Singa Utara (Perlis) juara Piala Emas Raja-Raja


Insiden keganasan penyokong mencemari final Piala Emas Raja-Raja yang menyaksikan perlawanan dihentikan 10 minit sebelum Perlis dinobatkan sebagai juara baru apabila membenam Kedah 2-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam tadi.

Perlawanan itu turut menyaksikan dua pemain dibuang padang, masing-masing penjaring gol pertama, Romdhi Zat Jamian pada minit ke-82 buat Perlis dan Fazliata Taib tiga minit kemudian buat Kedah yang mencetus insiden rusuhan penyokong yang memaksa pengadil, Mohd Najib Mohd Said menangguhkan permainan buat seketika.

Romdi dilayangkan kad merah kerana mengasari pertahanan, Muammar Nur Rahim manakala Fazliata diarahkan keluar selepas terbabit dalam insiden bertumbuk.

Romdhi sebelum itu membuka jaringan buat pelawat apabila merembat kencang sepakan sudut Mohd Iqmal Azmi yang gagal dikeluarkan kemas untuk mengejutkan 35,000 penyokong yang membanjiri gelanggang keramat skuad Hijau Kuning itu pada minit keempat.

Peminat tuan rumah terus tergamam pada minit ke-18 apabila Adrian Jurad Chamrong melebarkan jurang buat pelawat.

Adrian Jurad yang lebih dikenali dengan lontaran jarak jauhnya, membuktikan bisa itu juga terletak pada kakinya apabila meledakkan sepakan percuma dari jarak 35 meter.

Kedah banyak menguasai perlawanan namun penjaring terbanyak mereka, Faizal Abu Bakar kerap kali dikecewakan benteng pertahanan yang diketuai kapten, Adrian Jurad.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url