Amaran pengidap HIV wanita kian meningkat

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengeluarkan amaran mengenai virus HIV, dengan mengatakan lebih ramai wanita dijangkiti virus pembunuh itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Malaysia mengalami epidemik HIV secara berperingkat di kalangan wanita dengan bilangan kes jangkitan terbaru bertambah melalui hubungan seksual, katanya.

Kes HIV yang disebarkan menerusi hubungan seks meningkat dari 18.9 peratus pada 2000 kepada 29.8 peratus pada 2008, manakala kes di kalangan wanita bertambah dari 9.4 peratus kepada 19.1 peratus dalam tempoh yang sama, katanya.

Kemuncak bilangan kes HIV yang dilaporkan ialah pada 2002 dengan 6,978 kes baru, kata Liow semasa berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan HIV/AIDS sempena Hari AIDS Sedunia 2009 di Pulau Pinang.

"Jumlah itu sama dengan kadar 28.5 notifikasi kes HIV bagi setiap 100,000 penduduk tetapi kadar itu menurun kepada 13.3 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2008," katanya.

Menurutnya, data pengawasan bagi Januari hingga September tahun ini menunjukkan bahawa kadar itu mungkin menurun lagi kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada 2009.

"Penurunan tersebut selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) kami bagi menghentikan dan mengubah trend penularan HIV menjelang 2015," katanya.

Liow juga berkata kementerian sedang menggalakkan pasangan supaya menjalani ujian HIV sebelum berkahwin bagi mengurangkan kadar jangkitan HIV khususnya di kalangan wanita.

"Buat masa ini, semua pasangan Islam wajib menjalani saringan HIV sebelum mereka bernikah tetapi saya harap semua pasangan akan mengambil ujian HIV sebelum berkahwin secara sukarela," katanya.

Sementara itu, aktivis sosial Datuk Paduka Marina Mahathir berkata saringan HIV yang wajib bagi pasangan perlu dihapuskan.

"Kita perlu mendidik dan menggalakkan pasangan khususnya wanita supaya mengambil ujian itu secara sukarela dan bukan secara paksaan," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url