KTMB terima unit pertama Tren ETS


Setelah dua tahun menunggu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akhirnya memiliki tren terpantasnya apabila satu daripada lima unit Set Tren Elektrik (ETS) yang ditempah diterima hari ini.

Tren buatan Korea menggunakan teknologi Jepun itu akan beroperasi April depan iaitu sebaik sahaja kesemua lima unit ETS tiba dan selesai diuji.

ETS merupakan tren paling canggih dan terpantas pernah dimiliki KTMB yang mampu bergerak pada kelajuan 140 kilometer sejam (km/j).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, unit pertama ETS berlepas dari Pelabuhan Masan, Korea pada 21 November lalu dan selamat tiba di West Port, Pelabuhan Klang pada 3 Disember lalu.

Katanya, dengan kelajuan 140 km/j, tren ini hanya mengambil masa satu jam 55 minit untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh berbanding dua jam 50 minit menaiki kereta api shuttle.

"Mengambil kira permintaan semasa, tren ini akan beroperasi di antara Ipoh-Seremban-Ipoh dengan jangkaan waktu perjalanan sehala kurang tiga jam.

"Perkhidmatan tren ini akan berhenti di stesen utama yang ditentukan sebelum operasinya bermula April depan," katanya ketika berucap pada majlis penerimaan ETS di Stesen Keretapi KL di sini hari ini.

Turut hadir Duta Jepun ke Malaysia, Takashi Hoshiyama; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zakaria Bahari; Pengerusi KTMB, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Presiden KTMB, Dr. Aminuddin Adnan.

Tee Keat berkata, KTMB akan menerima baki empat lagi ETS secara berperingkat-peringkat sehingga Februari 2010.

Menurutnya, tren berharga RM48 juta seunit itu mampu membawa 350 penumpang pada setiap perjalanan.

Jelas beliau, dalam sebulan, ketika ini 50,000 penumpang menaiki kereta api dari Ipoh ke Kuala Lumpur manakala 5,000 hingga 10,000 penumpang menggunakan pengangkutan sama dari Seremban ke Kuala Lumpur.

"Kita harap ETS mampu meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan kereta api terutama ke Ipoh antara 60,000 hingga 70,000 orang dalam sebulan," ujarnya.

Beliau berkata, kemudahan disediakan dalam ETS meliputi gerabak kafetaria, ruang khas untuk orang kurang upaya (OKU), tandas termasuk untuk OKU, skrin LCD untuk hiburan sepanjang perjalanan dan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau keselamatan penumpang.

Selain itu, tambahnya, tren itu turut mempunyai pramugari untuk melayan penumpang.

Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan meluluskan peruntukan RM2 bilion untuk menambah gerabak dan menjalankan kerja-kerja baik pulih utama KTMB.

"Ini bertepatan dengan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu meletakkan aspek menambah baik pengangkutan awam sebagai salah satu enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Misi utama di bawah NKRA adalah bagi memastikan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menjelang 2012," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url