'Petanda negara turut diancam keganasan'

KUALA TERENGGANU 15 Dis. 2009 - Semua pihak termasuk pembangkang perlu memberi perhatian serius dengan penemuan sejumlah bom dalam serbuan polis di Kelantan semalam kerana ia memberi petanda negara ini turut diancam keganasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penemuan bahan letupan buatan sendiri di Pasir Mas tersebut membuktikan negara ini turut berdepan dengan ancaman seumpama itu.

Sehubungan itu, beliau meminta agar tiada mana-mana pihak yang terlalu ghairah dan cuba bermain politik kerana ancaman keselamatan tersebut bukan dibuat-buat.

"Orang yang main politik kena faham, ancaman keselamatan bukan dibuat-buat, hari ini kita tengok sendiri di Pasir Mas (Kelantan) wujud kes yang sebegini (jumpa bom). Jangan sampai kita ghairah sangat nak dapatkan kepentingan politik untuk jadi popular," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Pertahanan Awam Malaysia Peringkat Kebangsaan 2009 di pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid.

Hishammuddin diminta mengulas mengenai serbuan polis ke atas sebuah rumah yang dipercayai dijadikan tempat menghasilkan bom buatan sendiri di satu kawasan terpencil di Kampung Gebeng, Pasir Mas, Kelantan semalam.

Dalam serbuan bermula pukul 9 pagi yang turut disertai anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Cawangan Khas itu, tiga lelaki, dipercayai warga Thailand ditahan.

Beliau memberitahu, serbuan itu dibuat atas arahan pihaknya sendiri hasil kerjasama rapat pasukan keselamatan Malaysia-Thailand dalam menangani keganasan selain penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih menyiasat mengenai lokasi yang ingin dijadikan sasaran letupan oleh pihak terbabit.

"Kita masih siasat (sasaran letupan), tak kira sama ada nak letup di Terengganu, Malaysia, Singapura atau Thailand, nyawa tetap nyawa. Ini agenda untuk kita kongsi bersama dan dalam konteks ASEAN kita memerlukan komitmen ini," katanya.

Hishammuddin berkata, semua agensi di bawah kementeriannya diarah bergerak serius dan tiada kompromi terutama berhubung isu keganasan, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

"Kita akan buat apa saja dan kalau ada maklumat, tindakan akan diambil untuk kita pastikan Malaysia dan negara jiran selamat," tambahnya.

Mengenai sindiket bayi yang berjaya ditumpaskan di Banting, Kajang dan Klang, Selangor baru-baru ini, Hishammuddin menyifatkan ia sebagai serius dan isu pemerdagangan manusia perlu ditangani bersungguh-sungguh.

Beliau berkata, isu itu juga memerlukan kerjasama daripada negara jiran memandangkan jenayah tersebut merentasi sempadan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url