Terlelap bawa musibah - JKJR

Memandu dalam keadaan mengantuk, terlelap dan memejamkan mata walaupun dalam tempoh sekejap boleh mengundang padah amat dahsyat termasuk mengorbankan nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius semua pemandu terutamanya mereka yang memandu kenderaan pengangkutan awam.

''Apabila mengantuk, pemandu bas ekspres perlu berhenti serta merta dan tukar dengan pemandu kedua. Jangan bertangguh atau merancang tukar pemandu di lokasi tertentu kerana ia hanya akan mengundang padah.

''Mata terpejam selama satu atau dua saat ketika memandu sudah cukup membahayakan nyawa penumpang. Pertukaran pemandu mesti jadi keutamaan jika mengantuk,'' katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, pemandu bas dua tingkat Sani Ekspres yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara Selatan di sini sehingga meragut 10 nyawa. mengaku mengantuk dan terlelap.

Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, pengakuan itu diperoleh selepas polis menyoal siasat pemandu terbabit, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38.

Polis diberitahu pemandu tersebut merancang untuk bertukar dengan pemandu kedua di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Kuala Kangsar walaupun semasa kejadian dia sudah terlalu mengantuk.

Mengulas lanjut, Suret berkata, pihaknya diberitahu syarikat bas berkenaan mempunyai segala kelengkapan mencukupi bagi memastikan perjalanan dari Klang, Selangor ke Kangar, Perlis itu adalah selamat.

Kata beliau, ini termasuklah penggunaan Sistem Pengesanan Global (GPS) serta pengehad kelajuan bas supaya tidak dipandu terlalu laju dan membahayakan.

''Bagaimanapun, faktor kecuaian pemandu menjadi punca kemalangan ngeri itu.

''Bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, pihak JKJR akan berusaha lebih gigih memastikan pemandu kenderaan awam lebih bertanggungjawab dan mengutamakan keselamatan semua pihak sepanjang masa,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Salim Parlan berkata, bas berkenaan telah diperiksa dan disahkan selamat sebelum dibenarkan memulakan perjalanan ke Kangar.

''Lesen pemandu dan cukai jalan bas tersebut masih sah. Bas itu juga dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ tetapi malangnya kemalangan tetap berlaku,'' katanya.

Wajibkan pemandu bas ikut latihan berkala - NIOSH

Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan mewajibkan pemandu bas mengikuti latihan keselamatan dan kesihatan pemanduan secara berkala dalam usaha mengelak tragedi kemalangan jalan raya melibatkan pengangkutan awam.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah itu wajar dilakukan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam sekali gus menghapuskan kegelisahan pengguna.

''Saya terpanggil untuk mengatakan bahawa saya tidak begitu bangga dengan rekod keselamatan pengangkutan awam kerana ini bukan kali pertama dan dalam ingatan saya, sejak 2007 sekurang-kurangnya enam hingga lapan kes kemalangan telah berlaku melibatkan bas.

''Saya anggap soal keselamatan ini harus mendapat pertimbangan dan diwajibkan kerana faktor keselamatan amat penting dan tidak boleh diabaikan, bagaimanapun NIOSH tidak ada kuasa dan terpulang kepada kerajaan membuat keputusan,'' katanya pada majlis penghargaan media bersama NIOSH di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus NIOSH cawangan Sabah dan Labuan, Azhar Ahmad.

Semalam seramai 10 penumpang maut dan dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat, Sani Express terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, lapan kilometer dari Plaza Tol Ipoh Selatan di sini.

Menurut Lam Thye, langkah segera harus diambil oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pemilik bas bagi memastikan tragedi yang sama tidak berulang dan menaikkan kembali imej pengangkutan awam.

''Semua pihak harus memastikan pemandu bukan sahaja memenuhi langkah keselamatan ditetapkan tetapi mempunyai sijil yang mengesahkan mereka ada kemahiran dan telah mendapat latihan termasuk mengikuti latihan berulang,'' katanya.

Dalam pada itu katanya, NIOSH sedia memberi bantuan dan kerjasama bagi menganjurkan program latihan di seluruh negara sekiranya diminta berbuat demikian.

Jelasnya, pada masa ini pihaknya telah terlibat menganjurkan kursus keselamatan pemanduan jalan raya melibatkan beberapa agensi di negara ini.

Sementara itu katanya, pihak syarikat bas juga mesti mempunyai dasar yang jelas dalam aspek keselamatan daripada semua sudut termasuk latihan, sikap pemanduan dan penyelenggaraan.

Tambahnya, syarikat bas juga perlu mengutamakan keselamatan dengan melakukan pemeriksaan terhadap pemandunya bagi memastikan mereka bebas daripada dadah.

''Syarikat bas selalu mengatakan sentiasa memberikan keutamaan kepada keselamatan tetapi kemalangan terus berlaku dan semakin ramai nyawa melayang.

''Jadi pemilik bas mesti melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini untuk meningkatkan imej keselamatan terhadap industri pengangkutan di negara kita,'' ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url