KAFA keluarkan produk sendiri
Bagi mengukuhkan sumber kewangan, KAFA telah berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek untuk mengeluarkan barangan sendiri yang mempamerkan logo KAFA dan tulisan The Red Warriors.
Pengerusi Jawatankuasa Barangan dan Pemasaran KAFA, Azlan Mohd. Yusoff berkata, semua barangan yang akan dipasarkan nanti menjadi hak milik terpelihara persatuan itu.
"Kita akan mendapat sumber kewangan yang kukuh dengan penjualan barangan seperti jersi, baju-T, topi, beg, pelekat kenderaan dan pelbagai lagi barangan cenderahati untuk dimiliki oleh penyokong setia bola sepak Kelantan.
"KAFA kini membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen bagi memasarkan barangan tersebut kepada orang ramai," katanya kepada Kosmo! di Kota Bharu semalam.
Menurutnya, tindakan KAFA berdaftar dengan perbadanan tersebut bertujuan menjamin kualiti semua barangan yang akan berada di pasaran nanti.
Azlan memberitahu, tidak akan ada lagi jualan barangan cenderahati yang dicetak rompak di pasaran pada musim depan.
"Sebelum ini, terdapat sesetengah pihak yang menjual barangan menggunakan logo KAFA sesuka hati tanpa mendapat kebenaran sekali gus menjejaskan pendapatan persatuan ini.
"Selain itu, penggunaan logo terutama pada jersi dan baju-T yang tidak mengikut standard KAFA juga telah menjejaskan imej persatuan itu," ujar beliau.
Beliau berkata, peniaga yang mendapatkan barangan daripada pengeluar yang tidak sah sebelum ini tidak perlu bimbang kerana KAFA memberi jaminan bahawa ejennya akan mendapat keuntungan yang lumayan hasil jualan barangan tersebut.
Setakat ini, lebih 20 peniaga telah berdaftar dengan KAFA dan semua barangan akan berada di pasaran awal bulan depan.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang sebagai ejen di Wisma KAFA, Kubang Kerian.
- KOSMO!