AJL24: ‘Music Unfolds’ Rai Era Muzik 60-an, 70-an, 80-an Dan 2000
Jika tahun ini, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23 mempertaruhkan tema ‘Iluminasi Muzik’ dengan menampilkan konsep ‘cahaya’ yang memenuhi set pentas yang menarik.
Berlainan pula dengan tahun depan, AJL 24 lebih menekankan konsep pergerakan pentas sealiran dengan era muzik yang semakin menapak jauh dalam industri muzik tempatan dengan membawakan tema Music Unfolds.
Empat belas buah lagu oleh 13 artis popular solo dan berkumpulan akan berentap di AJL 24 pada 10 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil pada pukul 9 malam dan disiarkan secara langsung di TV3.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, tema Music Unfolds dipilih sebagai menerapkan perkembangan dan perjalanan arus muzik.
AJL 24 akan diselang-selikan dengan grafik dan imej disusuli dengan susunan muzik dan persembahan memberikan impak kepada bukan sahaja persembahan finalis malah secara keseluruhan perjalanan program ini berlangsung.
“Music Unfolds melibatkan transformasi muzik dari era 60-an, 70-an, 80-an hingga sekarang. Ia juga meibatkan pergolakan perubahan muzik yang dinamik.
“Misalnya muzik berubah dari muzik mainstream kepada muzik indie mengikut arus zaman,” ulasnya ketika majlis sidang media AJL 24 di Rootz Club, Bukit Bintang, kelmarin.
Lebih menjelaskan tentang tema ini, penerbitnya, Ahmad Shaifullizam Arshad atau Gbam berkata muzik ini bukan sahaja boleh digambarkan melalui kata-kata dan lagu tetapi set pentas.
“Maksud saya, perubahan bukan sahaja akan dilakukan dari segi lagu dan susunan tetapi juga persembahan pentas.
“Saya akan menggunakan 12 buah kamera untuk melaksanakan konsep ini.
“Mengenai persembahan artis, kami akan mengundang penyanyi Datuk Siti Nurhaliza untuk membuat persembahan opening untuk pertama kalinya dalam 24 tahun sejarah AJL.
“Selepas 14 artis yang bertanding membuat persembahan mereka, kita akan menghidangkan penonton dengan persembahan interlude oleh empat artis.
“Kita akan menjemput penyanyi Datuk Jeffridin untuk menyanyikan lagu pop yeh-yeh bagi menunjukkan era 60-an, manakala Jay Jay akan menyanyikan lagu era 70-an yang berentak disko.
“Kumpulan Search pula akan menyemarakkan kegemilangan era 80-an. Seterusnya, band Meet Uncle Hussain tampil untuk mewarnai era tahun 2000 yang lebih berentak lagu indie.
“Saya memang telah lama mengimpikan untuk menerbitkan AJL sejak bergerak krew biasa pada 10 tahun lalu.
“Insya-Allah, saya akan cuba melaksanakan idea yang telah difikirkan sejak enam bulan lalu ini dengan menggunakan bajet sebanyak RM2 juta yang diperuntukkan oleh TV3,” jelas Gbam dengan perasaan penuh teruja.
Setiap persembahan artis akan dibantu oleh orkestra di bawah pimpinan Ramli MS.
Tambah Gbam, dia juga akan dibantu oleh 100 krew produksi yang lain di mana 10 orang merupakan krew utama.
Malam kemuncak itu juga bakal menggandingkan pengacara yang tidak asing lagi iaitu Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar.
Seperti yang diketahui, lagu-lagu yang dicipta oleh komposer-komposer dan penulis lirik terkenal tahun ini bebas daripada spesifikasi dan tanpa kategori Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock seperti mana sebelum ini.
Dengan itu, Juara Lagu ke-24 akan memenangi trofi dan wang tunai RM35,000, Naib Juara Lagu ke-24 (trofi dan wang tunai RM15,000) dan tempat ketiga Juara Lagu ke-24 (trofi dan wang tunai RM12,000).
Finalis akan diadili oleh juri profesional yang masih dirahsiakan di mana 70 peratus dinilai menerusi CD manakala 30 peratus melalui persembahan mereka di pentas.
Sementara anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik masing-masing berupa trofi dan wang tunai RM10,000 yang akan diadili pada malam persembahan.
Berikut merupakan lagu, artis, komposer dan penulis lirik yang akan bertanding mengikut giliran:
1) Aurora- sepenuhnya oleh Estranged
2)Tak Mungkin Kerana Sayang- Alyah/ Ajai/ Habsah Hassan
3)Cinta Adam & Hawa- Misha Omar/ Azmeer/ Loloq
4)Masih Jelas- Hafiz/ Aidit Alfian/ Ad Samad
5)Situasi- Bunkface/ ciptaan sepenuhnya oleh Sam
6)Pakai Buang- Stacy/ ciptaan sepenuhnya oleh Edry KRU
7)Pergi- Aizat/ Pete Teo/ Amran Omar
8)Aku Skandal- Hujan/ ciptaan penuhnya oleh Noh Hujan
9)Bencinta- Faizal Tahir/ Audi Mok/ Faizal Tahir
10)Aku Rindu Sayang Kamu- Black/ ciptaan sepenuhnya oleh Yuzai
11)Bengang- Akim/ Amir/ Sheikh Qalam
12)Dan Sebenarnya- sepenuhnya oleh Yuna
13)Kau Aku- sepenuhnya oleh Aizat
14)Rindu Terhenti- Tomok/ Aubrey Suwito/ Tinta
- MSTAR