Jangan leka dengan kejayaan selepas 20 tahun
Selepas 20 tahun menunggu emas bola sepak Sukan SEA, harapan kita tertunai akhirnya. Mungkin ini berkat doa dan harapan tinggi rakyat yang mahu melihat Malaysia kembali bergelar jaguh bola sepak Asia Tenggara apabila berjaya mengalahkan pasukan pilihan Vietnam 1-0. Kebetulan pula kejayaan itu dicapai pada hari menjelang sambutan Maal Hijrah 1431.
Semoga kehadiran tahun baru dalam takwim Islam ini membawa petanda kepada penghijrahan semangat juang dalam diri pemain-pemain bola kebangsaan kita.
Bukan acara sukan lain tidak penting, tetapi sejak dahulu lagi bola sepak adalah sukan nombor satu negara. Kepada remaja usia 20 tahun sekarang, dia mungkin tidak merasai betapa rindunya golongan berusia 40 tahun atau 60 tahun (jika masih hidup) untuk menikmati saat bergelar juara bola sepak Asia Tenggara.
Mereka tidak menonton kehebatan pemain tahun 1960-an dan 1970-an hinggakan pasukan Korea Selatan dan Jepun gerun dengan pasukan kita. Selepas era kegemilangan yang mula merudum pada akhir 1980-an, nama Malaysia sudah tercicir jauh, sedangkan Jepun dan Korea Selatan sudah maju hingga bertanding di peringkat Piala Dunia.
Sebenarnya lebih daripada 20 tahun mutu bola sepak kita merudum. Sebab itu rakyat Malaysia begitu gembira dengan kejayaan anak muda berusia bawah 23 tahun meraih pingat emas di Sukan SEA.
Kita amat berharap kejayaan itu jangan seperti yo-yo, sekejap naik sekejap turun. Jadikan kejayaan membawa pulang emas di Sukan SEA Vientiane ini untuk mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengucapkan tahniah dari Copenhagen, Denmark pun turut berpesan agar kejayaan itu bukan bersifat bermusim.
Beliau berharap pasukan bola sepak negara akan menjadikan kejayaan itu sebagai batu loncatan untuk mencatat kejayaan yang lebih hebat di peringkat yang lebih tinggi pada masa depan. Kalau anak-anak buah K. Rajagopal boleh berjaya, kita harap begitu juga dengan pasukan senior kebangsaan. Semua pemain negara perlu menanam semangat untuk melakarkan kejayaan.
Peminat bola sepak negara ini memang ramai yang sudah beralih menyokong pasukan kelab luar negara daripada pasukan tempatan. Tetapi itu bukan bermakna mereka tidak sayang pasukan bola sepak negara. Perasaan mereka sedih apabila maruah negara diperbudak-budakkan. Bola sepak adalah maruah negara dan setiap kemenangan dan kekalahan akan tercatat dalam sejarah.
Oleh itu kejayaan kelmarin tidak boleh direntap apabila misi Malaysia menyertai pertandingan antarabangsa peringkat ASEAN, Asia dan Piala Dunia akan datang.
Selepas berjaya meraih pingat emas Sukan SEA, kita boleh memasang impian untuk menakluk Asia dan Piala Dunia. Tetapi kita jangan terlalu ghairah untuk mencipta nama di peringkat lebih besar jika mutu dan corak permainan kita masih kelas 'amatur'. Kita mesti memiliki pemain yang mempunyai stamina, kemahiran tinggi dan semangat juang hingga ke minit terakhir.
Perkara ini yang perlu kita perbaiki dan pertingkatkan supaya sekurang-kurangnya kita mampu terus mempertahankan maruah Malaysia sebagai juara Asia Tenggara untuk tahun-tahun mendatang.
Kita tidak ada kekurangan dalam menyediakan pasukan yang mantap. Sebab kita mempunyai padang bertaraf dunia, liga bertaraf profesional. Soal dana untuk membangunkan pasukan kebangsaan pun tidak sukar. Namun kita menghadapi masalah untuk membentuk pasukan bergelar juara.
Kita cabar pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih dan pemain untuk terus mempertahankan status juara Asia Tenggara. Apa pun, kita harus berikan pujian dan ucapan tahniah kepada pemain bola sepak negara yang bertungkus-lumus untuk mengembalikan maruah negara.
Kepada mereka juga elok diingatkan supaya jangan terlalu memikirkan ganjaran yang mana akhirnya boleh memakan diri. Banyak teladan yang boleh kita lihat apabila pemain negara diberi ganjaran melampau akhirnya mutu permainan merudum dan memakan diri. Akhirnya kita tak ke mana-mana!