JPJ: Bas Dalam Keadaan Baik, Pemandu Tak Mungkin Mengantuk
PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bas dua tingkat Sani Express yang terbabas menyebabkan kematian 10 penumpang awal pagi tadi berada dalam keadaan baik semasa kemalangan itu berlaku.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, laporan siasatan awal mendapati bas tersebut baru didaftarkan pada September lalu dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengesahkan kebolehpakaian bas tersebut.
Selain itu, menurutnya, pengangkutan awam berkenaan turut mematuhi piawaian keselamatan R66 yang digunakan Suruhanjaya Ekonomi Eropah.
Katanya, lesen dua pemandu itu adalah sah dan cuma salah seorang pemandu mempunyai dua saman.
"Mengikut rekod, kesalahan kecil itu adalah salah letak kenderaan dan langgar syarat permit (iaitu mengubah laluan). Kedua-dua pemandu tidak ada (mempunyai mata demerit di bawah Sistem) Kejara.
"Dari segi rekod, semuanya okey. Siasatan menjurus kepada bagaimana dia memandu pada ketika itu," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.
Beliau mengulas kemalangan maut di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini sehingga membunuh 10 penumpang dan dua lain cedera dengan seorang daripadanya parah.
Bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada jam 9 malam semalam menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.
Semua yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang yang duduk di tingkat bawah bas dua tingkat berkenaan. Semua penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan.
Kedua-dua penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh manakala kesemua mangsa yang maut dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.
Solah memberitahu, JPJ memeriksa brek, tayar dan lesen pemandu bas itu di stesen bas Klang Sentral dan semuanya berada dalam keadaan baik.
Mengenai dakwaan seorang penumpang yang terselamat bahawa pemandu itu kelihatan mengantuk sebelum kemalangan itu berlaku, Solah berkata, polis hanya akan dapat mengesahkan perkara ini bila selesai menyoal siasat pemandu-pemandu dan saksi.
Jelas beliau, siasatan awal menunjukkan perkara itu tidak mungkin berlaku.
"Ini kerana pemandu dah bertukar. Kemalangan cuma berlaku 20 kilometer pertama selepas pertukaran pertama pemandu di Simpang Pulai," katanya.
Sementara itu, Solah memberitahu, tiga pasukan iaitu bahagian kejuruteraan automotif JPJ, Puspakom dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) telah dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
Bagaimanapun katanya, laporan belum diterima lagi dan mungkin hanya diketahui pada sebelah petang ini.
- MSTAR
sampai bila harus begini???cari jln pnyelesaian bersama2 jgn asyik menuding jari...