Sorotan 2009: Tragedi, bencana patut jadi pengajaran

Pelbagai tragedi dan bencana yang berlaku sepanjang tahun ini perlu diambil iktibar dan pengajaran oleh semua pihak agar tidak berulang pada tahun mendatang. Pelbagai bencana dan tragedi menimpa negara ini dan ada saja alasan yang diberikan sebagai punca seperti masalah teknikal atau kecuaian manusia. Apabila sudah berlaku, barulah pelbagai pihak sibuk dengan penubuhan jawatan kuasa khas bagi mencari jalan penyelesaian.

Di mana saja termasuk di darat, mahupun di lautan, bencana dan tragedi pasti akan berlaku, namun sebagai manusia, kita harus berusaha merancang dan cuba untuk mengelak sebelum menjadi mangsa. Kemalangan ngeri, tragedi bangunan runtuh, banjir, pesawat terhempas, feri atau bot karam antara bencana yang menghiasi dada akhbar, radio, blog, dan televisyen sepanjang 2009.

Memulakan episod tragedi di negara ini ialah pada 25 Januari lalu apabila lebih 70 orang maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara sejak Ops Sikap ke-19 dilancarkan 19 Januari lalu. Pada 2 Februari pula seorang pemandu bas terbunuh manakala 23 murid nyaris maut apabila bas sekolah yang mereka naiki terbabas ke dalam sungai di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.

Amat menyedihkan apabila pada 18 Mac lalu, pengantin baru dari dua negeri dalam kes berasingan, meninggal dunia dengan seorang pengantin lelaki terbabit kemalangan motosikal di Kangar manakala seorang lagi maut apabila keretanya dilanggar lori di Rembau. Pelik tetapi mungkin itulah kebenaran.

Pada 28 Mei pula, empat pekerja warga Indonesia maut apabila bangunan yang sedang dalam pembinaan dan ubah suai di Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh. Pada 4 Jun lalu seorang lelaki berketurunan Siam maut dipanah petir ketika berteduh di sebuah bangsal di Kampung Binjai, Tumpat, Kelantan 4 Jun lepas. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Champee Kelean, 46, meninggal dunia di tempat kejadian selepas panahan petir terkena tangkal tembaga yang dipakai di pinggangnya.

Kegagalan sesuatu alat teknikal juga boleh menyebabkan maut seperti yang berlaku pada 11 Jun apabila seorang anggota komando tentera maut selepas payung terjunnya tidak kembang ketika membuat terjunan dalam satu latihan di Kampung Padang Meiha, Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

Misteri belum terungkai membabitkan kes kematian Pegawai khas kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang dipercayai terjatuh dari koridor tingkat lima Plaza Masalam, di Shah Alam, Selangor pada 16 Julai lalu.

Bencana atau tragedi juga berlaku di tempat kerja seperti di Tanjung Karang, Selangor apabila enam lelaki, empat rakyat tempatan dan dua Bangladesh maut terhidu gas, dipercayai ammonia yang bocor dari sistem penyejuk di sebuah kolah menyimpan ikan di perkampungan nelayan di Kampung Bagan Pasir pada 11 Ogos lalu.

Bencana turut berlaku apabila dua juruterbang maut selepas pesawat ringan dipandu mereka terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 11 September lalu.

Turut terpahat dalam lipatan tragedi tahun ini ialah kejadian angin kencang yang meragut nyawa seorang remaja perempuan, manakala ratusan rumah rosak teruk di lapan jajahan di Kelantan serta Besut di Terengganu, yang berdekatan pantai pada 30 September lalu.

Dan pastinya Oktober 2009 dikenang sebagai bulan tragedi kerana pelbagai jenis nahas dan bencana berlaku bermula 7 Oktober apabila seorang pemandu bas ekspres maut dan lapan penumpang cedera selepas bas berkenaan merempuh belakang treler membawa muatan besi di KM305 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Kampar.

Esoknya pula, KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar ketika berlabuh di jeti Pangkalan TLDM di Lumut. Pada 15 Oktober pula, dua termasuk seorang bayi lelaki berusia 29 hari maut, manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar kepala jambatan di KM 237.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Kuantan.

Masih segar dalam ingatan tentunya kejadian tiga murid perempuan ditemui lemas selepas hilang apabila jambatan gantung yang mereka guna untuk menyeberang Sungai Kampar, Perak di pusat kokurikulum itu runtuh 26 Oktober. Selang tiga hari kemudian, seorang juruterbang pesawat latihan Kelab Penerbangan Diraja Selangor maut apabila pesawatnya terhempas berhampiran Kelab Golf Beringin di Lembah Beringin, Rawang.

Tragedi juga boleh berlaku ketika fenomena perubahan angin monsun yang bersama-samanya boleh mengakibatkan hujan lebat dan banjir setiap tahun kepada negara. Mohd Mazlan Yajid, 28, menjadi korban pertama banjir di Kelantan apabila dia lemas ketika mandi di Sungai Banggol Kerian, Pasir Puteh, pada 6 November lalu.

Gelombang pertama banjir di Terengganu pula meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun di Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, sehari kemudian. Pada 6 Disember, dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan maut manakala dua lagi parah apabila sebuah kereta terjunam dari tingkat atas sebuah pasar raya di Kota Bharu pada 6 Disember.

Ketika semua pihak berharap tabir tragedi sudah dilabuhkan untuk 2009, masyarakat dikejutkan pula dengan nahas bas ekspres dua tingkat yang meragut 10 nyawa di Ipoh, awal pagi Sabtu lalu. Kemalangan menyayat hati itu juga membabitkan sebuah bas dua tingkat dan cukup menyedihkan apabila ramai daripada mereka yang maut mempunyai pertalian darah.

Seolah-olah tidak cukup dengan episod duka, kelmarin satu lagi nahas berlaku yang mengorbankan empat beranak apabila van mereka dirempuh dua kenderaan di Tangkak, Johor. Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, semua mangsa yang terbunuh dalam perjalanan menghantar rakannya pulang daripada satu majlis sambutan Krismas.

Antara peristiwa menarik sepanjang tahun

* 16 September ditetapkan sebagai Hari Malaysia dan cuti umum mulai tahun depan bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963.

* Pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diumumkan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam lebih berkualiti. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dibantu bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Seri Idris Jala dilantik Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri untuk menerajui pelaksanaan KPI.

* Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan kedua bernilai RM60 bilion pada Mac sebagai tambahan kepada pakej pertama bernilai RM7 bilion diperkenalkan pada November 2008 bagi mengimbangi kesan kelembapan ekonomi dunia.

* Bajet 2010 bertemakan '1Malaysia. Kemakmuran Bersama' memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat dibentangkan pada 23 Oktober.

* Bajet 2010 yang dibahaskan di Dewan Rakyat selama sebulan hanya diluluskan dengan majoriti tiga undi pada 14 Disember dan mengundang reaksi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin yang menegur ketidakhadiran anggota Parlimen kerana implikasinya cukup besar.

* Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Perak pada Februari dengan pelantikan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat mengisytiharkan mereka keluar parti dan menjadi anggota Bebas menyokong BN.

* Umno, mengadakan dua kali persidangan, untuk peralihan kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak Najib pada Mac dan perhimpunan agung pada Oktober meluluskan tujuh pindaan Perlembagaan Umno termasuk pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan cadangan menambah jumlah anggota perwakilan yang layak mengundi bagi jawatan tertinggi parti yang membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih pemimpin mereka berbanding hanya 2,500 sebelum ini.

* Kemelut dalaman parti MCA yang menyaksikan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berbaik kembali dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tetapi masih menghadapi tentangan daripada kumpulan menyokong naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mendesak pemilihan semula parti diadakan.

* Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMBI).

* Dasar 10 mata pelajaran untuk SPM diumumkan oleh Kementerian Pelajaran, namun calon diberi kelonggaran bagi dua mata pelajaran tambahan. Bagaimanapun keputusan peperiksaan hanya akan mengambil kira 10 mata pelajaran teras.

* Teoh Beng Hock, pegawai khas kepada Exco kerajaan negeri Selangor, yang dijumpai mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai susulan beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di bangunan yang sama. Mahkamah Koroner kini menyiasat punca kematian beliau dan kerajaan mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyemak kaedah SPRM menyoal saksi dan suspek.

* Empat termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka OC Phang didakwa di mahkamah berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

* Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Kemajuan Tanah dan Pembangunan Koperasi, dibebaskan daripada dakwaan rasuah dan penipuan selepas kes mahkamah yang berlanjutan lima tahun berhubung Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url