'Kami miliki 300 usahawan jutawan' - Hai-O


MELAKA 23 Dis. 2009 - Hai-O Marketing Sdn. Bhd., syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM), menyasarkan jualan 30,000 unit pelbagai produk bernilai RM40 juta sebulan, sebelum akhir tahun depan.

Pengarah Urusan Hai-O Enterprise Bhd, Tan Kai Hee berkata, pihaknya kini mencatatkan jualan kira-kira 20,000 unit pelbagai produk bernilai RM30 juta sebulan.

Beliau yakin jualan produk akan terus meningkat disebabkan mutu produk yang baik, berkualiti dan mendatangkan banyak kebaikan kepada pengguna.

Hai-O Marketing, anak syarikat Hai-O Enterprise mengedarkan kira-kira 100 produk, dengan produk premium Beautiful Far Infrared Rays dan Bio Aura Nano Technology.

Kai Hee berkata, produk yang dipasarkan adalah buatan Malaysia dengan teknologi luar negara termasuk Korea, China dan Jepun.

"Harga produk kami dianggap sederhana dan berpatutan, itulah sebabnya laris sekali dan mudah diterima dengan baik oleh pengguna," katanya pada Konvensyen MyJ Konsortium di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikatnya yang beroperasi sejak 17 tahun lepas, kini mempunyai 100,000 pengedar di seluruh negara dan menyasarkan 4,000 pengedar baru sebulan.

"Kami kini mempunyai 300 orang usahawan jutawan yang bergelar Pengurus Mahkota Berlian (CDM) dan lebih dari 50 stokis di seluruh Malaysia," katanya.

Kai Hee berkata, syarikat itu kini mula menerokai pasaran di Indonesia dengan pelancaran rasmi akan dilakukan pada April tahun depan.

Dalam membimbing usahawannya, beliau berkata, syarikat itu turut memberi bimbingan dari segi pelan pemasaran, penjualan produk dan insentif.

Sementara itu, MyJ Konsortium Sdn. Bhd., pengendali sistem perniagaan MLM yang memasarkan produk Hai-O Marketing pula menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta sebulan pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Suhaili Yosop berkata, 50 usahawan jutawan Melayu yang bergelar CDM dijangka dapat diwujudkan pada tahun depan berbanding 20 orang sekarang ini.

Beliau berkata, sasaran itu diyakini boleh dicapai melalui gerak kerja yang gigih dan sistem pemasaran dikenali MyJ Projek yang dilaksanakan sekarang.

Katanya, ruang pasaran yang masih luas bagi produk Hai-O di Malaysia perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan muda.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url