Pendidikan seks di Amerika Syarikat gagal?

Baru-baru ini dilaporkan bahawa penyakit kelamin makin berleluasa di Amerika Syarikat (AS). Data yang ada menunjukkan bahawa jumlah kes chlamydia dan gonorea bertambah berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga, gadis di usia 15 - 19 tahun mendapat jangkitan chlamydia tertinggi berbanding kumpulan usia yang lain.

Nampaknya, pendekatan mereka dalam pencegahan penyakit ini yang menekankan kepada seks yang selamat, gagal menyelamatkan masyarakatnya. Apa sudah jadi dengan pendidikan seks yang diamalkan di negara tersebut? Apakah peningkatan penyakit kelamin ini merupakan bukti kegagalan pendidikan seks di negara itu?

Seperti mana yang kita maklum, di AS, pendidikan seks diajarkan di sekolah-sekolah dan ia telah pun diajarkan untuk sekian lama. Sepatutnya, maklumat yang diperolehi oleh para pelajar daripada program itu dapat menjadikan mereka lebih 'bijak' dalam hal ini dan seterusnya mengurangkan risiko dijangkiti penyakit-penyakit kelamin. Ternyata, sebaliknya yang berlaku. Di mana silapnya?

The Heritage Foundation, dalam satu kajiannya, telah membandingkan dua buah kurikulum yang diajarkan kepada remaja di sekolah-sekolah di AS iaitu pertama, Comprehensive Sex Education Curricula (CSEC) yang merupakan satu program pendidikan seks dan kedua, Authentic Abstinence Education Programme (AAEP) yakni program yang mengajak pelajar untuk menghindari seks sebelum berkahwin.

Didapati bahawa matlamat utama CSEC ialah untuk mengurangkan risiko penyakit kelamin akibat aktiviti seks yang tidak selamat. Dalam kata-kata lain, tumpuannya ialah pada alat pencegah kehamilan dan galakan untuk menggunakannya. Pendekatan "jauhkan diri dari seks", walaupun disebut, ia dianggap kurang penting. Maka, tidak hairanlah mesej "menjauhkan diri dari seks" amat lemah dan ia mengandungi sedikit atau tiada langsung mesej agar melewatkan aktiviti seksual. Justeru, ada yang melihat kurikulum ini sarat dengan nilai-nilai dan mesej-mesej permisif.

Sebaliknya, AAEP menggalakkan pelajar menjauhi seks sebelum perkahwinan. Ia mengenengahkan pendekatan yang lebih menyeluruh kepada seksualiti manusia. Ia mengaitkan seks dengan kasih sayang, keintiman dan komitmen.

"Menghindari seks" disarankan sebagai satu gaya hidup terbaik untuk remaja. Pelajar diajar bahawa memilih untuk menghindari seks ketika remaja adalah satu keputusan penting dan ganjarannya akan dirasai pada masa kini dan akan datang.

Malah, menghindari seks dilihat bukan sahaja sebagai penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja tetapi juga sebagai satu jalan yang membawa kepada rasa hormat diri dan orang lain, hubungan yang lebih sihat serta kebahagiaan dalam rumah tangga. Maka, tidak hairanlah ramai yang berpendapat program ini kaya dengan nilai serta mesej yang membina.

Kajian ini juga memasukkan penemuan kajian Zogby International mengenai sikap ibu bapa terhadap pendidikan seks di sekolah.

Didapati bahawa majoriti ibu bapa mahu anak-anak mereka diajar bahawa:

(i) mereka tidak patut terlibat dalam aktiviti seksual sehingga mereka mendirikan rumah tangga (79 peratus);

(ii) yang terbaik ialah hubungan seks yang dikaitkan dengan cinta, keintiman dan komitmen - ciri-ciri yang hanya wujud dalam sebuah ikatan perkahwinan (91 peratus);

(iii) individu yang menghindari seks sehingga berkahwin mempunyai peluang terbaik untuk mendapat kestabilan dan kebahagiaan rumah tangga (68 peratus); dan,

(iv) remaja sepatutnya menghindari seks ketika di alam persekolahan (91 peratus).

Walaupun ramai yang menganggap bahawa masyarakat AS adalah masyarakat yang permisif, namun penemuan ini membuktikan bahawa sikap mereka terhadap pendidikan seks yang diamalkan di negara itu tidak banyak bezanya dengan sikap masyarakat Timur yang lain terhadap terhadap pendidikan seks.

Dari segi perbelanjaan kerajaan AS dalam hal ini, ternyata ia bercanggah dengan apa yang dimahukan oleh ibu bapa. Kajian mendapati bahawa 85 peratus ibu bapa percaya bahawa pengajaran tentang 'menghindari seks' perlu diutamakan berbanding pengajaran mengenai alat mencegah kehamilan (seperti yang terdapat dalam program pendidikan seks).

Malangnya, kerajaan AS membelanjakan AS$4.50 untuk mempromosikan alat mencegah kehamilan bagi setiap AS$1.00 yang dibelanjakan untuk mempromosikan "menghindari seks" di kalangan remaja. Tambah pula, matlamat program pendidikan seks itu, yakni untuk mengurangkan risiko penyakit kelamin, juga gagal dicapai jika kita merujuk data terkini jangkitan tersebut seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Apa yang berlaku di AS ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita. Apa yang baik mungkin boleh kita amalkan dalam masyarakat kita setelah menilai kesesuaiannya. Sebaliknya, apa yang ternyata tidak mendatangkan kebaikan itu, patut kita jadikan sempadan.

Dalam keadaan di mana usaha untuk memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah di negara ini masih belum terlaksana, ada eloknya jika kurikulum "menghindari seks sebelum berkahwin" di AS ini dikaji secara mendalam dan membandingkannya dengan kurikulum pendidikan seks yang dicadangkan itu.

Dengan cara ini, kita boleh memperbaiki kurikulum tersebut dan menawarkan sesuatu yang lebih baik untuk masyarakat kita.

- UTUSAN

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url