Israel akui curi organ mayat rakyat Palestin

BAITULMAQDIS: Israel mengakui bahawa pakar forensiknya mengeluarkan organ dalaman daripada mayat pada 1990an, termasuk daripada mayat rakyat Palestin, tanpa kebenaran keluarga mereka.

Isu berkenaan timbul berikutan penerbitan satu temu ramah dengan Ketua Institut Forensik Abu Kabir Israel ketika itu, Dr Jehuda Hiss. Temu ramah berkenaan dilakukan pada 2000 oleh seorang ahli akademik Amerika, yang mendedahkannya apabila timbul kontroversi berhubung dakwaan sebuah akhbar Sweden bahawa Israel membunuh rakyat Palestin bagi mengambil organ dalaman mereka. Israel menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya.

Sebahagian daripada temu ramah itu disiarkan menerusi Saluran 2 televisyen Israel hujung minggu lalu. Hiss dipetik sebagai berkata “Kami mula mengambil kornea mata. Ia dilakukan dengan tidak rasmi. Tiada kebenaran diperoleh daripada keluarganya.”

Laporan Saluran 2 menyatakan pada 1990an, pakar forensik di Abu Kabir mengambil kulit, kornea, injab jantung dan tulang daripada mayat askar Israel, warga Israel, Palestin dan pekerja asing, selalunya tanpa kebenaran daripada saudara mara.

Dalam responsnya kepada laporan TV berkenaan, pihak tentera Israel mengesahkan bahawa amalan itu pernah berlaku. “Kegiatan ini tamat dekad lalu dan tidak berlaku lagi,” kata pihak tentera dalam kenyataan yang dipetik Saluran 2.

Dalam temu ramah itu, Hiss menceritakan bagaimana doktornya mengeluarkan kornea daripada mayat terbabit. “Kami melekatkan semula kelopak mata,” “Kami tidak mengambil kornea daripada keluarga yang kami tahu akan membuka mata mayat berkenaan.”

Kebanyakan maklumat daripada temu ramah itu mula menonjol pada 2004, apabila Hiss dipecat sebagai ketua institut forensik kerana penyalahgunaan organ di sana. Peguam Negara Israel menggugurkan tuduhan jenayah terhadapnya, dan Hiss masih bekerja sebagai ketua patologis di institut berkenaan.

Hiss menjadi pengarah institut berkenaan pada 1988. Dalam tembu bual itu, Hiss berkata amalan mengeluarkan organ tanpa kebenaran bermula pada awal 1990an.

Aduan terhadap institut berkenaan dikemukakan oleh saudara mara askar Israel dan orang awam serta rakyat Palestin.

Tokoh akademik berkenaan, Nancy Sheppard-Hughes, seorang profesor di Universiti California-Berkeley, berkata beliau memutuskan untuk mendedahkan temu ramah berkenaan berikutan kontroversi akhbar Aftinbladet, yang meningkatkan ketegangan diplomatik di antara Israel dan Sweden

Sementara itu Menteri Kesihatan Israel memberitahu stesen TV berkenaan “garis panduan pada masa itu tidak jelas. Selama 10 tahun lalu, Abu Kabir melakukan pekerjaan mengikut etika dan undang-undang Yahudi.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url