Top Ad 728x90

,

7 pelajar UPM menang MPP dilucut kemenangan dalam 24 jam

Tujuh pelajar, yang dipercayai dari kumpulan Pro-Mahasiswa, yang memenangi kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) kelmarin telah dilucutkan kemenangan semalam.

Kemenangan mereka dilucutkan tidak sampai 24 jam selepas memenangi kerusi masing-masing.

Ketujuh-tujuh pelajar berkenaan menerima surat dilucutkan kemenangan petang semalam dengan dinyatakan telah melakukan tiga kesalahan: bertanding atas tiket secara berkumpulan, berkempen tidak mengikut tempoh ditetapkan dan berkempen menggunakan media baru seperti SMS, laman web atau blog.

Mereka merupakan sebahagian daripada 11 calon barisan yang dipercayai menganggap diri mereka kumpulan Pro-Mahasiswa yang menang kerusi MPP kelmarin.

Presiden kumpulan Pro-Mahasiswa, Ahmad Faris Rakbi berkata pelajar-pelajar terbabit dimaklumkan petang semalam bahawa kemenangan mereka dibatalkan.

Selain Faris enam yang lain terdiri daripada Muhammad Hazim Mohd Noh, Amirul Rahman Mohd Khozam, Muhamad Hanif Md. Radzi, Muhamad Rafi Abu Bakar, Nurul Hanisah M. Yunus, Siti Hajar Zolqarnain dan Azlinda Abdullah.

“Kami hairan kerana kemenangan mereka dibatalkan selepas keputusan diumumkan,” kata beliau ketika dihubungi.

“Lagipun kami tidak diberikan bukti dakwaan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ketujuh-tujuh pelajar berkenaan akan membuat rayuan, Faris berkata, mereka tidak akan mengemukakan rayuan.

“Mereka tidak akan membuat rayuan sebab kemenangan mereka dibatalkan selepas kami menang pilihan raya, malah kenyataan dibuat pihak pengurusan universiti tidak mengemukakan bukti kepada tuduhan-tuduhan yang dikenakan,” katanya lagi.

The Malaysian Insider difahamkan pengurusan mengambil tindakan itu ekoran bantahan yang diterima daripada kumpulan Pro-Aspirasi.

UPM mengadakan pilihan raya kampus kelmarin.

Jawatankuasa Pelaksana Pilihan Raya semalam mengadakan sesi bantahan susulan pengumuman keputusan kelmarin.

The Malaysian Insider cuba menghubungi Unit Hal Ehwal Pelajar UPM sejak pagi tadi untuk mendapatkan pengesahan tetapi gagal.

Calon-calon kumpulan Pro-Aspirasi mengulangi kemenangan besar mereka dalam pilihan raya kampus UPM kali ini.

Kumpulan Pro-Aspirasi memenangi 37 daripada 48 kerusi MPP yang dipertandingkan.

Kumpulan Pro-Mahasiswa hanya memenangi 11 kerusi berbanding 13 kerusi ketika sesi pengajian lalu.

Hari ini universiti-universiti yang mengadakan pilihan raya ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pergurusan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Kelantan.

Dalam pada itu jurucakap kumpulan Pro-Mahasiswa dari UKM mendakwa pihaknya mengesan usaha mengesan usaha “sabotaj” dengan mengedarkan nama calon-calon pilihan dari kumpulan Pro-Aspirasi dan kewujudan pondok panas pada hari pengundian hari ini.

Pengundian bermula 9 pagi tadi dan akan berakhir 5 petang.

Keputusan mungkin dijangka diketahui selepas 8 malam.

Di UM, Pro-Aspirasi UM setakat ini menang lapan kerusi tanpa bertanding manakala Pro-M memperolehi empat kerusi.

Pilihan raya kampus di UKM pula akan menyaksikan pertandingan di hampir semua kerusi umum dan fakulti.

Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa memecahkan tradisi penguasaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan memenangi pilihan raya kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung semalam.

Sebahagian besar universiti awam tempatan akan mengadakan pemilihan MPP secara berperingkat mulai bulan ini bagi semester pengajian 2009/2010 — pendekatan yang digunakan sejak sesi pengajian lalu.

Pada sesi pengajian lalu kumpulan Pro-Mahasiswa hanya menguasai dua universiti, bakinya oleh Pro-Aspirasi.

Dua minggu lalu, Misi-10 juga mengemukakan empat tuntutan iaitu menyediakan ruang demokrasi yang bebas dan adil di semua kampus, mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa berhimpun, bersuara dan berpersatuan dan kebebasan akademik, pelaksanaan sistem e-undi dimansuhkan serta menjaga keselamatan calon dan mahasiswa dalam proses pilihan raya.

- THE MALAYSIAN INSIDER

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90