Maybank MoneyTree sasar segmen pelanggan muda


Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan pertumbuhan digit berganda bagi segmen pelanggan mudanya yang pada masa ini mempunyai seramai dua juta asas pelanggan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, segmen pelanggan muda merupakan segmen yang akan diberi tumpuan pelaburan oleh bank tersebut.

''Kami akan memperuntukan sebanyak 20 hingga 30 peratus daripada bajet keseluruhan Maybank untuk meningkatkan segmen ini.

''Dari segi produk pula, kami akan meningkatkan produk sedia ada seperti Yippie dan menjalankan pakatan strategik serta sebagainya,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Memeterai Perjanjian dengan MoneyTree (M) Sdn. Bhd. bagi menaja Program Celik Kewangan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MoneyTree, Datuk Nik Kamaruddin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MoneyTree, Michael Reyes dan Naib Presiden Eksekutif Kanan dan Ketua Perbankan Konsumer Maybank, Lim Hong Tat.

Terdahulu, Maybank memeterai perjanjian untuk menaja program celik kewangan kepada pelajar sekolah selama setahun dan Cabaran Permulaaan Perniagaan Maybank-MoneyTree (Y.E.S) untuk generasi muda dan pelajar kolej.

Ia merupakan sebahagian usaha untuk mempromosi pendidikan kewangan dan kesedaran di kalangan generasi muda untuk menanam semangat keusahawanan.

Abdul Wahid berkata, kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kepakaran dengan Maybank dalam aspek perbankan serta perkhidmatan kewangan sementara MoneyTree akan menjalankan program meningkatkan kesedaran dan skil keusahawanan kepada generasi muda.

''Program ini dapat menyediakan jalan terhadap pengurusan kewangan dan perbankan serta menanam semangat keusahawanan dan merangsang kreativiti dalam perniagaan di kalangan muda-mudi.

''Program ini membolehkan mereka mengelak hutang peribadi dan perniagaan yang akan menunjukkan pengurusan kewangan yang lemah,'' jelasnya.

Kedua-dua program akan memberi manfaat kepada 25,000 peserta dan akan dipromosi melalui iklan di media.

Fokus utama lain adalah cabaran Y.E.S yang dilancarkan pada bulan Ogos lalu. Program tersebut telah menarik minat 14 universiti dan kolej untuk membantu menyediakan idea perniagaan untuk dijadikan kenyataan.

Hadiah utama bagi cabaran tersebut adalah RM15,000 dan naib juara akan menerima RM5,000.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url