Drama bersiri 'pecah TV'

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

Selera penonton terhadap drama di kaca TV berubah-ubah mengikut masa, pengaruh sekeliling, kekuatan drama dan promosi media. Saban hari, pelbagai jenis drama sering disiarkan di kaca televisyen bermula dari pagi hinggalah malam.

Hakikatnya fenomena dan minat penonton Malaysia terhadap drama di kaca TV bukan sahaja terarah kepada drama tempatan bahkan turut tercetus pada drama-drama yang diimport.

Ini termasuklah telenovela dari Amerika Selatan, sinetron dari Indonesia dan drama bersiri, Korea. Yang pasti, menyorot 10 tahun durasi masa kebelakang, drama tempatan semakin bersaing sengit untuk merebut perhatian penonton.

Kosmo! menyenaraikan beberapa buah drama bersiri yang pernah menjadi fenomena di kaca TV negara. Drama yang menimbulkan fenomena ini bukan setakat menjadi bualan, bahkan akan segera diulang tayang, dijadikan cakera padat digital atau menyebabkan berlakunya demam drama atau sinetron.

Natasha (2005)


Pada awalnya, ramai yang memperlekehkan drama 'air mata' Natasha yang dilakonkan oleh Fasha Sandha.

Bagaimanapun, kisah hidup malang seorang gadis kampung yang sering dikatakan membawa sial kepada orang di sekeliling dan perlu bertarung mengharungi nasib malangnya mula menjadi sebutan ramai.

Drama ini berjaya mengumpulkan sebanyak 3 juta penonton dan kerana itu Natasha disambung pula ke musim kedua.

Bawang Putih Bawang Merah (2006)

Rating sinetron ini mencecah 3.5 juta penonton di seluruh negara.

Bahkan ia terus mengungguli takhtanya sehingga menewaskan rating drama lain di semua saluran TV pada tahun 2006.

Penangan Bawang Putih Bawang Merah ini juga menjadi bahan bualan kebanyakan orang sehingga ia menjadi satu fenomena luar biasa kepada negara.

Bahkan ia mencetuskan kontroversi kerana dikatakan boleh memesongkan akidah umat Islam kerana jalan ceritanya yang mempunyai unsur-unsur tahyul.

Di sebalik kontroversi itu, drama bersiri tersebut tetap menjadi pilihan para penonton di rumah.

Bawang Putih Bawang Merah turut mencatat rating tertinggi di Indonesia selama setahun dan pernah memenangi Anugerah Sinetron Paling Popular di Indonesia.

Sejak itu, bermulalah pelbagai drama sinetron di saluran TV tempatan untuk disiarkan kepada umum.

Maria Mercedes (2000)

Fenomena telenovela pula bermula dengan siri Maria Mercedes.

Dengan kecantikan pelakonnya, Thalia serta lenggok bahasa yang sedap didengar, drama bersiri ini masih lagi menjadi tontonan setia masyarakat biarpun ia mempunyai lebih daripada 150 episod.

Keterujaan para penonton khususnya suri rumah mengenai drama ini membuatkan Maria Mercedes mendapat rating yang tinggi terutamanya pada hujung episod telenovela itu.

Populariti telenovela membuatkan peminat mula menerima telenovela lain seperti Rosalinda, Mi Gorda Bella dan Yo Soy Betty La Fea walaupun ia tidak dialih suara.

Kemudian, pengkarya drama tempatan mula mengadaptasikan pula telenovela dari Venezuela itu untuk dilakon semula oleh penggiat seni tempatan sendiri. Drama bersiri seperti Manjalara juga sedikit sebanyak memetik idea Yo Soy Betty La Fea.

Sehingga kini, drama-drama telenovela masih lagi melekat di hati kebanyakan penonton.

Winter Sonata (2003)


Drama ini pernah menjadi satu fenomena penonton TV di banyak negara. Winter Sonata menjadi demam peminat drama negara ini khususnya yang meminati pelakon-pelakon cantik dan kacak dari Korea.

Fenomena dan demam Winter Sonata turut disumbangkan oleh hero dan heroinnya, Bae Yong Joon dan Choi Ji Woo.

Setelah tamatnya drama tersebut, demam drama bersiri Korea terus melanda termasuklah munculnya drama Autumn In My Heart dan Scent of Summer.

Gol dan Gincu (2006
)

Drama bersiri yang diadaptasi dari filem ini pantas mencuri tumpuan dengan jalan cerita yang segar dan begitu menghiburkan.

Kejayaan luar biasa Gol & Gincu sebagai drama Melayu pertama mendapat sambutan hangat di stesen 8TV telah mengumpulkan lebih 500,000 penonton pada empat episod pertama.

Diterbitkan oleh Red Communications dengan Bernard Chauly sebagai pengarah, Lina Tan selaku penerbit eksekutif, Gol dan Gincu menjadi ikutan golongan remaja urban.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url