4,031 dikenakan kompaun kesalahan merokok tahun lalu

Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan notis kesalahan terhadap 7,963 perokok yang merokok di kawasan larangan dengan 4,031 telah dikenakan kompaun berjumlah RM1,007,750 sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, jumlah pengeluaran notis kesalahan itu meningkat kepada 158 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 5,049 notis.

"Kementerian juga telah mengeluarkan 686 kompaun ke atas perokok di zon larangan yang melibatkan hospital dan klinik kerajaan sehingga November 2009 dengan nilai kompaun RM171,500.

"Sehingga November 2009 pula, sebanyak 4,011 kes dihadapkan ke mahkamah di mana 630 kes didenda dengan jumlah RM140,028," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dr. Mohd. Ismail memberitahu, sejak 2008, pengeluaran kompaun tidak lagi dibenarkan jika berlaku kesangsian kepada pihak Timbalan Pendakwaraya.

''Berikutan itu, jumlah kompaun dikeluarkan mencatat penurunan berbanding tahun sebelumnya kerana kompaun kini diubah kepada pengeluaran notis kesalahan,'' katanya.

Tambah beliau, kementerian juga akan terus memperkukuh dan memperhebatkan lagi tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.

''Untuk lebih berkesan, peranan semua pihak adalah diperlukan dalam menguatkuasakan undang-undang termasuk pemilik premis dan orang awam diminta menegur mereka yang merokok di kawasan larangan,'' katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan merancang untuk melaksanakan beberapa pendekatan yang lebih inovatif di samping berusaha meningkatkan kemampuan pasukan penguat kuasa melalui pertambahan kapasiti kemahiran dan tenaga manusia.

Dr. Mohd. Ismail berkata, setakat ini, kementerian itu mempunyai 2,600 anggota penguatkuasaan di seluruh negara untuk melaksanakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan Pindaan 2008 di zon larangan yang diwartakan.

Jelasnya, pegawai ini juga mempunyai pelbagai tugas lain termasuk kawalan penyakit berjangkit termasuk kawalan denggi dan urusan keselamatan makanan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url