Top Ad 728x90

Fokus: Sekolah Berasrama Penuh (SBP) jadi pilihan

Setiap kali keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diumumkan, pasti ramai ibu bapa mula mengatur perancangan bagi memilih sekolah terbaik untuk anak masing-masing meneruskan pendidikan menengah atas.

Bagi 28,188 pelajar yang memperoleh semua A daripada 442,721 calon menduduki PMR tahun ini, pastinya sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menjadi pilihan utama, selain sekolah menengah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah berasrama harian dan sekolah menengah teknik atau vokasional.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keghairahan menghantar anak ke SBP atau SMKA begitu jelas kerana mereka berpendapat sekolah berkenaan mampu melonjakkan pencapaian akademik atau kekal cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, katanya, persaingan memasuki sekolah berkenaan pastinya sengit berikutan tempat yang terhad berbanding jumlah pelajar cemerlang semakin ramai.

“Kita mempunyai 58 SBP, SMKA (55) dan banyak lagi asrama harian, jadi lepasan PMR boleh memilih mana-mana institusi sesuai mengikut kelayakan mereka di dalam lima bidang termasuk kemanusiaan, sains, teknikal, agama dan vokasional.

“Kini hanya yang terbaik akan mendapat tempat. Namun pelajar jangan bimbang, jika mereka memiliki tahap akademik dan kokurikulum terbaik sememangnya peluang itu ada.

“Kepada pelajar yang sudah memohon untuk ke SBP dan SMKA keputusan akan diketahui bulan depan dan boleh diketahui menerusi laman web Kementerian Pelajaran iaitu www.moe.gov.my,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.

Alimuddin berkata, kriteria ke SBP tidak banyak berubah berbanding tahun sebelum ini, iaitu cemerlang akademik dan kokurikulum.

“Di SBP, pelajar bukan sekadar belajar tetapi ia adalah tempat membentuk keperibadian mereka supaya boleh menjadi pemimpin di masa depan.

“Kepada calon yang tidak berjaya mendapat tempat selepas pengumuman dibuat bulan depan, rayuan boleh dikemukakan, namun ia adalah berdasarkan kekosongan.

Mara juga akan mengumumkan keputusan pengambilan pelajar Tingkatan Empat ke MRSM bulan depan.

Daripada 39 MRSM seluruh negara, hanya tiga menawarkan kemasukan untuk selepas PMR iaitu masing-masing MRSM Taiping, Perak; Pangkalan Chepa, Kelantan dan Tun Ghafar Baba (Jasin), Melaka.

Sementara itu, sebanyak 8,208 tempat disediakan bagi memasuki Tingkatan Empat di SMKA seluruh negara, bagi sesi persekolahan tahun depan.

Penolong Pengarah, Unit Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran, Abd Jalil Ahmad, berkata jumlah itu adalah anggaran pelajar dari sekolah harian biasa yang menawarkan aliran rancangan khas agama ke tingkatan empat tahun depan.

Katanya, jumlah itu mungkin berubah kerana terdapat pelajar SMKA yang ditawarkan ke SBP atau terpaksa meningkalkan sekolah berkenaan kerana tidak menepati syarat minimum kemasukan ke Tingkatan Empat.

“Selain tambahan 903 tempat berbanding 7,305 tahun ini, lapan kelas lagi disediakan di SMKA menjadikan jumlah keseluruhannya 262 pada tahun depan.

“Pertambahan itu dibuat kerana jumlah pelajar tingkatan tiga sekarang lebih ramai berbanding kohort tingkatan empat dan peningkatan permohonan setiap tahun, sekali gus membuktikan SMKA terus menjadi pilihan ramai calon PMR melanjutkan pelajaran.

Katanya, calon yang berjaya dijangka mendaftar pada minggu pertama persekolahan.

“Pemilihan calon serta surat tawaran kepada pelajar berjaya akan dikeluarkan jabatan pelajaran negeri (JPN), begitu juga tarikh pendaftaran ke sekolah terbabit juga ditetapkan mereka.

“Calon boleh menyemak status permohonan di JPN masing-masing," katanya kepada Berita Harian.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90