Maxis guna teknologi HSPA+ tingkat khidmat jalur lebar
KUALA LUMPUR 23 Dis. 2009 - Maxis Bhd. (Maxis) menjadi syarikat komunikasi pertama di Malaysia menggunakan teknologi Internet Kelajuan Tinggi (HSPA+) untuk perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar bagi memenuhi keperluan komunikasi penduduk Malaysia.
Maxis dalam kenyataannya di sini berkata, penggabungan keupayaan pemindahan data generasi masa depan ke dalam rangkaian 3G Maxis sedia ada membolehkan pelanggan yang melayari Internet di kawasan tertentu di Lembah Klang dan Johor Bahru satu pengalaman memuat turun yang laju.
Pelanggan boleh menikmati teknologi baru tersebut secara percubaan dan berikutan pengumuman baru itu, perkhidmatan itu akan ditawarkan secara meluas kepada pelanggan Maxis, tahun depan.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Rangkaian dan Teknologi Maxis, Mark Dioguardi berkata, Maxis memperkaya kehidupan pelanggan menerusi teknologi yang dipertingkatkan dan paling inovatif.
"Pelaksanaan HSPA+ di Malaysia oleh Maxis adalah komitmen positif untuk hala tuju ini. Sejak 12 hingga 18 bulan lalu, kami telah meningkatkan liputan, kelajuan muat turun dan muat naik serta kebolehpercayaan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar kami.
"Keupayaan HSPA+ akan memenuhi permintaan rakyat Malaysia yang kian meningkat untuk kelajuan lebih tinggi menjadikan pelayaran Internet, menonton video atas talian, memuat turun dan memuat naik fail resolusi tinggi sesuatu yang menyeronokkan tanpa batasan.
Dibina melalui teknik modulasi radio baru yang dikenali 64QAM, HSPA+ mewakili bentuk peningkatan dalam keupayaan rangkaian 3G/HSPA terbaru, berikutan Internet muat turun kelajuan tinggi dan Internet muat naik kelajuan tinggi
Dengan HSPA+, rangkaian jalur lebar tanpa wayar Maxis mampu menyokong kelajuan rangkaian puncak sebanyak 21 megabit sesaat (Mbps) walaupun pengguna boleh menjangka kelajuan antara 10 hingga 15 Mbps di persekitaran yang mempunyai liputan yang baik iaitu bersamaan penggandaan kelajuan muat turun sekarang di kawasan tertentu dalam rangkaian.
Maxis yakin untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam komunikasi mudah alih menerusi pengembangan strategik liputan HSPA+ di Malaysia dalam fasa-fasa bermula dari Disember ini hingga ke tahun 2011.
Bergerak ke tahun depan, Maxis merancang untuk melabur secara berterusan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi peneraju teknologi baru.
- UTUSAN