Batam - Bukan sekadar hiburan malam

Pulau Batam yang terletak di bawah Riau itu merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Indonesia, juga terkenal dengan aktiviti penghantaran atau pengusiran pendatang tanpa izin Indonesia.

Baru-baru ini penulis berpeluang berkunjung ke pulau terkenal dengan destinasi membeli-belah kalangan rakyat Malaysia dan Singapura kerana barangannya dikatakan lebih murah berbanding yang dijual di kedua-dua buah negara tersebut.

Landasan di Lapangan Terbang Hang Nadim, Batam itu adalah yang terpanjang di Indonesia dan membolehkan pesawat mendarat dengan lancar dan itulah kelebihan Batam, semua pembangunan dibuat untuk jangka panjang.

Penulis menginap di Hotel Golden View. Bilik penulis menghadap laut, pemandangannya memang cukup cantik, tetapi kerana banyak kerja-kerja pembinaan dan menebus guna kawasan laut, ia sedikit terjejas.

Dari tingkap hotel dapat dilihat pelbagai projek sedang berjalan pesat, seperti kawasan rekreasi, litar go-kart, pantai buatan dan kapal ala zaman Laksamana Cheng Ho bagi membawa pelancong bersiar di perairan Batam dan yang telah siap hanya dua buah restoran makanan laut yang cukup besar.

Daripada pengamatan penulis jika semua projek itu siap ia menjadi sesuatu yang cukup menarik dan akan digilai pelancong.

Selepas itu penulis minum teh tarik dan roti canai di sebuah restoran 'mamak' di kawasan Nagoya (bukan di Jepun, tetapi masih di Batam).

Bukan sahaja kedai mamak itu menyediakan semua makanan yang terdapat di kedai mamak di Malaysia, tetapi susun atur dan bentuknya sama seperti kedai mamak di tanah air, jadi terasa bagaikan berada di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Di kedai itu Ketua Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Kota Batam, Guntur Sakti yang bercerita panjang tentang perancangannya untuk merealisasikan tahun 2010 sebagai Tahun Melawat Batam.

Memang Guntur mengakui bajet mereka terhad, tetapi beliau begitu bersemangat untuk menggunakan segala kemudahan yang ada bagi menjayakan perancangan tersebut.

Destinasi

Batam memang terkenal sebagai destinasi pelancongan dan jumlah pelancong yang mengunjungi pulau itu pernah mengatasi Bali dan Jakarta, tetapi kedatangan pelancong kini mulai statik oleh kerana tiada tarikan baru selain lokasi untuk membeli-belah dan pusat hiburan waktu malam.

Sehubungan itu Batam yang melancarkan tahun hadapan sebagai tahun melawat Batam, perlu memikirkan sesuatu yang tidak ada di kedua-dua buah negara jiran itu.

Disasarkan hampir dua juta pelancong asing datang ke Batam pada tahun hadapan dan keunikan budaya serta aktiviti di laut akan dijadikan sandaran.

Batam yang terletak di bawah Riau bukan sahaja terkenal dengan kebudayaan Melayu iaitu merupakan majoriti masyarakat di pulau itu, tetapi juga kini dihuni oleh pelbagai kaum dari seluruh Indonesia.

Oleh itu Batam bakal dijadikan pusat kebudayaan Indonesia dan dengan berkunjung ke pulau berkenaan orang ramai dapat melihat semua budaya yang terdapat di Indonesia.

Selain itu kegiatan di laut seperti sukan ekstrem akan dijadikan tarikan baru di Batam kerana melihatkan potensi yang begitu baik terdapat di kawasan sekitarnya.

Selain itu Batam juga merancang untuk mengadakan aktiviti bermain layang-layang bagi menarik rakyat Singapura yang gemarkan aktiviti itu kerana ia memang sukar untuk dijalankan di Singapura.

Bagi orang Malaysia yang majoriti Melayu, Batam merupakan destinasi bagi mereka untuk menelusuri kebudayaan Melayu.

Selain itu pelancongan makanan juga akan dipertingkatkan memandangkan Batam mempunyai khazanah makanan laut yang banyak dan resipi yang unik.

- MINGGUAN MALAYSIA

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url