20,000 penduduk kampung di Filipina terpaksa berpindah


LEGASPI - Kira-kira 20,000 penduduk kampung meninggalkan rumah mereka semalam apabila Gunung Mayon di Filipina memuntahkan lahar dan asap ke udara, kata pihak berkuasa.

Pasukan tentera dan polis menggunakan trak untuk memindahkan orang ramai dari beberapa zon berbahaya di sekitar kaki gunung berapi itu berikutan kebimbangan bahawa satu letusan besar diramal berlaku pada bila-bila masa.

"Selepas Gunung Mayon memuntahkan lahar dan abu setinggi 1,000 meter dari kawahnya, kami tidak dapat menolak kemungkinan gunung berapi itu akan meletus," kata ketua operasi menyelamat di lokasi tersebut, Cedric Daep.

Menurutnya, pihak berkuasa berharap dapat memindahkan hampir 50,000 orang dari kampung-kampung yang berada dalam lingkungan lapan kilometer dari Mayon menjelang esok.

"Kematian dan kecederaan sifar adalah matlamat kami," katanya.

Pasukan keselamatan menggunakan berpuluh-puluh buah trak untuk memindahkan orang ramai ke kawasan-kawasan yang lebih selamat.

Gunung Mayon, yang terletak dalam wilayah Albay di Pulau Luzon iaitu kira-kira 330 kilometres (200 miles) ke tenggara Manila pernah meletus sebanyak 48 kali.

- Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url