Top Ad 728x90

,

Siapa paling layak ganti Nik Aziz?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Dalam tempoh beberapa hari ini, isu siapa yang bakal menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan ‘hangat’ diperkatakan biarpun Mursyidul Am Pas itu sendiri belum memberi sebarang isyarat sama ada beliau akan berundur dalam waktu terdekat.

Sebenarnya, isu pengunduran Nik Abdul Aziz bukanlah isu baru, malah sejak beberapa tahun lalu ia sudah mula diperkatakan termasuklah setiap kali pilihan raya umum berlangsung. Tetapi setakat ini, belum ada petanda yang jelas bahawa Nik Abdul Aziz akan meninggalkan jawatan itu yang disandangnya sejak tahun 1990.

Apabila soal pengganti diperbincangkan, maka wujudlah nama-nama mereka yang dikatakan layak untuk menggantikan Nik Abdul Aziz. Setakat ini ia berkisar kepada tiga orang sahaja yang ketiga-tiganya adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan iaitu Datuk Ahmad Yakob, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Husam Musa. Ahmad Yakob adalah Timbalan Menteri Besar manakala Nik Amar dan Husam adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Walaupun sebelum ini, Husam sering disebut-sebut sebagai pengganti Nik Abdul Aziz tetapi kenyataan terbaru beliau jelas membuktikan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Kelantan.

“Saya tidak mahu dicalonkan sebagai pengganti. Jadi tak sepatutnya nama saya naik. Saya serius (tentang apa yang dikatakan).’’ Itulah kata Husam.

Namun begitu, sama ada penyokong Pas suka atau tidak, soal pengganti Nik Abdul Aziz tidak akan menjadi satu masalah sekiranya mereka mengkaji kriteria bagi melayakkan seseorang itu menggantikan Mursyidul Am Pas tersebut.

Sejak Pas menguasai Kelantan pada tahun 1990, slogan ‘Bersama Kepimpinan Ulama’ adalah menjadi daya penarik utama bagi membolehkan Pas terus bertahan sehingga kini. Pas mendapat sokongan di kalangan rakyat kerana corak kepimpinan ulama yang diketengahkan.

Inilah faktanya. Oleh itu apabila orang bercakap mengenai pengganti Nik Abdul Aziz (jika Pas masih diberi mandat untuk berkuasa) maka perkara pokok yang paling utama untuk dipertimbangkan ialah individu berkenaan mesti berlatar belakangkan agama, jika tidak maka Pas Kelantan perlu menggugurkan slogan ‘Bersama Kepimpinan ulama’ tersebut.

Dalam soal ini, Pas sudah tentulah tidak mahu ia berlaku kerana sokongan yang diraih oleh mereka selama ini adalah bersandarkan kepada kepimpinan tersebut. Malah Kelantan menjadi satu-satunya negeri yang Menteri Besarnya adalah ulama. Justeru orang melihat dari satu segi Pas sudah terperangkap dengan slogannya sendiri kerana mahu tidak mahu, hanya ulama sahaja yang boleh menggantikan Nik Abdul Aziz.

Jika Pas hendak memilih mereka yang bukan berlatar belakangkan ulama, maka mereka juga harus bersedia untuk berhadapan dengan penolakan rakyat terutamanya penyokong atas pagar yang selama ini begitu bangga apabila melontar undi kepada Pas di Kelantan kerana memahami ulama akan terus memimpin negeri itu.

Kalau kepimpinan ulama mahu dikekalkan maka Pas Kelantan hanya mempunyai dua pilihan sahaja sama ada memilih Ahmad Yakob atau Mohd. Amar.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90