Perlindungan kesihatan takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Semua orang mengimpikan kehidupan yang bahagia dan harmoni sehingga sanggup berbuat apa sahaja. Ada yang sanggup memerah keringat, membanting tulang empat kerat, mengorbankan harta mempertaruhkan nyawa.

Tetapi malangnya ramai yang terlepas pandang aspek kesihatan fizikal dan mental dalam mengecapi kebahagiaan hidup.

Ramai yang menabung untuk simpanan hari tua, untuk pendidikan masa depan anak-anak dan seringkali tabungan untuk kesihatan dilupakan.

Malah yang lebih malangnya memandang remeh terhadap aspek tersebut dengan alasan di negara kita ini pihak kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan.

Dewasa ini, kita seringkali dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit kritikal yang memerlukan dana yang besar untuk kos rawatannya.

Penyakit darah tinggi dan kencing manis antara dua jenis penyakit yang boleh memberi kesan sampingan yang kronik, termasuklah serangan sakit jantung. Penyakit jantung merupakan penyakit pembunuh terbesar di Malaysia.

Di samping itu, penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit buah pinggang, strok dan sebagainya, juga antara penyakit yang dikenal pasti menjadi pembunuh rakyat Malaysia masa kini. Penyakit-penyakit ini memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Sebagai contoh anggaran perbelanjaan perubatan rawatan kanser payudara di sekitar RM20,000 ke RM100,000. Tanpa tabungan yang cukup bagaimana boleh menampung kos perubatan yang tinggi.

Kos untuk perkhidmatan perubatan juga telah turut meningkat dari semasa ke semasa sehingga menjadi suatu beban yang akhirnya terpaksa 'merempat' untuk menagih simpati bantuan orang ramai. Hal ini sudah pasti akan menambahkan lagi bebanan menanggung kesakitan dan kewangan.

Dalam konteks ini, Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan amat mementingkan penjagaan kesihatan fizikal sebagaimana Islam mementingkan penjagaan kesihatan jiwa dan akal.

Malah kaedah penjagaan kesihatan dalam Islam lebih syumul bila mana Islam menetapkan bahawa kesihatan itu bukan kesihatan fizikal semata-mata malah ia mencakupi kesihatan jiwa dan akal.

Kesihatan adalah anugerah yang sangat bernilai dan perlu dihargai. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu (riwayat Bukhari ) dan sabda Nabi lagi yang bermaksud: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah." (riwayat Muslim)

Islam mendidik kita untuk menjaga kesihatan dengan cara mengambil langkah-langkah pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit.

Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Apabila sudah ditimpa penyakit maka Islam mengajar kita agar tidak berputus asa dan hendaklah berusaha mencari penawar sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat." (riwayat Bukhari ) Dan sebaik-baik penawar ialah al-Quran sebagaimana firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 82.

Di antara kaedah lain yang ditekankan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan ialah menitikberatkan kebersihan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.

Dari aspek perubatan, kebersihan memainkan peranan yang cukup penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit yang meliputi kebersihan diri dan kawasan persekitaran.

Makanan seimbang adalah antara kaedah yang juga diberi penekanan oleh Islam dalam penjagaan kesihatan. Setiap hari kita menikmati pelbagai jenis juadah makanan untuk keperluan jasmani kita dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti seharian.

Dalam soal pemakanan ini Allah berfirman yang bermaksud: Wahai manusia, makanlah apa-apa di atas dunia ini dari makanan yang halal dan baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya dia adalah musuhmu yang nyata.

Firman Allah juga: Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari apa-apa yang baik daripada rezeki yang dikurniakan oleh kami kepada-Mu dan bersyukurlah kepada Allah dan kepada-Nyalah kamu bersembah sujud (beribadat).

Pendek kata, Islam amat prihatin dalam soal penjagaan kesihatan malah memerintahkan penganutnya sentiasa mengambil berat terhadap penjagaan kesihatan. Ini kerana seperti yang disebut dalam pepatah Arab, 'Akal yang sihat pada tubuh badan yang sihat.'

Memang tidak dinafikan pencegahan adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Namun persiapan menyediakan bekalan kewangan yang mencukupi untuk tabungan kesihatan adalah suatu perkara yang sangat perlu.

Apabila mempunyai kewangan yang mencukupi maka semua perkara akan menjadi mudah dan barangkali tidak banyak kesulitan yang akan dihadapi walaupun sedang ditimpa penyakit. Pepatah Melayu menyebut, 'Sediakan payung sebelum hujan' amat tepat untuk direnungi dan sangat relevan dengan persiapan mewujudkan tabungan untuk kesihatan.

Memenuhi keperluan

Persoalannya, adakah melalui kaedah tabungan biasa seperti yang disediakan oleh institusi kewangan mampu untuk memenuhi keperluan tabungan kesihatan. Memang tidak dinafikan ia merupakan antara kaedah tabungan yang tidak boleh diketepikan.

Cuma dalam hal ini kita mencari satu kaedah yang lebih baik agar ia benar-benar dapat memenuhi keperluan perlindungan perubatan seperti yang kita hajati.

Alhamdulillah, dengan kemunculan takaful seolah-olah memberi nafas baru yang dapat memberikan peluang untuk mendapatkan perlindungan yang lebih komprehensif, adil dan telus.

Hasrat untuk mendapatkan perlindungan kesihatan dapat diperoleh menerusi pelbagai produk berinovatif yang ditawarkan oleh pengendali takaful yang ada di negara kita.

Perlindungan menerusi produk-produk takaful adalah lebih unik kerana ia dirangka berdasarkan kepada tatacara dan modus operandi produk takaful yang mengambil kira kepentingan dan keperluan semua pihak yang terlibat.

Di antara elemen yang ada pada satu-satu produk takaful ialah aspek memberikan bantuan perlindungan (protection) jika ditakdirkan seseorang peserta ditimpa sesuatu musibah.

Sebagai contoh Ahmad menyertai Pelan X dengan mencarum RM100 untuk 10 tahun. Sekiranya Ahmad hidup sehingga tempoh tersebut maka beliau akan memperoleh apa-apa yang terkumpul bagi tempoh berkenaan. Akan tetapi sekiranya ditakdirkan Ahmad baru sahaja menyertai pelan tersebut 1 tahun, beliau meninggal dunia.

Kalau mengikut kaedah simpanan biasa (bukan kaedah takaful) maka Ahmad atau waris Ahmad akan memperoleh secara kasarnya RM1,200. Namun hal ini berbeza dengan kaedah takaful.

Ahmad atau warisnya akan menerima secara kasarnya wang caruman terkumpul dicampur dengan keuntungan pelaburan kemudian dicampur pula dengan baki caruman yang belum sempat dijelaskan yang akan dibayar oleh pengendali takaful hasil daripada derma dan bantuan para peserta lain yang menyertai pelan takaful.

Pendek kata Ahmad atau warisnya akan menerima sejumlah wang yang jauh lebih tinggi berbanding daripada apa yang telah beliau carumkan.

Justeru, perlindungan kaedah takaful seperti yang diterangkan ini jauh lebih bermanfaat dan dapat meringankan beban ketika ditimpa sesuatu musibah berbanding dengan kaedah-kaedah perlindungan biasa.

Takaful Ikhlas sebagai sebuah pengendali takaful yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah telah mengambil langkah yang proaktif dengan menawarkan produk-produk berkaitan perlindungan kesihatan yang inovatif dan dapat memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.

Produk untuk kategori kesihatan ini ditawarkan bukan sahaja kepada individu malah turut ditawarkan kepada badan-badan korporat.

Takaful Ikhlas sangat komited dalam menyediakan perkhidmatan ini selaras dengan iltizamnya untuk memastikan semua urusan perniagaannya berasaskan kepada kesaksamaan dan keadilan.

Di antara produk yang berkaitan kesihatan yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas ialah 'Ikhlas Wanita Takaful' yang direka khusus untuk perlindungan kesihatan wanita, Ikhlas Critical Illnesss. Takaful Rider pula menyediakan perlindungan terhadap 40 penyakit-penyakit kritikal, Ikhlas Hospital Benefit Takaful Rider menyediakan perlindungan dalam bentuk bayaran tunai harian apabila dimasukkan ke hospital dan yang terkini Ikhlas Medic Assist Takaful yang menawarkan lima pelan penghospitalan dan pembedahan yang komprehensif dengan kos yang berpatutan dan turut menyediakan kad perubatan.

Justeru, langkah-langkah proaktif perlu diambil dengan menyertai mana-mana pelan perlindungan kesihatan yang ditawarkan. Menyiapkan perlindungan untuk kesihatan perlu dimulakan dengan segera bukannya setelah penyakit sudah menyerang, seperti pepatah Melayu menyebut, 'Sudah terhantuk baru terngadah.'

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url