RTM diberi hak siar 35 perlawanan Piala Dunia 2010
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata menerusi hak itu RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.
“RTM berjaya mendapatkan pakej tawaran rancangan percuma sebanyak 26 jam dan sepuluh minit untuk siaran di TV1 dan TV2. Hampir semua penjadualan siaran langsung perlawanan akan bermula pada pukul 11 malam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum itu, Rais menyaksikan majlis menandatangani perjanjian RTM sebagai penyiar berlesen antara RTM yang diwakili Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf dengan pemegang hak siaran teristrial eksklusif Piala Dunia Fifa 2010 yang diwakili Pengarah Urusan Esprit Media Sdn Bhd Datuk Ahmad Zaharul Annuar.
Rais berkata dianggarkan lebih 18 juta penonton akan menyaksikan siaran langsung dan tertunda itu.
“RTM kali ini juga menerima undian yang baik apabila rata-rata perlawanan membabitkan pasukan dari negara-negara terbaik di dunia seperti England, Portugal dan Brazil memihak kepada RTM,” katanya.
Beliau berkata sementara menanti perlawanan bermula penonton akan disajikan dengan siaran menarik lain. RTM telah menjadi penyiar utama sejak Piala Dunia 1974, 1978, 1986, 1990, 1994,1998, 2002 dan 2006 dan tema untuk penyiaran rasmi tahun ini ialah “Sorakan 1 Malaysia 1 Dunia”.
- BERNAMA
ada lagi ke orang nak tengok RTM?