oleh semangat iman, Nabi Ismail meminta supaya ayahnya melaksanakan perintah Ilahi iaitu menyembelih lehernya. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya, kemudian pisau yang tajam itu mulailah menyembelih di atas leher anak yang tabah itu.

Pada saat yang mengharukan itu Allah Taala menunjukkan kekuasaannya, melakukan apa yang dikehendakinya. Putera yang disembelih pada waktu itu bukanlah Nabi Ismail, tetapi seekor kibasy (kambing biri-biri) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Dengan demikian, Nabi Ismail Alaihissalam terlepas dari ragutan maut.

Sejak waktu itulah Nabi Ibrahim melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan secara tertib dan teratur. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam meneruskan ibadat korban menjadi satu amalan Islam yang kita laksanakan setiap hari raya Adha atau hari-hari Tasyrik dalam Al-Quran Al-Karim Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Kautsar, ayat 1 - 2:-

Tasfirnya:
Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu sembahyanglah kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).

Hadith dari Aisyah Radiallahu-Anha yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Termizi dan Al-Imam Al-Hakim, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban.

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,
Ibadat korban pada hari raya Adha ini dilakukan bukan sahaja semata-mata untuk membantu kehendak syariat Islam dalam menghidupkan dan meneruskan sunnah Nabi Ibrahim Khalilullah dan sebagai ikutan dari perbuatan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping dapat menghulurkan bantuan kepada golongan fakir miskin, tetapi lebih dari itu ialah sebagai simbolik dari pengajaran Islam, agar umat Islam hendaklah sentiasa berkorban dan berjihad dalam hidup mereka, pengorbanan itu sesuatu yang utama kepada pensaksian akidah untuk kebahagian dan keselamatan hidup di dunia dan di akhirat.

Orang-orang yang berjaya dan maju, hidup dengan menjunjung titah perintah Allah Subhanahu Wataala ialah mereka yang sanggup berkorban, berkorban masa, berkorban wang ringgat, berkorban jiwa raga, tenaga fikiran, perasaan, mengorbankan kepentingan diri dan lain-lain pengorbanan lagi. Mereka inilah orang yang benar-benar berjihad untuk memperolehi keredhaan Allah Subhanahu Wataala.

Tanpa semangat berkorban, orang akan rasa sayang untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Mekah, tanpa semangat berkorban, orang tidak akan sanggup berwukuf di Arafah, di tengah-tengah sinaran panas matahari, demikian juga tanpa semangat berkorban orang akan sayang untuk mengeluarkan belanja bagi penyembelihan haiwan dan sebagainya.

Musuh utama kepada pengorbanan itu ialah syaitan dan hawa nafsu, ia berusaha supaya manusia sayang kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa dan bermacam-macam godaan dan pujukan lagi.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Faathir, ayat 6:-

Maksudnya:
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.

Kaum muslimin yang berbahagia,
Marilah kita menepati janji kita pada setiap hari raya yang maksudnya:

Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, kami tidak sembah melainkan dia, dengan penuh ikhlas baginya sahaja agama, meskipun dibenci oleh orang-orang kafir, tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah yang disembah, benarlah janji-janji untuk memberikan pertolongan kepada hamba-hambanya, dan memberikan kemuliaan serta kemenangan kepada tenteranya, membinasakan tentera ahzab dengan keesaannya.

Korban

Ibadat korban warisan Nabi Ibrahim Alaihissalam ini, mempunyai hikmat yang besar. Di dalamnya tersimpan rahsia-rahsia psikologi, sosial, ekonomi, perjuangan dan sejarah yang agong.

Zahirnya berkorban memerlukan kelebihan rezeki samada memiliki binatang atau wang. Mereka yang berkorban adalah orang yang mampu dari segi ekonomi. Dengan adanya korban, Islam menggalakkan umatnya meningkatkan kedudukan ekonomi masing-masing ke taraf mampu tadi.

Ibadat korban tidak sahaja menuntut pengorbanan wang ringgit atau binatang-binatang ternakan tetapi juga menuntut pengorbanan sepenuh hati. Iaitu ikhlas melakukannya semata-mata kerana Allah Taala.

Hari raya korban mengembalikan ingatan kita kepada sejarah pengorbanan besar Nabi Ibrahim Alaihissalam dalam perjuangannya. Nabi Ibrahim Alaihissalam sepanjang menjalankan tugas sucinya, telah menempuh berbagai-bagai dugaan. Baginda pernah dicampakkan ke dalam api yang bernyala-nyala oleh kaum Namrud. Puncak pengorbanan besar baginda ialah diperintahkan mengorbankan puteranya sendiri Saiyidina Ismail Alaihissalam.

Sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam menjadi sejarah pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya. Pengorbanan kedua-dua orang Rasul tersebut bukan sahaja mengharukan sifatnya tetapi juga penuh dengan semangat. Dan terdapat padanya sifat patuh dan taat terhadap perintah Allah Subhanahu Wataala.

Sepanjang sejarah kehidupan manusia, betapa ramai orang-orang yang telah berkorban kerana Allah Subhanahu Wataala semata-mata. Umpamanya di zaman Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan Islam. Mereka bukan sahaja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saiyidina Ali Karamallahu Wajhah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berhijrah ke Madinah. Saiyidina Abu Bakar As-Siddek dan Saiyidina Othman Radiallahu-Anhuma banyak mengorbankan harta untuk menegakkan Islam. Bilal bin Rabah dan Yasir mengorbankan nyawanya kerana Islam. Demikianlah pengorbankan umat Islam yang terdahulu.

Melaksanakan korban dengan menyembelih binatang ternakan di hari raya ini dan di hari-hari Tasyrik (11, 12, 13) Zulhijjah ini, bukan sahaja sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah Subhanau Wataala yang telah melebihkan rezeki kepada kita, tetapi di dalamnya ada rahsia hidup bermasyarakat. Daging korban itu akan menghubungkan talian kasih sayang yang sangat rapat antara si pemberi dengan si penerima, khususnya yang mempunyai kemampuan dan kurang mampu.

Di samping itu orang-orang yang hidupnya kurang beruntung akan merasa gembira dan bahagia apabila merasai hidup mereka mendapat simpati daripada orang-orang yang berada. Keadaan ini akan menimbulkan rasa belas kasihan, hormat menghormati dalam diri penerima dan pemberi.

Selain daripada mengeratkan silaturrahim sesama muslim, ibadat korban dapat merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil dan terlalu sayangkan harta. Sifat-sifat yang buruk ini boleh menjerumuskan manusia untuk melakukan perbuatan keji seperti penindasan, rasuah, penipuan dan lain-lain sifat keji yang patut kita hindarkan.

Jelas kepada kita ibadat korban dapat membersihkan jiwa manusia dari sifat keji di samping menggilap kembali sifat kemanusiaan yang murni, kerana berkorban benar-benar berkehendakkan keikhlasan dan kemurahan hati, bukan senang untuk mengorbankan harta, kalau hati tidak bersih daripada sifat bakhil atau sayangkan harta. Dan boleh juga menyemaikan benih kasih sayang dan timbang rasa sesama manusia di mana ia boleh merapatkan yang jauh dan mengeratkan yang dekat.

Inilah asas kemasyarakatan yang menjadi hasrat kita besama, erat berpadu sesama umat dalam masyarakat yang membawa kepada kekukuhan umat dan perpaduan negara. Insya-Allah.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisaa’, ayat 175:-

Maksudnya:
Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam) untuk sampai kepadaNya (Allah).

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
Next Post Previous Post
3 Comments
  • Afida Anuar
    Afida Anuar Jumaat, 27 November 2009 pada 8:25:00 PG SGT

    Salam aidiladha buat adha sekeluarga..

  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Jumaat, 27 November 2009 pada 11:25:00 PG SGT

    SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA JUGA!

  • Adam
    Adam Jumaat, 27 November 2009 pada 11:31:00 PG SGT

    Salam Aidiladha kepada Adha :)

Add Comment
comment url