Kursus BTN padat ilmu kenegaraan
Tiba-tiba Biro Tata Negara (BTN) menjadi sasaran kritikan dan tohmahan tidak berasas para pemimpin parti pembangkang. Tuduhan BTN menjadi alat kerajaan dan UMNO mempengaruhi peserta kursus amat keterlaluan.
Tohmahan tanpa maklumat tepat itu amat dikesali kerana BTN pada asasnya medium untuk memberi kesedaran, ilmu serta bimbingan tentang kaedah kehidupan bernegara.
Pertamanya, kursus-kursus anjuran BTN bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi semua bangsa yang memegang tiket warganegara. Tohmahan yang menyatakan BTN adalah pentas politik UMNO amat tersasar. Tuduhan ini hanya bermotifkan politik dan tiada asas kebenaran. Ia lebih bersifat propaganda murahan politik pembangkang untuk mencetuskan isu dan dalam masa yang sama ingin menutup segala kelemahan yang yang ada.
Tidak semua rakyat negara ini berpeluang mengikuti kursus-kursus anjuran BTN. Hasil kajian dan maklum balas menunjukkan peserta yang mengikuti kursus anjuran BTN amat berterima kasih kerana dipilih untuk mengikuti kursus yang berbentuk kenegaraan. Mereka mula sedar akan kepentingan memelihara, menjaga dan memastikan kedaulatan negara.
Peserta kursus didedahkan tentang ancaman-ancaman terhadap keselamatan negara yang langsung tidak disedari. BTN melalui khidmat tenaga fasilitator terlatih telah berjaya membawa kesedaran betapa pentingnya sebuah negara yang yang bebas merdeka seperti yang dinikmati sekarang.
Tugas untuk memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara bukan hanya dipikul oleh orang Melayu dan UMNO, tetapi setiap warganegara tidak kira bangsa. BTN menyediakan landasan terbaik untuk memberi keinsafan tentang nilai dan tanggungjawab menjaga keharmonian, kesejahteraan, keamanan dan perpaduan antara kaum.
Sebagai warganegara yang pernah mengikuti kursus anjuran BTN, penulis ingin menarik perhatian semua bahawa pengetahuan kenegaraan sebahagian rakyat Malaysia amat cetek. Misalnya fakta-fakta sejarah yang membawa kepada kemerdekaan tanah air tidak dapat diceritakan oleh peserta kursus. Sedangkan sukatan mata pelajaran Sejarah di sekolah menengah sudah jelas dimasukkan tentang aliran perjuang dan individu yang terlibat.
BTN dengan bantuan tenaga fasilitatornya terpaksa menceritakan satu persatu tentang rentetan dan urutan perjuangan wira negara yang berjuang menuntut kemerdekaan.
Sebagai individu yang memegang tiket warganegara mereka perlu mengetahui serba sedikit tentang sejarah kenegaraan. Tidak ada gunanya jika kita begitu cemerlang dan berjaya mengharungi kehidupan tetapi buta kepada asal usul negara sendiri.
Soal perpaduan kaum begitu diterapkan ketika sesi perbincangan dalam kumpulan. Tidak kira apa pun bangsa, kita perlu akur negara kita didiami oleh pelbagai kaum dan hidup dalam konteks berkongsi segala yang ada. Kita tidak mampu untuk mengecapi kehidupan seperti sekarang jika unsur perpaduan antara kaum diabaikan.
BTN begitu realistik dalam membimbing peserta kursus tentang betapa pentingnya perpaduan. Sejarah kemerdekaan negara dijadikan asas kepada kesedaran itu kerana perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air juga melibatkan para pemimpin Cina dan India.
Peserta kursus diterapkan kaedah terbaik untuk hidup bersama antara kaum di negara ini. Kesan dan implikasi buruk didedahkan jika aspek perpaduan dan kerjasama antara kaum disisihkan. Contohnya peristiwa 13 Mei dikupas dengan bijak oleh fasilitator BTN untuk memberi kesedaran kehidupan harmoni antara kaum.
Banyak lagi unsur atau objektif kenegaraan yang tersirat dalam modul kursus anjuran BTN. Ia padat dengan didikan ilmu kenegaraan yang amat penting difahami oleh rakyat. Ketaatan kepada negara adalah elemen terpenting untuk menerbitkan rasa dan semangat patriotisme bagi usaha bersama ke arah membawa negara ke puncak kejayaan.
Jadi tuduhan BTN menjadi alat kerajaan Barisan Nasional untuk mengindoktrinasikan ideologinya hanyalah mainan politik parti pembangkang yang semakin terdesak dalam cubaan menguatkan kedudukan mereka dalam keadaan sokongan rakyat yang semakin terarah kepada kerajaan Barisan Nasional.
- UTUSAN
aku sh 2x dipaksa pegi btn..2x tu jugak la para fasilitator menjalankan kempen brain wash ttg kebangsaan, melayu, dan UMNO..tuduhan pembangkang ada benarnya..btn xbg byk manfaat kpd malaysia, hny manfaat kpd UMNO dan BN..xcy cuba join tgk, mst yg kene serang mula2 Anwar ibrahim, pastu nik aziz@ hadi awang, pastu lim kit siang, PAS, keadilan, n DAP..yg buruk sumer pembangkang, yg baik sumer UMNO. cmni yg UMNO kata btn bagus? bagus utk UMNO, ya, tp tidak utk negara
ala..kerajaan ckp BTN bkn berkisarkn politik..
hmm~
try servey pd sume yg pnh g BTN..
pe yg dorg akn ckp?
mmg intipati ny UMNO..UMNO..
rakyat bkn xpndai nk mnilai..
dlm media..leh la brapi2..