3.7 juta belum daftar mengundi

PUTRAJAYA 15 Dis. 2009 - Kira-kira 3.7 juta orang rakyat yang melepasi umur 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Menurutnya, peratus terbesar yang belum berbuat demikian merupakan orang Melayu, diikuti kaum India dan Cina.

''Mereka seharusnya sedar tanggungjawab sebagai pengundi untuk menentukan masa depan rakyat dan negara ini.

''Jangan ingat jika anda mendaftar hari ini, esok boleh mengundi. Sekurang-kurangnya empat hingga lima bulan diperlukan oleh SPR untuk memasukkan senarai nama anda dalam Daftar Pemilih yang disahkan untuk mengundi," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mengikut rekod SPR, DAP paling aktif dalam membantu badan itu mendaftarkan pengundi baru yang melepasi umur 21 tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu.

Ia diikuti oleh Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala yang paling lembab adalah MIC dan Gerakan.

Kerjasama SPR dengan parti-parti politik adalah menerusi Penolong Pendaftar Sementara (PPS) yang diberi kuasa oleh badan itu untuk berbuat demikian.

PPS daripada DAP mengatasi parti-parti lain di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

Daripada kutipan data pemilih baru sejak PRU-12, SPR mendapati kesedaran kaum Cina sebagai pengundi pilihan raya adalah yang paling tinggi sementara terendah adalah kaum India.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url