Analisis Saham: Aset Hong Leong, EON RM121.4 bilion

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

Penggabungan Hong Leong Bank, bank keenam terbesar Malaysia dan EON Capital Bhd, bank ketujuh terbesar bakal mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Langkah berkenaan bakal menjadikan entiti yang diperbesarkan itu sebagai bank keempat terbesar negara mengatasi kumpulan RHB Capital Bhd dan AMMB Holdings Bhd, justeru menempatkannya di belakang Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd.

Jika penggabungan berkenaan menjadi kenyataan, gabungan aset Hong Leong Bank dan EON Capital akan meningkat kepada RM121.4 bilion, mengatasi RHB Capital yang hanya memiliki aset sebanyak RM110.5 bilion.

HwangDBS Vickers Research dalam laporan penyelidikannya berkata, langkah itu akan meningkatkan keupayaan kewangan Hong Leong Bank, sekali gus memenuhi aspirasinya untuk menjadi peserta serantau yang utama.

"Kami positif ke atas Hong Leong Bank. Kami sudah memberi saranan beli ke atas bank itu dengan harga sasaran RM9.50 sesaham berdasarkan kualiti pendapatannya dan rancangan pengembangan di peringkat serantau.

"Walaupun dikejutkan dengan langkah Hong Leong Bank untuk meneruskan perbincangan dengan EON Capital, namun kami yakin, aktiviti pengambilalihan dan penggabungan (M&A) itu atas keperluan meningkat operasi domestik dalam menyokong pengembangan di peringkat serantau," katanya.

Pada 17 Disember lalu, Hong Leong Bank mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Bank Negara Malaysia sudah membenarkan kumpulan itu untuk meneruskan rundingan dengan beberapa pemegang saham utama EON Capital bagi kemungkinan pengambilalihan aset dan liabiliti termasuk kepentingan ekuiti EON Capital.

Kenanga Research pula berkata, penggabungan itu akan mewujudkan sinergi dan menyingkap nilai dalam EON Capital.

"Hong Leong Bank adalah bank komersial yang diurus dengan baik dengan lebihan deposit, sementara itu EON Capital memiliki kelebihan khusus dalam perniagaan sewa beli.

"Walaupun entiti yang diperbesarkan kelak itu akan memiliki akaun lebih besar khususnya lembaran imbangan, namun saiz dan penguasaan pasaran yang lebih besar akan memberi kelebihan kepada entiti itu," katanya dalam laporan penyelidikan baru-baru ini.

Bagaimanapun, sebahagian besar penganalisis berpendapat, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai langkah M&A itu dan kejayaannya akan bergantung pada respons daripada rundingan dengan pemegang saham utama EON Capital dan penetapan harga saham kumpulan itu.

Pada 21 Disember lalu, EON Capital mengumumkan kepada Bursa Malaysia, tiga pemegang saham utamanya iaitu Kualapura Sdn Bhd, RH Development Sdn Bhd dan Lintang Emas Sdn Bhd, sudah mendapat kebenaran daripada Bank Negara untuk berunding mengenai penjualan saham mereka dalam kumpulan perbankan itu.

Kualapura dan Lintang Emas adalah syarikat pelaburan milik Rin Kin Mei, tokoh perniagaan terkemuka Singapura, manakala RH Development adalah milik Tan Sri Tiong Hiew King, pengasas kumpulan Rimbunan Hijau dan menguasai Sin Chew Jit Poh dan Guang Ming Daily, dua media berbahasa Cina di Malaysia.

Penganalisis berkata, secara umumnya untuk menjayakan langkah berkenaan Hong Leong Bank memerlukan persetujuan daripada RH Development yang menguasai 16.3 peratus ekuiti dalam EON Capital; Kualapura dan Lintang Emas (15.4 peratus), selain Primus Pacific Partners dari Hong Kong (20.2 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (11.9 peratus), Khazanah Nasional Bhd (10 peratus).

Penganalisis secara umumnya tidak menjangka Primus, pemegang saham terbesar EON Capital akan bersetuju menjual pegangannya kerana syarikat pelaburan berkenaan membeli saham kumpulan perbankan itu pada harga tinggi tahun lalu iaitu RM9.55 sesaham daripada DRB Hicom.

Bagaimanapun, ia pasti menjadi kenyataan dan memadai jika pemegang saham utama seperti Tiong, Rin dan Khazanah atau KWSP bersetuju, justeru menjadikan lebih 41 peratus saham bakal menjadi milik Hong Leong, sekali gus membuka peluang tawaran awam (GO) dibuat bagi baki saham yang belum dimilikinya.

Penganalisis berkata, berdasarkan urus niaga M&A yang dibuat sebelum ini, yang mana membabitkan kombinasi pertukaran saham dan tunai, penggabungan baru itu akan membolehkan pemegang saham EON Capital menyertai potensi pertumbuhan Hong Leong Bank pada masa akan datang dan potensi lonjakan harga saham.

Sementara itu, OSK Research dalam nota penyelidikannya berkata, Hong Leong Financial Group (HLFG) ketika ini memiliki 64 peratus pegangan dalam Hong Leong Bank dan jumlah berkenaan sudah mengatasi peraturan had pegangan bagi sesebuah syarikat iaitu 20 peratus.

"Jika sebahagian daripada pengambilalihan EON Capital menerusi terbitan saham baru, ia akan membantu HLFG untuk mengurangkan pegangannya dalam Hong Leong Bank," katanya.

Dari segi harga pengambilalihan, HwangDBS mensasarkan RM7.35 sesaham bagi EON Capital selepas menambah premium M&A, sementara Kenanga pula mensasar harga antara RM6.54 hingga RM7.04 dan OSK antara RM7.60 hingga RM7.90 sesaham.

Namun, Kualapura dan RH Development pada 18 Disember, menafikan pihaknya bersedia menjual pegangan ekuiti kepada Hong Leong Bank pada harga RM8.20 sesaham seperti yang nyatakan oleh Penganalisis BNP Paribas sebelumnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan, pemilik Rin dan Tiong menjelaskan bahawa mereka masih belum mengadakan sebarang rundingan mengenai perkara itu.

OSK berkata, walaupun mereka menafikan laporan berkenaan, namun jika penetapan harga dibuat pada paras menarik dan berpatutan, sudah tentu pemegang sahamnya akan bersedia berbuat demikian.

Penganalisis secara keseluruhannya, berkata mereka perlu menunggu beberapa siri pengumuman lagi berhubung langkah berkenaan daripada Hong Leong Bank dan EON Capital bagi membolehkan penilaian dibuat.

Susulan itu, mereka secara umumnya, memberikan saranan 'pegang' ke atas Hong Leong Bank dengan harga sasaran antara RM7.90 hingga RM8.30 sesaham, sementara menunggu maklumat lebih terperinci berkaitan perkara itu.

- BERITA HARIAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url