PM Britain hias tandas RM15,000


LONDON - Kemarahan orang ramai berhubung tuntutan perbelanjaan melampau Ahli Parlimen Britain meletus semula semalam selepas ribuan resit termasuk milik Perdana Menteri Gordon Brown didedahkan media tempatan.

Pendedahan tersebut dibuat beberapa jam selepas kerajaan Britain mengumumkan beberapa kenaikan cukai baru.

Rata-rata penduduk negara itu berang apabila mengetahui Brown menghantar resit tuntutan perbelanjaan mencecah £2,713 (RM15,000) semata-mata untuk menghiasi sebuah tandas di tingkat bawah kediamannya di Fife, Scotland.

Beliau membuat tuntutan tambahan £7,245.22 (RM40,000) termasuk £2,713 untuk dekorasi tandas tersebut, £185 (RM1,000) untuk berkebun dan £98.20 (RM543) bagi perbelanjaan dobi.

Selain Brown, beberapa Ahli Parlimen Britain yang turut membuat tuntutan mencecah ribuan pound sterling termasuk Ketua Pembangkang Parlimen, David Cameron, Ahli Parlimen Sheffield Hallam, Nick Clegg dan Speaker Dewan Rakyat, John Bercow.

Ahli-ahli parlimen itu membuat tuntutan tidak munasabah yang keseluruhannya mencecah jutaan pound sterling dengan menggunakan keistimewaan elaun rumah kedua yang diperuntukkan kepada mereka.

Pada awal tahun ini, beberapa Ahli Parlimen Britain menaikkan darah rakyat kerana membuat tuntutan perbelanjaan tidak munasabah termasuk daripada bekas Setiausaha Dalam Negeri, Jacqui Smith.

Wanita itu terpaksa meletakkan jawatan setelah membuat tuntutan untuk beberapa filem lucah yang ditempah oleh suaminya.

- AGENSI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url