Dr. M: Sultan Johor penyayang

Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat dan penyayang.

Bekas Perdana Menteri bagaimanapun berkata, ramai yang tidak memahami cara-cara baginda bertindak sehingga kadang-kala ada rakyat berasa takut terhadap baginda.

''Baginda rapat dengan rakyat, cuma kadang-kadang cara baginda menyebabkan orang berasa takut.

''Sedangkan baginda ialah seorang yang sangat baik," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau mengulas tentang kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor malam ini.

Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Dr. Mahathir yang sudah mengenali Almarhum sejak menjadi Ahli Parlimen sekitar 1966 berkata, perhubungannya semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan dari 1984 sehingga 1989 adalah amat baik.

''Saya dapat khabar baginda sudah mangkat, baginda sakit sudah lama. Masa baginda jadi Yang di-Pertuan Agong, saya menjadi Perdana Menteri, hubungan kami baik malah sejak sebelum saya jadi menteri, sudah kenal baginda.

''Baginda ada cara sendiri, kadang-kadang orang tidak faham tetapi saya tidak ada masalah.

''Saya boleh berjumpa dengan baginda pada bila-bila masa, bila jumpa hari Rabu (sebelum mesyuarat Kabinet) kami berbual panjang, bukan sahaja mengenai kerajaan tapi tentang perkara lain juga," katanya dalam nada sebak.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url