Memanjatkan doa, menebus dosa di tanah suci

Oleh MARZUKI YUSOFF

Hari ini, berjuta-juta umat Islam berhimpun di Mina iaitu salah sebuah kawasan penting dalam pelaksanaan ibadat haji, selain Muzdalifah, Padang Arafah dan Masjidil Haram yang menempatkan Kaabah, Bukit Safa dan Bukit Marwah.

Seperti mana di Padang Arafah, Mina juga berada di kawasan yang dikenali sebagai tanah haram dan para jemaah haji amat digalakkan untuk banyak berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, berdoa dan memohon ampun kepada Allah SWT.

Di tanah haram itu, para jemaah akan merasai cabaran sebenar dalam mengerjakan haji walaupun keadaan di Mina sudah jauh berbeza berbanding dulu kerana khemah-khemah penginapan yang disediakan dilengkapi alat penghawa dingin, manakala kawasan sekitarnya mula menghijau dengan pokok-pokok.

Namun begitu, debaran melalui detik-detik menunaikan ibadat di Mina dan sebelum ini di Muzdalifah serta Padang Arafah tetap ada. Kisah-kisah pelik yang pernah berlaku ke atas sesetengah jemaah pada musim-musim haji terdahulu menambahkan lagi debaran tersebut, apalagi bagi mereka yang merasakan diri pernah melakukan dosa-dosa besar terutama terhadap insan lain seperti mengumpat, menabur fitnah dan hasad dengki.

Malah, apa yang tersemat dalam hati dan fikiran kita dapat dibaca oleh Yang Maha Esa termasuk perbuatan seseorang jemaah sebelum mereka berangkat ke tanah suci. Seperti mana doa mudah dimakbul, hukuman juga mudah ditunjukkan oleh Allah SWT di tanah haram ini.

Bagaimanapun dalam artikel ini, saya tidak berhasrat mendedahkan kejadian tidak diingini berlaku kepada sesetengah jemaah kita dan hanya menyelitkan satu kisah di mana doa seseorang cepat dimakbul Tuhan. Seorang jemaah yang melakukan ibadat umrah untuk arwah isterinya, baru-baru ini, telah berdoa antara lain untuk menatap wajah arwah isterinya ketika bertawaf keliling Kaabah.

Ketika bertawaf itu, si jemaah dengan izin Allah SWT telah ternampak wajah isterinya sedang bertawaf sambil mata merenung ke arah suami. Tiba-tiba wajah arwah isterinya menghilang sekelip mata.

Begitu juga dengan doa lain apabila kita menghadapi kesulitan ketika berada di tanah suci kerana dikatakan Allah SWT sangat gembira jika umatnya banyak berdoa dan memohon ampun kepada-Nya ketika berada di tanah suci ini termasuk di Madinah.

Menyedari betapa penting hari wukuf di sisi Tuhan, Tabung Haji melalui pakar rujuk dan guru-guru agamanya kerap mengingatkan agar setiap jemaah menjaga perlakuan diri dan niat. Gurau-senda dengan rakan-rakan juga kalau seberapa yang boleh perlu dielakkan ketika berada di tanah haram.

Memberitahu

Seorang guru agama memberitahu bahawa sesuatu perkara atau kata-kata yang kita anggap hanya gurauan bagi mengisi masa lapang tetapi di sisi Allah SWT adakalanya ia sesuatu yang serius dan mungkin juga akan menjadi kenyataan.

Oleh kerana itu, guru-guru agama Tabung Haji selalu mengingatkan kepada para jemaah supaya dapat memperbanyakkan solat taubat dan solat hajat bagi mendapatkan pengampunan daripada Tuhan dan dipermudahkan segala urusan ketika berada di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Jika pada artikel minggu lalu, saya banyak memperkatakan mengenai Padang Arafah, minggu ini saya akan fokus sedikit sebanyak mengenai sejarah awal seruan mengerjakan rukun Islam kelima itu, kepentingan Muzdalifah dan Mina dalam menentukan kesempurnaan ibadat haji dan pandangan ulama mengenai usaha mendapatkan haji mabrur.

Sejarah awal ibadat haji bermula setelah Nabi Ibrahim a.s telah selesai melaksanakan perintah Allah SWT untuk membina Kaabah bersama anaknya, Nabi Ismail. Tuhan kemudian memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyeru umat manusia untuk mengerjakan Haji, sebagaimana firman Allah s.w.t: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh.”

Nabi Ibrahim kemudian berdoa: “Wahai Tuhan! Apakah yang akan menyampaikan suaraku?" Lalu Allah Yang Maha Agung menjawab: “Serulah, Aku yang akan menyampaikannya.” Lalu Nabi Ibrahim a.s menaiki bukit Abu Qubis, kemudian memasukkan jari ke dalam kedua belah telinganya sambil menghadap ke arah timur dan barat sambil menyeru: “Wahai sekalian manusia! Diwajibkan ke atas kamu untuk menunaikan ibadat haji di Baitul Atiq, oleh itu sahutlah seruan Tuhan kamu Yang Maha Agung”.

Seruan tersebut telah didengari oleh setiap orang yang berada di dalam salbi kaum lelaki dan setiap yang berada di dalam rahim-rahim perempuan. Seruan tersebut juga telah disahut oleh setiap orang yang berada dalam pengetahuan Allah s.w.t bahawa dia akan menunaikan ibadat haji, sehinggalah ke hari Kiamat. Mereka semua berkata: Yang bermaksud: “Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu.”

Setelah Nabi Ibrahim a.s selesai menyeru orang ramai, malaikat Jibril telah mengiringi baginda lalu menunjukkan kepada Nabi Ibrahim di mana Bukit Safa dan Marwah (kawasan yang menjadi laluan sai di Masjidil Haram). Malaikat Jibril juga membawa Nabi Ibrahim a.s ke sempadan tanah haram, lalu mengarahkan Nabi Ibrahim supaya mendirikan batu di sempadan tersebut.

Sempadan-sempadan itulah sehingga sekarang menjadi pemisah tanah haram dengan tanah halal. Dan ada papan tanda diletakkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk memudahkan para jemaah menentukan sempadan tanah haram. Orang bukan Islam difahamkan sehingga saat ini telah dilarang menjejakkan kaki ke tanah haram termasuk Mekah dan tanah suci Madinah.

Dalam proses menyempurnakan ibadat haji, selain memohon pengampunan atas dosa-dosa lalu, sebahagian besar jemaah mendatangi tanah suci untuk memanjatkan doa atas pelbagai urusan hidup. Jika di Padang Arafah, air mata mudah mengalir keluar kerana kawasan itu dikatakan paling bermustajab. Ini kerana di situlah doa memohon ampun diangkat kepada Tuhan oleh manusia pertama iaitu Nabi Adam dan Hawa.

Di Muzdalifah pula, Allah SWT berfirman: ‘‘Tidak ada dosa bagimu mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmua. Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy‘aril Haram.” Masy‘Aril Haram yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah Muzdalifah.

Mustajab

Mengulas mengenai tempat-tempat mustajab untuk berdoa di tanah suci, Pakar Rujuk Tabung Haji, Datuk Hassan Ahmad memberitahu, ada 15 tempat yang doa seseorang jemaah mudah dimakbulkan.

Antara kawasan itu ialah semasa jemaah sedang melakukan tawaf keliling Kaabah, solat dan berdoa di kawasan multazam dan bawah mirzab, kawasan hijir Ismail, telaga zam-zam, di atas Bukit Safa dan Bukit Marwah, laluan sai dan bahagian belakang Makam Nabi Ibrahim a.s.

Tempat lain ialah di Padang Arafah, Muzdalifah dan kawasan tempat melontar iblis di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Ula, Jamrah Wusta dan Jamrah Aqabah.

‘‘Jemaah Malaysia jangan terikut-ikut dengan sikap sesetengah jemaah luar yang hanya bertumpu ke sesuatu tempat untuk berdoa sehingga berlaku kejadian berasak- asak kerana berebut tempat berdoa,” katanya yang juga Mufti Pulau Pinang.

Menurut Hassan, sebaiknya ketika mendatangi tempat-tempat suci itu termasuk sebelum memasuki Arafah, Muzdalifah dan Mina, sebaiknya seseorang jemaah perlu perbanyakkan solat sunat, sunat taubat terlebih dulu supaya hati dan perasaan kita benar-benar tenang.

Selepas selesai mengerjakan haji, kata beliau, para jemaah perlu mempunyai tekad yang kuat untuk mengubah diri agar mendapat haji mabrur.

‘‘Selain perlakuan, kita perlu jaga tutur kata, elak menabur fitnah, hasad dengki, angkuh dan takabur kerana sikap sedemikian amat dibenci oleh Tuhan,” katanya.

Beliau menambah, jika selama di tanah suci, jemaah merasa rugi tidak berjemaah di masjid, maka amalan seumpama itu perlu diteruskan apabila pulang ke tanah air.

‘‘Jangan nanti hanya di Mekah, kita suka ke bersolat jemaah di masjid tetapi apabila pulang, kita lebih suka bersolat di rumah sedangkan masjid hanya beberapa meter dari rumah,” pesannya.

Menyedari betapa Allah SWT begitu mengambil berat terhadap ibadat haji, Hassan turut berpesan agar setiap jemaah haji perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakan, ahli keluarga dan masyarakat sekelilingnya.

‘‘Dan jika ini dapat mereka tunjukkan, ibadat haji yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia,” tegasnya.

‘‘Elakkan mengulangi kesalahan dan dosa masa lampau kerana kedatangan mereka ke tanah suci adalah untuk membersihkan diri dari dosa,” katanya.

Apabila menyebut soal dosa, seorang lagi Pakar Rujuk Tabung Haji, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menceritakan satu kisah mengenai seorang jemaah setelah semua umat Islam meninggalkan Arfah, berpatah balik ke kawasan itu kerana tertinggal barang.

Apabila tiba ke Arfah, alangkah terkejutnya jemaah tersebut apabila ternampak kawasan itu dipenuhi dengan babi dan monyet. Jemaah itu kemudian mendapat tahu bahawa kehadiran monyet dan babi itu adalah simbolik kepada dosa-dosa yang ditinggalkan oleh para jemaah yang mengerjakan haji.

Dalam satu lagi peristiwa, seorang jemaah terserempak dengan seorang lelaki berada dalam keadaan terlalu sedih sambil menangis di Arfah. Lelaki yang sedang menangis itu adalah iblis yang terlalu sedih melihat segala usahanya menjerumuskan manusia ke lembah dosa menjadi sia-sia apabia dosa jemaah haji mudah diampunkan Tuhan.

Semoga apa yang saya ungkapkan dalam artikel bersiri sempena musim haji ini menjadi pengajaran kepada kita semua dan dapat pula mengajak lebih ramai umat Islam sama-sama menjejakkan kaki ke tanah suci jika mempunyai kemampuan selain mengelak kita dari terus berbuat dosa. Selain itu perbanyaklah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kita sentiasa merindui kepada baginda Rasul yang menghidupkan semula amalan mengerjakan haji daripada nabi terdahulu iaitu Nabi Ibrahim a.s.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url