Lebih banyak Easy by RHB akan dibuka


KUALA LUMPUR 10 Dis. 2009 - Kumpulan Perbankan RHB (RHB) merancang membuka lebih 50 buah cawangan bank berkonsepkan perbankan mudah dan pantas dikenali sebagai Easy by RHB tahun depan.

Pembukaan itu akan dibuat di seluruh Malaysia termasuk Malaysia Timur.

Easy by RHB mempraktikkan perbankan tanpa kertas pertama di Malaysia dan mengambil masa selama kurang lapan minit untuk membuka sebuah akaun.

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB Bank, Datuk Tajudin Atan berkata, para pelanggan hanya perlu membawa dokumen pengenalan diri seperti MyKad untuk menjalankan urus niaga.

Katanya, sejumlah 12 buah Easy by RHB dibuka serentak di seluruh Lembah Klang hari ini manakala dua lagi iaitu di Taman Sri Gombak dan Senawang, Negeri Sembilan sudah dibuka pada Julai lalu.

Jelasnya, kos pelaburan itu hanya melibatkan perbelanjaan ubah suai pejabat dan ia tidak termasuk kemudahan yang ditawarkan di dalam bank cawangan tersebut.

''Easy by RHB merupakan bank pertama yang menawarkan konsep perbankan mudah dan pantas bagi memenuhi permintaan dan keperluan masyarakat setempat.

"Setiap Easy by RHB menelan belanja lebih RM100,000 untuk kerja pengubahsuaian dan ia tidak termasuk peralatan, mesin dan kemudahan terkini yang digunakan.

"Selain 12 buah Easy by RHB tersebut, kami turut merancang membuka 16 buah lagi cawangan bank itu pada bulan ini. Ia akan membolehkan Kumpulan Perbankan RHB mempunyai 30 buah bank Easy by RHB pada tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Easy by RHB di cawangan Bandar Sri Permaisuri di sini hari ini.

Easy by RHB dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Kos pelaburan untuk pengubahsuaian 14 buah Easy by RHB adalah lebih RM1.5 juta.

Selain di Bandar Sri Permaisuri, perasmian itu dijalankan serentak dengan pembukaan 11 buah Easy by RHB di lokasi yang berbeza di Lembah Klang.

Easy by RHB yang dibuka serentak hari ini terletak di Kompleks Jusco AEON AU2 Setiawangsa di Taman Keramat, Bandar Sri Permaisuri di Cheras, Dataran Puteri di Puchong dan Taman Sri Manja di Petaling Jaya.

Lapan lagi Easy by RHB dibuka di Seksyen 6 di Kota Damansara, Taman Sri Rampai di Setapak, Sentul Raya Boulevard di Sentul, Selayang Mall di Batu Caves, Seksyen U3 di Shah Alam, Presint 15 di Putrajaya, Jalan Pasar Baru di Semenyih dan Jalan Sultan Abdul Samad di Banting, Selangior.

Melalui Easy by RHB, pelanggan boleh membuat pinjaman ekspres, menyimpan wang, melabur dalam akaun Amanah Saham Bumiputera, mendapatkan perlindungan insurans dan pelbagai lagi.

Para pelanggan turut berpeluang untuk memeriksa penyata terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja masing-masing melalui kios yang disediakan di cawangan Easy by RHB.

"Kami mahu menembusi pasaran komuniti yang padat dan pusat bandar yang berpotensi di seluruh Malaysia,'' kata Tajudin.

Tajudin menambah, setiap bank cawangan Easy by RHB dijangka mempunyai lebih 200 pelanggan sebulan.

Katanya, ukuran itu dibuat berdasarkan rekod dua Easy by RHB yang dibuka sebagai testimoni syarikat Julai lalu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url