Uji keberkesanan kerja dari rumah
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata kakitangan JKR yang terbabit itu bekerja sebagai penolong juru ukur bahan, pelukis pelan serta juruteknik di Cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan, Cawangan Arkitek dan Cawangan Ukur Bahan.
Shaziman berkata, bagi peringkat pertama, program perintis percubaan itu akan berlangsung sehingga 31 Mac ini untuk melihat keberkesanannya sebelum memutuskan sama ada ia diteruskan atau tidak.
Beliau berkata, kementeriannya turut memaklumkan program itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Mengulas perkara itu, Najib berkata, kerajaan belum membuat keputusan sama ada mahu menjadikan program bekerja dari rumah sebagai satu dasar.
Perdana Menteri berkata, beliau akan melihat dulu hasil projek perintis JKR sama ada ia berupaya meningkatkan hasil kerja atau menjimatkan kos pekerja berkenaan.
Shaziman berkata, beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, England dan Australia sudah mengamalkan program itu malah sektor swasta di negara ini juga berbuat demikian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan menteri bersama peserta program perintis bekerja dari rumah di kementeriannya di sini, semalam.
Katanya, program itu dilihat mampu menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan seperti sewa pejabat, bangunan, tempat letak kereta, bil elektrik, bil air dan kos penyelenggaraan peralatan.
Selain itu, beliau berkata, program berkenaan memberi kebaikan kepada pekerja yang dapat mengurangkan kos perjalanan dan kos sara hidup selain mengurangkan tekanan dan mewujudkan institusi kekeluargaan yang harmoni.
"Pemilihan peserta program ini adalah berdasarkan skop tugas mereka secara langsung membabitkan penggunaan internet dan komputer serta golongan ini terdiri daripada kakitangan berprestasi tinggi.
"Mereka menyertai program ini secara sukarela dan akan turut diselia oleh penyelia daripada kalangan pegawai pengurusan dan profesional yang mempunyai pengalaman serta kemahiran di bidang berkaitan," katanya.
Shaziman berkata, selepas tempoh percubaan selama tiga bulan itu tamat, kementeriannya akan mengemukakan laporan berhubung kejayaan program berkenaan kepada JPA dan umum.
- BERITA HARIAN