Tersalah pilih sahabat membawa kehancuran
Sahabat ialah teman yang wujud sepanjang kehidupan seseorang. Sejak zaman kanak-kanak hinggalah ke akhir hayat, sahabat penting dalam putaran kehidupan insan. Ada yang menyatakan sahabat lebih penting daripada wang. Jika kita tiada wang dan mempunyai ramai sahabat, mereka tentu boleh menolong. Imam Syafie pernah berkata, “Bersahabat dengan orang yang tidak takut celaan itu sebenarnya lebih tercela.” Jelaslah dalam memilih sahabat kita mesti berhati-hati serta pandai memilih sahabat yang memberi manfaat dan faedah kepada kita.
Imam Syafie juga menyatakan, “Tanda persahabatan itu hendaklah menjadi teman terhadap teman sahabatnya dan menjadi musuh terhadap musuh sahabatnya.” Ada sahabat yang setia dan sentiasa berusaha membawa kebaikan dalam hidup rakannya. Sahabat sebeginilah adalah sahabat sejati. Sementara ada sahabat yang hadir ketika gembira dan membawa ke arah keburukan. Jauhilah sahabat seperti ini. Ramai tidak menyedari kepentingan bersahabat. Ia dianggap sebagai suatu kebetulan yang hadir silih berganti.
Sebenarnya kawan dan sahabat ada peranannya sendiri. Di kalangan remaja, sahabat memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi manusia. Sahabat juga mempengaruhi kehidupan seseorang remaja dan menentukan arah masa depan mereka. Sahabat biasanya datang daripada lingkungan usia hampir sama, alam persekolahan, minat dan masalah yang dihadapi juga serupa. Sahabat juga biasanya mempunyai minat dan kecenderungan yang sama.
Biasanya bagi remaja, apabila timbul masalah membabitkan persekolahan dan peribadi, sahabatlah tempat mencurahkan isi hati. Kebiasaannya, masing-masing akan mencurahkan masalah, mengeluarkan pendapat dan menjadikan persahabatan semakin akrab. Seterusnya, remaja akan cuba menyesuaikan diri dengan cita rasa rakan atau sahabat mereka. Di sinilah terbentuknya peribadi secara tidak langsung. Sahabat karib biasanya mempunyai personaliti hampir sama.
Remaja yang bijak dan berpandangan jauh akan memilih sahabat karib di kalangan remaja mempunyai kebolehan lebih daripadanya dalam bidang akademik. Keadaan itu boleh membantu memajukan personaliti atau diri seseorang. Membuang sikap yang tidak disukai dalam melakukan sesuatu yang disenangi kedua-dua pihak akan menjadikan seseorang itu lebih sesuai dalam menjalin persahabatan. Seorang sahabat baik mestilah sentiasa menjaga adab ketika berbicara dengan sahabatnya, berlemah lembut, berbuat baik, bersifat warak, bersikap benar dan membuat kebaikan kepada sahabat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Hai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Hujurat, ayat 13)
Menjalin persahabatan baru bermakna membentuk ikatan persaudaraan. Rapatnya hubungan antara rakan memupuk rasa sayang seperti keluarga sendiri. Malah, di kalangan remaja lebih mengambil berat mengenai sahabat berbanding anggota keluarga sendiri terutama yang merantau di tempat orang. Sudah tentulah sahabat menjadi orang paling hampir untuk mencurahkan masalah dan mengadu nasib. Kajian mendapati persekitaran juga mempengaruhi kesan persahabatan iaitu keadaan fizikal, iklim, sosiobudaya, politik dan interaksi antara manusia serta dengan alam sekitar.
Persekitaran termasuk alam sekeliling sebelum dan selepas seseorang itu dilahirkan. Sesungguhnya agama menggalakkan kita mencari sahabat seberapa ramai yang dapat membantu ketika menghadapi kecemasan atau musibah. Bukan semua sedia membantu terutama jika tidak kenal rapat. Sahabat dan teman berbeza kerana sahabat orang paling akrab dan hubungan ibarat ahli keluarga menyebabkan mereka bersedia membantu pada bila masa sementara teman tidak banyak tahu mengenai kita. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan pekerjaan harian selalunya tidak berkesempatan mengenali siapakah teman baik anak mereka.
Sering terjadi ibu bapa tidak mengetahui anak mereka terbabit dengan orang tidak sepatutnya hinggalah sesuatu terjadi pada anak mereka. Ibu bapa perlu ingat salah satu sebab anak menjadi degil dan sering melawan cakap orang tua adalah kerana mereka bosan dengan sikap ibu bapa yang tidak pernah memberi perhatian diharapkan. Sahabat penting dalam kehidupan seseorang tetapi tersalah pilih sahabat akan membawa kehancuran. Pilihlah sahabat yang mempunyai akhlak baik, pembimbing dan kaunselor yang sering memberi nasihat serta perangsang ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.