Risiko penerokaan minyak di Iraq

Oleh AZMI HASSAN
GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Felo Pelawat ISIS Malaysia

Kejayaan konsortium Petronas dan Shell memenangi bidaan penerokaan salah satu lapangan minyak terbesar Iraq sememangnya boleh dibanggakan memandangkan cabaran yang terpaksa dihadapi adalah amat getir sekali.

Memang benar lapangan minyak Majnoon yang terletak di selatan Iraq dikatakan agak selamat dan stabil daripada peristiwa pengeboman, tetapi masih mempunyai risiko yang tinggi.

Perlu ditekankan juga Petronas bukan sahaja memperolehi hak untuk meneroka Majnoon tetapi juga telah memenangi hak untuk meneroka dua lagi lapangan minyak iaitu Gharaf secara bersama dengan syarikat minyak Japex Jepun dan lapangan minyak Halfaya, iaitu gabungan konsortium di antara syarikat minyak CNPC China, Total Perancis dan Petronas.

Walaupun keupayaan Gharaf adalah jauh lebih kecil daripada Majnoon kerana dianggarkan mempunyai simpanan 860 juta tong minyak berbanding dengan hampir 13 bilion tong untuk Majnoon, kerjasama di antara syarikat minyak adalah penting supaya risiko yang dihadapi dapat dikongsi secara bersama.

Kejayaan syarikat minyak dalam bidaan masing-masing bukan sahaja mencerminkan keupayaan syarikat tersebut tetapi apa yang lebih penting adalah diharapkan sebagai permulaan Iraq menuju ke arah kestabilan selepas diceroboh oleh Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Iraq memerlukan syarikat minyak asing untuk membangunkan lapangan minyak kerana Iraq tidak mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk menambah pengeluaran kerana teknologi yang dimiliki adalah jauh ketinggalan.

Walaupun Iraq dianggarkan mempunyai simpanan minyak ketiga terbesar selepas Arab Saudi dan Iran, tetapi jumlah pengeluaran adalah begitu rendah sekali iaitu hanya 2.5 juta tong sehari.

Hasil daripada penerokaan minyak adalah penting bagi pembangunan Iraq kerana 90 peratus pendapatan adalah berpunca daripada sumber tersebut. Menteri Minyak Iraq Hussain al-Shahristani menganggarkan hasil pendapatan yang bakal diperolehi adalah sebanyak AS$200 bilion setahun.

Walaupun aktiviti penerokaan minyak di Iraq dikatakan dipenuhi dengan pelbagai risiko bukan sahaja daripada ancaman pengganas tetapi juga kesan ketidakstabilan kerajaan, syarikat minyak asing tetap dengan kepercayaan bahawa keuntungan pasti akan diperolehi memandangkan simpanan minyak yang begitu besar terdapat di Iraq masih belum diterokai.

Secara dasarnya syarikat minyak asing yang diberi hak dikatakan akan memperolehi keuntungan yang agak terhad kerana pendapatan hanya diberi untuk setiap tong yang dihasilkan. Umpamanya konsortium Petronas-Shell hanya akan menerima AS$1.39 bagi setiap tong minyak yang dihasilkan di Majnoon. Secara lumrahnya hasil pendapatan penerokaan minyak dikongsi secara bersama di antara kerajaan dan syarikat minyak asing.

Ada penganalisis yang berpendapat bahawa konsortium syarikat minyak asing sanggup menerima tawaran kekangan pendapatan berasaskan jumlah tong minyak yang dihasilkan - dengan harapan persefahaman tersebut akan berubah setelah kerajaan Iraq yang baru ditubuhkan selepas pilihan raya 7 Mac akan datang.

Terdapat desas-desus yang memberi gambaran bahawa pendapatan berasaskan jumlah tong minyak yang dikeluarkan dikenakan terhadap syarikat minyak asing kerana kerajaan Nuri al-Maliki tidak mahu dituduh oleh rakyat Iraq sebagai menjual hasil bumi kepada kerajaan asing dengan harga yang murah.

Persepsi sedemikian mungkin ada kebenarannya kerana pada bidaan pusingan pertama yang dilakukan pada bulan Jun lepas, hanya satu syarikat diberi hak penerokaan iaitu lapangan minyak Rumaila kepada syarikat Britain BP dan CNPC China.

Syarikat minyak yang lain gagal dalam bidaan masing-masing kerana harga pendapatan setiap tong yang dihasilkan ditetapkan terlalu tingi dari kadar maksimum AS$2. Tetapi pada bidaan pusingan kedua pada minggu lepas, kebanyakan syarikat minyak asing mengubah sasaran hasil setong jauh daripada kadar asal yang dicadangkan.

Tetapi agak pelik juga selepas kedua-dua pusingan bidaan tersebut, tidak ada satu pun syarikat minyak dari AS memperolehi hak untuk meneroka minyak di Iraq. Dalam pusingan pertama Exxon-Mobil bersama-sama dengan Petronas turut membida Rumaila dengan kadar AS$4.80 setong berbanding dengan konsortium BP-CNPC dengan kadar AS$3.99 setong. Akhirnya BP-CNPC memperolehi hak Rumaila kerana akur dengan kadar AS$2 setong yang ditetapkan oleh kerajaan Iraq.

Dalam bidaan pusingan kedua tidak ada satu pun syarikat minyak AS seperti Exxon- Mobil dan Chevron Corp. turut serta. Senario ini amat berbeza dengan kepercayaan bahawa syarikat minyak AS sudah pasti mendapat keistimewaan kerana kekuatan kerajaan Nuri al-Maliki amat bergantung kepada sokongan Washington.

Atau pun mungkin syarikat minyak AS sudah dapat menghidu bahawa selepas pilihan raya Iraq pada 7 Mac akan datang kepimpinan Nuri al-Maliki sudah tiada lagi. Perlu ditekankan bahawa setiap perjanjian konsesi dari kedua-dua pusingan bidaan tersebut hanya akan menjadi kenyataan selepas diluluskan oleh kabinet baru kerajaan Iraq selepas pilihan raya akan datang.

Tambahan pula undang-undang mengenai penerokaan minyak di Iraq masih belum diputuskan oleh kerajaan Iraq dan hanya akan dibincangkan dalam Parlimen selepas pilihan raya akan datang. Undang-undang tersebut begitu penting kerana ia merupakan asas kepada setiap perjanjian penerokaan minyak di antara Iraq dan syarikat minyak asing.

Bukan sahaja undang-undang tersebut akan menentukan kesahihan hak penerokaan yang diperolehi pada kedua-dua bidaan terbuka tersebut tetapi juga bakal menentukan kesahihan hak penerokaan minyak di wilayah Kurdis yang diperolehi tanpa restu kerajaan Iraq.

Adalah begitu menarik untuk diperhatikan apakah akan berlaku selepas pilihan raya akan datang terutama sekali mengenai hak penerokaan minyak.

Apakah syarikat minyak AS akan diberi hak penerokaan yang baru atau pun keputusan pemberian hak pada kedua-dua pusingan bidaan tersebut akan dibatalkan. Sudah tentu syarikat minyak AS tidak akan hanya berpuas hati dengan hak penerokaan di wilayah Kurdis kerana apa yang terdapat di selatan Iraq adalah jauh lebih lumayan.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url