Top Ad 728x90

,

Separuh pengguna mahu bas ekspres malam - MIROS

Cadangan melarang bas ekspres beroperasi selepas tengah malam sukar dilaksanakan kerana separuh daripada pengguna lebih cenderung menggunakan perkhidmatan itu pada waktu tersebut.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, kajian pihaknya mendapati penumpang lebih selesa bergerak pada waktu malam supaya sampai ke destinasi pada keesokan paginya.

''Separuh daripada penumpang tetap mahu bergerak pada waktu malam. Ini kerana setiap hujung minggu penumpang mahu pulang ke kampung dan meluangkan masa lebih lama bersama keluarga masing-masing.

''Jadi Miros mencadangkan supaya kerajaan mencari jalan lain bagi menyelesaikan masalah ini. Kita juga bimbang penumpang bas ekspres akan memilih menggunakan motosikal pada waktu malam untuk pulang ke kampung, ini lebih berbahaya,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir supaya operasi semua bas ekspres pada waktu malam dihentikan ekoran kemalangan meragut 10 nyawa di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi semalam.

Beliau berharap Kerajaan Pusat menimbangkan cadangannya itu dan turut mengarahkan siasatan segera dijalankan bagi mengetahui punca kemalangan membabitkan bas ekspres dua tingkat terbabit.

Ahmad Farhan berkata, kajian pihaknya juga mendapati kemalangan lebih kerap berlaku pada dua waktu utama iaitu selepas tengah hari dan selepas tengah malam.

Katanya, kebanyakan kemalangan berlaku antara pukul 12 tengah hari hingga pukul 4 petang, manakala bagi waktu malam, ia bermula antara pukul 12 tengah malam hingga pukul 2 pagi.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa kejadian kemalangan ngeri lebih banyak berlaku selepas tengah malam.

''Dalam hal ini, Miros mencadangkan kepada kerajaan supaya meningkatkan profesionalisme pemandu bas dan lori itu sendiri. Mereka perlu dilatih dan diberi sijil kelayakan.

''Kita mahu mempunyai pemandu pengangkutan awam yang lebih bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang,'' katanya sambil menambah banyak syarikat bas sukar mencari pemandu yang benar-benar cekap dan terlatih untuk diambil bekerja.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) perlu mengawal penggunaan bas ekspres dua tingkat di negara ini.

''Bas dua tingkat tidak sesuai digunakan bagi laluan tertentu di negara ini. Syarikat bas ekspres tidak boleh terlalu mengejar untung kerana bas dua tingkat memang boleh bawa lebih banyak penumpang

''Pengendalian bas dua tingkat lebih sukar, ia tidak boleh dipandu terlalu laju dan perlu lebih berhati-hati sewaktu di selekoh. Bas dua tingkat perlu dikendalikan oleh pemandu yang benar-benar cekap dan terlatih sahaja,'' ujar beliau.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90