Siaran langsung Perlawanan Akhir Bolasepak Sukan SEA jam 6 petang Khamis 16 Disember
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya berkata, siaran itu yang ditaja oleh Telekom Malaysia, akan dapat ditonton menerusi TV2 dan dijangka bermula pada 6 petang.
"Bagaimanapun waktu siarannya tertakluk kepada pukul berapa perlawanan dimulakan," katanya pada sidang akhbar di Angkasapuri hari ini untuk mengumumkan program Rentak Juara-Rhythm of Champions 2010.
Malaysia melayakkan diri setelah mengalahkan tuan rumah Laos 3-1 dalam perlawanan separuh akhir malam tadi manakala Vietnam menundukkan Singapura 4-1.
Perlawanan akhir itu nanti memberi peluang kepada Malaysia menebus kekalahan 1-3 kepada Vietnam di peringkat kumpulan.
- BERNAMA